Korner Mak Datin: Dilema Wanita Cantik, Enggan Berkongsi Suami

DatinXNEW
 
Seperti yang diceritakan oleh Amirah Kepada Datin Julia
 
“Seronok jadi solo macam kau, pergi mana-mana tiada siapa yang larang. Hari ini bercinta dengan orang ini, esok lusa  dengan orang lain pula. Aku rindu masa zaman solo dulu,” kata Aina. Keluhannya selalu sangat aku dengar dan dah rasa muak pula. Itulah dialog ‘standard‘ berulang kali disebutnya. Entah kenapa dia pula rasa seronok menjadi aku yang berusia 40-an tetapi masih solo sedangkan aku pula berasa bertuah jadi sepertinya.
 
Tidak perlu penat bekerja memerah otak, melayan kerenah klien, sakit kepala fikir macam mana nak cari duit lebih fikirkan pasal business. Berkahwin jadi isteri kedua bermacam-macam suaminya berikan. Tidak perlu berhempas pulas kumpul duit beli rumah, suami belikan banglo pakej dengan orang gaji sekali. Dua buah kereta mewah cecah ratusan ribu. Dalam beg beratur kad kredit, mahu shopping hanya tenyeh sahaja kad, semua bil suami yang bayarkan. Bertuahnya badan.
 
Memang manusia tidak pernah merasa puas. Mendambakan kehidupan orang lain sedangkan tidak nampak kelebihan apa yang ada padanya. Adakah kita manusia terlalu sukar untuk melafazkan syukur. Tidak dapat dinafikan setiap orang tidak lari daripada permasalahan. Ada yang lebih harta tetapi kurang pula kasih sayangnya. Ada orang kurang hartanya tetapi hidup pula bahagia. Bagaimana pun setiap orang punya bahagian. Itulah fitrah manusia dalam kehidupan.
 
Aku menerima mesej daripada Aina, mengajak aku bersarapan katanya tekaknya mengidam mahu makan lontong, sudah menjadi kebiasaan aku yang solo ini, jika ada masa terluang tiada urusan kerja, aku menjadi ‘supir’ tidak bergaji kepada Aina, dan selalu menurutnya membeli-belah atau ke mana saja. Dahulu kami seperti belangkas ke mana sahaja berdua, ada juga yang berkata kami adik beradik, wajah ada iras. Cuma jodoh Aina cepat, dia dahulu yang berkahwin. Aina nasibnya selalu baik, bila berpacaran mesti kekasihnya usahawan dan berkahwin pula dengan hartawan. Berbanding dengan aku yang kurang bernasib baik di dalam perhubungan, berkawan bertahun-tahun tetapi tiada kesudahan dan tak kahwin-kahwin juga.
 
Tetapi aku hairan dengan Aina, setiap kali bertemu dengan aku ada sahaja keluhan. Bila ada masalah akulah tempatnya meluahkan perasaan. “Aku pelik betul dengan kau. Apa lagi yang kau nak dalam hidup? Belajarlah bersyukur, sekurang-kurangnya kau dah berkahwin. Tengok aku yang tidak berkahwin lagi, hidup solo sunyi tau!” luah aku.
 
“Kata kau, sunyi konon! Boyfriend ramai pun masih sunyi? Hei… kahwinlah apa tunggu lagi,” kata Aina tersenyum manis.
 
“Kalau ada yang sesuai hari ini juga aku kahwin. Tapi tiada yang sesuai,” jawab aku. “Kau bukan muda lagi nak cecah 40 takkan tak jumpa lagi bakal suami. Kata Imran, perempuan kalau umur sampai 40-an tak kahwin, mesti ada something wrong dengan perempuan itu!” kata Aina lagi.
 
“Ah… kau jangan nak macam-macam,” jawabku sambil menghirup kuah lontong tetapi fikiran melayang, terbayang lelaki yang ada di dalam fikiran entah kenapa hati merasakan semuanya tidak ada masa depan.
 
“Eh!Amirah, kau ada kenal mana-mana orang berubat yang pandai tak? Aku nak pergi minta awetkan rumah tangga aku ni… nak kasi ‘ubatkan’ laki aku biar dia sayangkan aku seorang.”
 
“Huh? Pulak? Tolonglah, sejak bila kau pandai ‘mak esah’ ni?” hampir tercekik lontong apabila mendengar permintaan Aina itu.
 
