Datin X: Mengapa Wanita Yang Didera Kerap Dilabel Gila?

Datin X, Datin X & Korner Mak Datin

Datin X: Mengapa Wanita Yang Didera Kerap Dilabel Gila?

111

Stigma masyarakat kita, kalau wanita itu didera, wanita tersebut akan dilabel ‘gila’. Datin X perasan perkara ini apabila beberapa wanita yang Datin X kenali, pernah melalui episod gelap dipukul suami dan ada juga didera secara mental oleh kaum keluarga – semuanya dikatakan otak tak betul. Kasihan pula Datin X tengok wanita-wanita yang teraniaya ini cuba bangkit untuk mempertahan diri namun hak mereka diketepikan hanya kerana majoriti orang sekeliling merumuskan yang mereka ini mempunyai otak ‘bermasalah’. Oleh kerana itu, masyarakat memandang serong pada mereka dan akhirnya disisihkan. Mengapa kena begitu? Kata orang Malaysia ini prihatin sangat. Pantang ada orang miskin dalam Facebook, terus nak bagi derma. Wanita terseksa depan mata, kita semua buat-buat tak nampak… malah letak label yang dia itu ‘gila’? Kenapa?

 

Nurul anak tunggal, datang dari keluarga berpengaruh. Dibesarkan dalam suasana serba ada tetapi hubungannya dengan ibu sentiasa keruh. Semuanya serba tidak kena. Mereka langsung tidak sependapat dalam apa jua hal, baik daripada perkara yang paling kecil hinggalah kepada lelaki pilihan hatinya. Dari satu boyfriend ke satu boyfriend, semuanya ibu tidak approve. Bukan kerana lelaki-lelaki yang hadir dalam hidup Nurul orang yang tidak baik, tetapi si ibu terlalu berkira atau mungkin sengaja mahu merumitkan hidup anak sendiri. “Tak sangka wujud lagi parents spesies ini ya?” Jawab kawan Datin X, “Wait till you hear what the mother did after she got married!”

 

Ibu Nurul wanita korporat. She runs her home like she runs her business. Dasar kuku besi, sudahlah dia ini jenis yang memukul. Patutlah Datuk sudah lama kahwin lari dengan secretary sendiri. Kisah ini sudah bertahun lamanya, namun kes perceraian di mahkamah masih lagi belum selesai. Biasalah, harta bersama terlalu banyak. Masing-masing tidak mahu kalah. Walau Nurul dengan ibunya tidak sebulu, hubungan Nurul dengan bapanya pula sepertikan orang asing. Bapa tidak pernah melekat di rumah sewaktu dia membesar. Dan apabila diberi peluang untuk tinggal bersama dengan bapa di luar negara, Nurul awal-awal lagi menolak. Mana tidaknya, ibu tiri usianya hampir sama dengan Nurul sendiri!

 

Maka terpaksalah Nurul mengadap ibunya, si pendera. Dari kecil dia sudah biasa diherdik dan kadang-kala dilibas dengan penyangkut baju. Dera secara fizikal satu hal, tapi lebih mengesankan lagi bila secara mental juga dia dera tanpa henti. Sudahlah begitu, ibunya juga kaki berleter. Leterannya selalu diselang-seli dengan carutan dan ayat-ayat berbunyi menghina. Kata-kata kesat yang sering hinggap ke telinga Nurul itu akhirnya membuatkan dia seakan trauma. Hampir setiap hari dia menangis, emosinya terganggu hinggakan dia gagal di sekolah. Namun mujurlah bapanya tawar diri untuk membayar pengajiannya di institusi swasta luar negara. Sewaktu Nurul melanjutkan pelajaran ke luar negaralah masa yang paling bahagia buatnya. Tatkala hidup berjauhan daripada cacian ibu, Nurul bebas menjalani kehidupannya tanpa sebarang kerisauan. Walau ibu agak kedekut, Nurul terus dimewahkan oleh bapa. Mungkin rasa bersalah yang ditanggung bapanya, membuatkan bapanya langsung tidak berkira mengenai wang. Dan ini menyemarakkan lagi kebencian ibu terhadap anaknya sendiri.

