Skrub wajah sering dianggap sebagai langkah wajib untuk mendapatkan kulit yang halus dan bersih. Namun, adakah benar anda perlu melakukannya setiap hari untuk melihat hasil yang maksimum? Atau sebenarnya ia boleh memberi kesan sebaliknya kepada kulit?
Ramai yang percaya bahawa semakin kerap melakukan eksfoliasi, semakin cepat kulit menjadi glowing dan bebas cela. Mereka sering mencuci wajah diikuti dengan penggunaan skrub setiap hari, terutamanya bagi kulit berminyak atau selepas memakai solekan. Walaupun fungsi skrub boleh mematikan sel kulit mati, adakah rutin ini benar-benar perlu dilakukan setiap hari, atau sekadar mitos kecantikan yang sudah lama berakar? GLAM kongsikan jawapannya buat anda.
Apa Sebenarnya Fungsi Skrub Wajah?
Skrub wajah secara umumnya terbahagi kepada beberapa jenis, bergantung kepada cara ia berfungsi pada kulit. Skrub fizikal ialah jenis yang paling umum, menggunakan partikel halus seperti gula, biji aprikot atau butiran mikro untuk menanggalkan sel kulit mati melalui geseran lembut. Ia memberikan kesan kulit yang lebih licin serta-merta, tetapi perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak mengiritasi kulit. Selain itu, terdapat skrub kimia atau exfoliant yang tidak melibatkan gosokan, sebaliknya menggunakan bahan seperti AHA atau BHA untuk melarutkan sel kulit mati secara perlahan. Jenis ini biasanya lebih lembut dan sesuai untuk kulit sensitif atau berjerawat kerana ia bekerja tanpa geseran fizikal yang boleh merosakkan lapisan kulit.
Skrub wajah boleh membantu mencerahkan tona kulit, menghaluskan tekstur wajah, membersihkan pori yang tersumbat, serta meningkatkan penyerapan produk penjagaan kulit dengan lebih berkesan. Nampak sempurna, bukan? Namun begitu, kunci sebenar kepada keberkesanannya terletak pada kekerapan penggunaan.
Perlukah Skrub Setiap Hari?
Jawapan ringkasnya adalah anda tidak perlu dan tidak digalakkan untuk skrub wajah setiap hari. Kulit wajah anda mempunyai lapisan pelindung semula jadi yang sensitif, dan melakukan skrub setiap hari boleh menyebabkan kulit menjadi terlalu kering, iritasi serta kemerahan, malah melemahkan lapisan perlindungan kulit dan menjadikannya lebih sensitif terhadap sinaran matahari serta pencemaran. Sebaliknya, kebanyakan pakar kecantikan menyarankan skrub wajah hanya 1–2 kali seminggu sahaja, bergantung kepada jenis kulit.
Setiap kulit berbeza, dan rutin eksfoliasi juga tidak sama. Kulit berminyak boleh melakukan skrub sekitar 2–3 kali seminggu, kulit normal cukup sekadar 1–2 kali seminggu, manakala kulit kering atau sensitif pula disarankan sekali seminggu. Jika kulit mudah breakout atau sangat sensitif, pilihan exfoliant kimia yang lebih lembut biasanya lebih sesuai berbanding skrub fizikal kerana ia berfungsi tanpa geseran yang boleh mengiritasi kulit.
Tanda Anda Terlalu Kerap Skrub Wajah
Jika anda menyedari tanda-tanda seperti kulit terasa pedih selepas mencuci muka, wajah menjadi kemerahan atau mula mengelupas, serta kulit kelihatan lebih berminyak daripada biasa, itu mungkin petanda jelas bahawa anda terlalu kerap melakukan skrub wajah. Keadaan ini menunjukkan lapisan perlindungan semula jadi kulit telah terganggu, sekali gus menjadikan kulit lebih sensitif dan tidak seimbang. Oleh itu, kunci sebenar adalah keseimbangan dan konsistensi untuk mengekalkan kulit yang sihat dan berseri.