Kata Aina, suaminya Imran sudah jarang pulang ke rumahnya. Banyak meluangkan masa memerap di rumah bini pertama, membuatkan Aina tak senang duduk. Bibik Su, orang gaji bini pertama bertindak sebagai informer kepadanya. Mulanya aku tertanya-tanya bagaimana Aina begitu rapat dengan Bibik Su, rupa-rupanya Aina yang menguruskan pengambilan orang gaji. Apabila Imran mencari meminta tolong, apalagi Aina bijak mengatur strategi. Setiap hari dia akan menelefon orang gaji bertanya. Bibik Su sudah semestinya memberitahu kerana dia juga makan gaji mejadi informer kepada Aina.
 
“Kau tahu tak, madu aku sekarang sudah pandai berbomoh. Tiap-tiap pagi dia akan beri air untuk Imran, minum. Sejak itu Imran macam acuh tak acuh dengan aku,” tuduh Aina. “Tolonglah! Aina, janganlah jadi perempuan yang tipikal. Mana kau tahu isterinya sanggup main ilmu hitam? Bila suami tak balik rumah asyik berkepit dengan bini pertama dikatanya sudah di bomoh bini pertama! Come on lah Aina!”
 
“Kalau aku jadi Imran, balik rumah asyik minta duit, nak beli itu dan ini, lelaki mana yang tahan? Kau kena ingat Aina, suami kau itu dah lalu segala macam  susah senang dengan isterinya. Memang layaklah kalau dia beri perhatian lebih pada isteri pertama yang sudah banyak berkorban untuknya!” Aku faham benar dengan sikap Aina, dia seperti kebanyakan wanita yang hidupnya asyik mahu cantik sahaja. Botoks sana-sini, hari-hari pergi buat rambut. Manicure, pedicure memang tak pernah miss.
 
Dengan Aina, Imran tidak dapat meluahkan segala hal kerja kerana Aina tidak faham. Sedangkan bila dia bersama isteri pertamanya mereka boleh berkongsi cerita. Masing-masing sudah faham sesama sendiri, kalau ada masalah selalu bertukar-tukar pandangan dan cadangan dalam hal berkaitan keluarga mahupun perniagaan.
 
“Tapi aku buat ini semua sebab nak cantik selalu depan Imran. Tak mahu dia cari lain! Jadi orang perempuan ni, kalau mahu bahagia, kita kena banyak bekorban,” pandai-pandai Aina menasihati aku sambl memintal rambut ikalnya di cermin dan memperbetulkan bulu mata palsunya.
 
“Ala… Aina, lelaki kalau dia nak cari yang lain dia boleh cari. Kalau kau perempuan tercantik sekalipun, kalau dia nak miang, dia cari juga perempuan lain. Nanti kau juga yang tak boleh nak kawal.” “Kau tak berada di tempat aku, jadi kau tak rasa apa aku rasa. Aku makan hati, kau tak tahu!” Aina merengus. “Ya… aku tahu. Kau yang sanggup berkongsi kenapa pula mahu meminta lebih kan?” jawabku elamba.
 
“Kau lupa, ada sesuatu yang kau dapat perlu kau bayar. Jangan nak banyak complaint. Kalau nak berkasih sayang sangat janganlah gatal kahwin suami orang. Suami kau businessman, masanya terhad, separuh hidupnya adalah kerja dan yang lagi separuh itu lah dia nak berkongsi suku untuk kau dan suku lagi untuk isterinya. Dan kau jangan lupa bahagian anak-anaknya pula!” Balas Aina, “Aku nak kerja, nak juga dapat duit sendiri, bosanlah duduk rumah! Aku tak ada anak, bosan sangat. Dah macam-mcam cara aku cuba nak mengandung. Kau cakap saja apa… IUI? IVF? Semua aku dah try! Itu belum masuk  berubat kampung lagi. Badan aku ini dah macam lunyai kena urut! tetapi sampai sekarang masih tak ada rezeki lagi.”
 
Aina mendesak aku, setiap hari dia BBM mengingatkan aku mencari bomoh paling handal minta ubat supaya lakinya sayangkan dia. Walaupun sudah berkali-kali aku tegah, dia tetap berdegil. Memang aku sudah masak benar dengan perangai Aina. Kalau da mahu sesuatu, masa itu juga dia mahukan bagaikan tiada hari esok. Rimas aku dengan sikap Aina yang kuat mendesak. Setelah bertanya dengan ramai kawan-kawan, akhirnya aku mendapat tahu maklumat dari seorang teman. Katanya ada seorang makcik yang pandai membuat jampi-serapah mengekalkan keutuhan rumah tangga. Aku bertindak sebagai orang tengah, menghubungi Mak Odah, bertanya apa yang perlu dibawa. Ada ramai yang bertemu Mak Odah katanya, rumah tangga yang bergelora kembali aman, kasih sayang yang renggang dapat dieratkan. Tiba hari appointment dengan Mak Odah, aku memandu Aina ke suatu tempat yang agak pendalaman. berhenti sahaja kereta, aku tiba-tiba rasa tak sedap hati. Rasa berdosa sangat bersubahat dalam hal yang jelas syirik ini. Jenuh Aina membebel memaksaku ikut sekali. Kata Aina, usahanya ini bukan terlalu percaya tetapi salah satu usaha! Ah, kononnya!
 