 

Di usia lewat 30-an, Nurul mendirikan rumah tangga secara tergesa-gesa. Alasannya sebab tidak mahu ibunya mencipta semakin banyak masalah. Kerana sewaktu Nurul memberitahu ibu yang dia nekad untuk naik pelamin dengan jejaka pilihan hati, satu penampar hinggap di muka. Bakal suami hanya orang kebanyakan yang ada bisnes kecil-kecilan. Tidak kaya-raya, tapi selesa. Dan kerana itu juganya antara penyebab ibu Nurul mengamuk macam orang gila. Katanya, tak sama ‘level’ dan dia malu pada kawan-kawannya yang bermenantukan anak-anak Tan Sri, Datuk dan kerabat-kerabat Diraja.

 

Nurul nekad tidak mahu meminta wang daripada ibu untuk kendurinya. Urusan perkahwinan semuanya belah lelaki yang langsaikan, manakala bapa Nurul hanya bank in duit belanja kahwin dan tidak hadir sewaktu resepsi. Alasannya takut terserempak dengan ibu Nurul. Seperti yang dijangka, ibu Nurul naik hantu pada minggu kenduri. Saudara-mara cuma mampu geleng kepala dengan gelagat memalukan itu. Hanya pada keluarga mertualah Nurul bergantung harap untuk membantu membuat persiapan hari bahagianya.

 

Sejak berkahwin, Nurul disisihkan terus oleh ibunya. Malah ibu Nurul bangga menguar-uarkan pada saudara-mara yang dia sudah gugurkan nama satu-satu anaknya daripada wasiat keluarga. Katanya lagi, dia mahu tengok bagaimana anaknya itu mampu survive tanpa sesen duit daripadanya. Sewaktu hari Raya baru-baru ini pula, ibu langsung tidak membenarkan security membuka pagar untuk Nurul dan suami datang beraya malah siap memberi amaran untuk memusnahkan perniagaan suami jikalau Nurul berhasrat mahu kembali. Kata teman, “Itupun sudah bagus sangatlah, anak ingin juga datang menjenguk ibu yang menderanya. I ingat lagi, dulu setiap kali Nurul dimarahi ibunya, wajahnya akan bertukar pucat lesi, dia akan mula berpeluh sejuk dan tanggannya menggeletar. Kasihan sangat. I rasa dia terlalu takutkan ibunya…”

 

Baru-baru ini, adalah seorang hamba Allah ini berseloroh memberitahu Datin X yang Nurul itu ada ‘masalah kesihatan’. “You tak tahu ke? Anak perempuan Datuk tu dah mereng. Konon dia nak lawan ibunya di court sebab hal harta. Tapi kes dia tak kuat sebab khabar angin beritahu yang dia tu sudah gila!” Hish! Pandai-pandai saja orang reka cerita. Kalau sudah hampir seumur hidup didera mental dan fizikal, sesiapa pun boleh jadi gila. “Kalau benarlah ramai orang tahu dia ‘gila’, kenapa tiada seorang pun yang tampil membantu untuk beri emotional support? Orang kita ni memang pandai mengata tanpa usul periksa kan?” Kita kena ubah mindset diri dan orang di sekeliling. Hari ini mungkin hari orang, esok lusa belum tahu lagi apa nasib kita. Buat mereka yang mulut tidak ada insuran itu, siapa tahu perkara sama mungkin satu hari nanti berlaku pada anda, anak anda atau ahli keluarga anda. Masa itu barulah tahu langit itu tinggi atau pun rendah!

 

Dipetik daripada GLAM Isu Julai 2018.

Your email address will not be published. Required fields are marked *