Datin X: Isteri Tak Sekolah

Datin X & Korner Mak Datin

Datin X: Isteri Tak Sekolah

179

Jenuh Datin X bertekak dengan kakak sulung pagi tadi. Sesi sarapan keluarga tiba-tiba menjadi sesi debat pula. Kakak meminta anak gadisnya untuk tidak meneruskan pelajaran, gara-gara ada anak seorang Datuk masuk meminang. “Sarah is an all A student. Sikit saja lagi nak habis belajar. Dua tahun lagi dah boleh jadi lawyer. Apa salahnya bagi dia graduate dulu? Kemudian barulah kahwin. Sekarang ni tunang saja dulu!” Datin X memang pantang dengan mentaliti lapuk ibu bapa yang menyokong orang perempuan tolak tepi belajar semata-mata nak bagi kahwin dengan ‘orang kaya’.

 

You ingat hebat sangat ke kahwin anak datuk? Zaman ni, orang title Datuk dah bersepah-sepah. Dah tak ada value pun rasanya. Conman pun berlambak juga yang dah jadi Datuk ni!” Perli Datin X pada kakak sendiri. “Jangan tak tahu… sekarang ni, ramai bini-bini orang ternama jatuh terduduk sebab suami dah bukan lagi orang berpengaruh. Bisnes jatuh, pilihanraya kalah. Kalau si bini orang pandai, dah lama dia boleh bangun, berdiri di atas kaki sendiri malah mampu backup suami. Contoh macam Datin Azie. Suami dah tak ada kuasa tapi lagaknya bodoh sombong masih macam dulu. Apa saja yang trendy, dia nak beli. Baju designer harga ribu-ribu pun masih mampu beli lagi. Tapi dia tahu tak yang suami dia tu, kalau makan luar atau pergi golfing, semua kawan-kawan yang belanja? Kasihan pula i tengok suami terpaksa mengadap isteri bengap macam tu. Isteri untuk masa susah dan senang bersama. Tapi kalau dapat isteri yang tak berapa cerdik? Bankraplah jawabnya!”

 

Datin Azie antara isteri-isteri orang penting yang tak habis belajar sebab kahwin muda. Dia juga antara segelintir Datin yang tidak mahu masa silamnya dibongkar kembali. Dia tidak pernah mahu bercerita mengenai keluarganya, mengenai zaman kanak-kanak langsung persekolahannya. Kisah Datin Azie cuma bermula sebaik dia berkahwin dengan Datuk Bakar.

 

Dulu Azie memang lawa. Sudahlah lawa, gayanya yang manja membuatkan ramai lelaki jatuh hati. Dulu memang mengancam, hari ni macam sendu lain macam. Orang pun sudah tak sudi pandang dua kali. Mahu Datin X ingatkan di sini yang rupa cantik tidak kekal kerana tua mengejar. Dan kalau dari muda lagi sudah tutup minda untuk menuntut ilmu, bila tua esok mudahlah diperbodohkan orang. Lagi-lagi kalau dapat jenis suami yang makan luar. Oh, masaklah! “Kalau jumpa Azie di luar, memanglah nampak hebat sebab muka badan ‘buat’, baju mahal dan jinjing pun hanya Birkin. Tapi kalau kita mula small talk dengannya, sesiapa pun boleh tahu level pemikiran dia. Dia tak ambil tahu langsung mengenai apa yang berlaku dalam dunia, dia tidak ada opinion mengenai apa-apa isu. Yang Azie berminat hanya mahu tahu baju beli di mana dan lain-lain soalan remeh.”

 

Celah kakak, “But her kids are all well taken care of! Semua private school!” Datin X pun mestilah tak nak kalah. “Itu cerita 20 tahun dulu. Tapi sekarang dah tahun 2018 lah. Orang perempuan mesti ada ilmu sebab cabaran zaman ni lain macam. Lagi pun, ada lagi ke lelaki dari keluarga terhormat nak kahwin dengan perempuan yang tidak berpelajaran?” Kakak seakan panas telinga mendengar celoteh Datin X, lalu meminta diri untuk beredar.

 

Sambung Datin X pada adik-beradik lelaki lain, “You all pun kalau nak cari calon isteri, pilih yang ada pelajaran, ada agama dan cari jenis yang beradab. Isteri sepatutnya pembuka pintu rezeki. Tapi silap hari bulan, your wife may be the reason of your downfall. Ingat tu.”

 

Satu lagi contoh perempuan kurang berpelajaran tetapi menyusahkan adalah isteri kepada bekas suami kawan baik Datin X. Kawan ini memang high flyer, business strategist dan turut menjadi funder kepada sebuah jenama fesyen tempatan, yang mana jenama tersebut ada dijual di laman sesawang membeli-belah popular. Ada juga beberapa kali Datin X beli produknya secara online, sekadar mahu support kawan lama. Datin X memang tabik kepada kawan yang seorang ini. Walau hidupnya dua kali bercerai-berai, tidak pernah dia tagih simpati pada sesiapa untuk bangun kembali dan cari duit sendiri. Belanja anak-anak pun dia tanggung sendiri, walau bekas suaminya sah-sah korporat dikenali ramai.

 

Bekas suami kini isteri kepada seorang wanita warga seberang. Mari Datin X namakan wanita ini Anne. Memang sebelum dia curi suami kawan Datin X, Anne memang sudah lama mencuri tumpuan orang di sekelilingnya. Gayanya seksi, manja tapi tiada siapa yang benar-benar tahu latar belakangnya. Apa yang Anne selalu beritahu orang, keluarganya antara yang terkaya di tanah kelahirannya. Kuat bermegah, selalu drop names… kenal orang itu, kenal orang ini. Bila ajak makan, haram sesen pun dia tak mahu keluar duit. Dan sewaktu kawan Datin X tadi bercerai, dia baru sahaja selesai berpantang. Kasihan sangat Datin X tengok dia masa tu. Semasa melahirkan suami menghilang entah ke mana. Kaki masih lagi berstokin, tapi paksakan juga diri naik turun pejabat agama. Gelojoh benar suami tadi mahu berbinikan orang asing.

 

Tapi ini kisah lama. Kawan Datin X pun sudah lama move on. Makin cantik, makin bahagia, makin kaya. Tapi nampaknya, Anne masih lagi menyimpan rasa dengki yang tak sudah. “You tahu Datin… hujung minggu lepas, Anne berkunjung ke showroom I. Semua staff I terpaksa melayan dia seorang saja sebab lagaknya mengalahkan Mem besar. Habis dia nak cuba semua, setiap laci dia selongkar konon nak beli. Akhirnya dia boleh kata to my staff yang dia tak gemar produk I and maybe nak consider belikan buat setiap orang gajinya. Dia memang sengaja mahu degrade I. And this is not the first time she made the remark. Dulu pun pernah sekali masuk butik, browsing sambil kata yang brand ni layak dipakai oleh orang gaji sahaja. Dia sedar tak yang dia tu dengan orang gajinya, sebangsa?!” Inilah dia yang dikatakan bodoh tidak boleh diajar!

 

Dipetik daripada GLAM Isu Ogos 2018.

Your email address will not be published. Required fields are marked *