Aina berkeras mahu pergi juga lalu dia keluar kereta sendirian. Aku pun rasa tak patut biarkan kawan aku tu berjalan berseorangan melalui denai yang destinasinya entah ke mana. Lalu dengan hati yang berat, aku pun mengekori Aina dari belakang. Mak Odah rupa-rupanya Orang Asli. Deretan rumah kerajaan yang dibina khas di tengah hutan, tidaklah nampak menakutkan apatah lagi di tengah hari rambang seperti hari ini. Bertanyakan kanak-kanak yang sedang sibuk bermain, kami dibawa ke rumah yang hujung sekali. Mak Odah wanita lebih separuh abad menyambut kami berdua dengan penuh mesra. Hati gelisah menjadi sedikit lega.
 
Aina memberitahu hajatnya. Mak Odah membawa keluar segala macam daun, akar kayu, kain batik dan macam-macam lagi. Mantera yang aku tak faham langsung bahasanya membuatkan bulu roma aku meremang. Aku berbisik kepada Aina mendesaknya supaya pulang. Mak Odah terhenti sebaik mendengar kami berdua berbalas bisik. “Oh, maaflah Mak Odah, kawan saya ni tiba-tiba nak balik pulak!” Mak Odah terus menjerit memanggil suaminya di luar, minta dibuatkan kopi untuk aku supaya hilang darah gemuruh. Bila disua, aku minum saja.
 
Episod bersama Mak Odah sudah seminggu berlalu. Tidurku setiap malam tidak nyenyak. Perasaanku terganggu berasakan diri diperhatikan. Kadang-kadang badan aku rasa seperti nak pitam. Lebih mengerikan, badanku nak ruam yang amat teruk pada malam harinya. Bila berjumpa doktor, dia tidak dapat mengenal pasti apa puncanya. Dua minggu berlalu, hidup aku semakin tak tentu arah. Satu hari aku mangambil keputusan untuk berjumpa ustaz yang pernah mengubati kakak aku dahulu. Bila dirisik-risik rupanya aku sudah ‘terkena’. Berdesing telinga aku seketika. Siapalah nak sihirkan aku ni?
 
Ustaz tersebut mula bertanya ke mana aku pergi dalam seminggu dua yang lepas. Katanya aku ada pergi ke satu tempat yang ‘kotor’. Tiba-tiba au teringatkan Mak Odah. Dalam segan, terpaksa juga aku menceritakan segala-galanya kepada Ustaz tersebut. Ustaz itu hanya menggeleng kepala dan menyuruh aku berjanji supaya jangan pergi lagi ke tempat sebegitu. Beritahu Ustaz itu lagi, kopi yang dihidangkan kepada aku oleh suami Mak Odah tempoh hari menggunakan air mandian mayat! Terkedu aku seketika, terus rasa loya seperti nak termuntah rasanya. Kata Ustaz, Mak Odah perasan yang aku ni sangsi dan dia tidak mahu kehilangan pelanggannya, Aina. Sebab itu aku dijamunya air kotor supaya aku jatuh sakit dan mungkin akan datang balik kepadanya untuk berubat lagi.
 
Bila Aina menelefon mahu berjumpa, aku memberi seribu alasan. Bukan apa, aku dah serik. Aku dah tak pecaya dengan sesiapa pun sekarang ini. Baik lelaki mahupun wanita. Ada perempuan yang nampak suci, baik, lemah-lembut, pijak semut tak mati tapi di belakang suka main bomoh. Mulanya aku tak percaya, tapi bila Aina mahu cuba sihirkan suami tanpa rasa bersalah, barulah aku buka mata. Kalau orang dengki dan tak puas hati, macam-macam mereka cari jalan untuk buat kita mati. Bini pertama guna bomoh untuk bodohkan suami supaya benci pada madunya, yang bini kedua sihirkan suami supaya sayangkannya lebih dari yang pertama. Yang kesian lelaki juga. Hidup tak tenteram, jiwa tak tenang, kadang-kadang terfikir juga aku patutlah lelaki sekarang pendek umur disebabkan menjadi mangsa bahan tuba ilmu hitam. Walaupun zaman sekarang dah  moden, nampaknya kita sudah berbalik ke zaman jahiliah! Nauzubillah!
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Disember 2011
 

POST A COMMENT