
Azrinaz Mazhar Hakim adalah bekas personaliti televisyen berkongsi kisah mengapa wanita selesa tidak berkahwin.
Pemikiran ini bukan sahaja ada pada golongan bujang, tetapi termasuklah juga kepada mereka yang pernah berumah tangga. Mungkin perit atau pengalaman pahit sebelum ini menjadi penghalang atau membuatkan mereka berat untuk berkongsi kehidupan mereka dengan lelaki lain, di zaman ini, wanita lebih berdikari. Walaupun banyak kekangan dari segi tuntutan nafkah dan proses pembahagian harta pasca penceraian yang begitu rumit, ramai ibu-ibu tunggal mampu membesarkan anak-anak mereka dengan sendiri malah ada yang menjadikan pengalaman ini sebagai pemangkin untuk berjaya, masakan tidak dapat kita lihat begitu ramai ibu tunggal yang menjadi usahawan, tokoh korporat dan ahli politik yang berjaya.
Dari segi sudut pandang positif bolehlah dikatakan wanita kini yang selesa tidak berkahwin adalah petanda dan bukti kepada kemajuan ekonomi dan pemerkasaan wanita sebagai seseorang individu yang mampu menjaga dirinya tanpa memerlukan mana-mana lelaki. Namun, dalam hidup bermasyarakat dan dalam ruang lingkup membina ummah, tidak dapat dinafikan institusi kekeluargaan itu merupakan batu asas kepada pembinaan sesebuah negara. Ada saya terbaca dalam sebuah laporan akhbar, di mana berdasarkan bancian tahun 2014, kadar kesuburan penduduk Malaysia adalah pada paras 1.9. Ini bermakna dalam 1000 orang wanita Malaysia, 1900 bayi dilahirkan. Ini kalau dikira secara berpasangan antara lelaki dan perempuan, bermaksud populasi kita tidak bertambah. Sekurang-kurangnya kadar kesuburan 2.0 ke atas barulah dapat memastikan populasi kita ini kekal atau mengalami pertumbuhan.
Sebab itu kita dapat lihat negara-negara maju yang mempunyai kadar kesuburan yang rendah memperkenalkan pelbagai insiatif bagi menggalakkan pasangan berkahwin dan melahirkan zuriat. Malah, suatu ketika dahulu, Singapura ada melancarkan sebuah kempen yang agak kontroversi yang membabitkan doktor pakar kesuburan yang berfesyen agak meriah bagi menggalakkan warga kota singa itu berkahwin. Kadar kesuburan yang rendah sebenarnya adalah lumrah kepada negara-negara maju apabila keperluan dan kemahuan materialistik mendahului kehendak rohani dan kekeluargaan.
Namun dalam konteks Malaysia, kemahuan materialistik atau tekanan kerjaya tidaklah menerangkan secara menyeluruh akan trend wanita kini yang semakin selesa tidak berkahwin. Banyak lagi faktor-faktor lain yang memainkan peranan seperti penggaruh keluarga yang terlalu memilih pasangan anak perempuan mereka, lelaki yang kurang berkeyakinan mengahwini wanita yang berpangkat atau bergaji yang lebih tinggi dari mereka dan ada pula yang terpaksa menghadapi cabaran golongan lelaki yang merampas lelaki lain (luar tabii).
Pelbagai kisah seperti si isteri diminta meninggalkan kerjayanya kerana suami mahu dia menjadi suri rumah sepenuh masa hinggalah kepada kes-kes penderaan dan pengabaian, mungkin menjadi sebahagian kepada faktor mengapa wanita lebih selesa hidup bersendiri tanpa berteman.
Apa pun, walau selesa dalam bersendiri dan berdikari, lumrah manusia itu adalah dalam berpasangan, sebagaimana Adam dan Hawa, tetapi haruslah ingat, jodoh itu berbeza-beza untuk setiap insan. Sebagaimana kita mahu menggalakkan lebih ramai wanita untuk berpasangan dan meneruskan zuriat keturunan, kita juga harus akui bahawa terdapat kekangan dalam merealisasikan perkara ini, dan ianya tidak semestinya berpunca dari si perempuan sahaja. Mungkin sudah tibanya kita sebagai masyarakat jangan terlalu remeh dalam perkahwinan, meletakkan syarat yang karut marut sehingga susah untuk si anak mencari pasangan, dari mahar perkahwinan yang tinggi, sifat memandang status dan harta hinggalah kepada mengawal kehidupan si anak. Akhirnya, yang hendak berkahwin dan menentukan kebahagiaan adalah wanita dan lelaki itu sendiri, sesungguhnya hidup ini tidak perlulah sentiasa berdrama ibarat siri di TV setiap senja. Benar, wanita kini lebih selesa untuk tidak berkahwin, tetapi kita selaku pihak keluarga, berilah mereka ruang yang selesa untuk mereka berubah fikiran untuk mendirikan rumah tangga serta membina keluarga yang bahagia.