GLAM Next Face: Tinie Mencipta Evolusi Dunia Peragaan Lokal

GLAM imbas kembali penggambaraan di Paris bersama salah seorang supermodel tanah air, Tinie dalam koleksi haute Chanel.

 

Sejujurnya saya sendiri amat teruja, lalu tidak sabar menunggu harinya. Bukan sekali mahupun dua kali kami (saya dan Pengurus Komunikasi Chanel Malaysia, Angeline Au) merancang penggambaran khas ini. Bukan sembarangan fesyen tetapi daripada himpunan haute couture (Adi Busana) Chanel antara lain, sesuatu yang tidak mustahil tetapi sama sekali tidak mudah. Yang pasti juga tidak akan GLAM dapat mengadakan penggambaran ini di tanah air sendiri kerana himpunan haute couture belum pun dalam sejarah dihadirkan di sini, apatah lagi setiap pasang amat tinggi nilainya. Bayangkan mahu dibawa 10, oh lupakan hajat mu itu Wirda! Minggu fesyen Paris musim panas 2010 hampir menjelang. Antara kesibukan mengguruskan pemergian menghadirinya, saya ‘dikejutkan’ dengan berita yang sudah lama saya nantikan – siap sedia ke Paris ‘takluki’ haute couture Chanel.

 

Di sana siapa menanti? Siapa yang paling layak menjadi peragawatinya? Dengan begitu tegas syarat diberi, tiada wajah lain yang dapat menyarungkan persalinan agung ciptaan Karl Lagerfeld ini. Layaknya si pemakai adalah yang tinggi lampai, yang kala disarungkan, menyerlah keperibadian ‘bidadari’nya. Pada himpunan yang Karl Lagerfeld menterjemahkannya sebagai, “a graphic effect, without clutter.”

 

tinie3

 

Sebagai illustrasinya, couturier ini membayangkan siluet dengan jalinan asymmetrical dengan bahunya yang lembut. Bahagian belakangnya sengaja dipanjangkan dengan mengadakan kesan panel-panel yang seolah terapung, sungguh menakjubkan dan flattering for the legs juga, tanpa ada lagi seperti gaun ball yang berat lagi menyeksakan itu. Sementara wajah si peragawatinya dibingkaikan dengan topi bentuk loceng diperbuat daripada tulle dan sulaman yang diindahi labuci serta kristal, kalis cahaya, seakan-akan antara jelas dan tidak. Kata Lagerfeld yang mengulas lagi mengenai himpunannya kali ini, “It’s a veil of coquetry that creates a mystery. It’s quite pleasant, sometimes, to see but not be seen.”

 

Dan berita yang menyeronokan, Tinie dikecualikan untuk fitting dulu sebelum penggambaran. Jawapannya kerana, Tinie adalah peragawati memenuhi kriteria yang dimahu Chanel untuk menyarungkan haute couture. Seorang yang bukan sahaja tinggi lampai, tetapi dapat memberikan ‘nyawa’ kepada persalinan itu.

 

fashion71009-336394

Pagi itu cuaca juga sungguh cantik. Tinie sudah menunggu di Salon Vendome, dan Grego yang dibawa khas dari kota Singapura memulakan solekan serta dandanan. Pengarah kreatif, Cheah Wei Chun sudah siap sedia mengalirkan ilham bagi menghidangkan setiap persalinan yang sudah digantung dan disusun bersama pelbagai aksesori yakni kasut, topi serta barang kemas serta himpunan geret yang indah. Ya jurugambar Bustamam Moktar tidak sabar memulakan tugasannya di hari itu.

 

Satu, dua, tiga dan seterusnya. Setiap satunya ‘mendebarkan’ perasaan kami di situ. Seperti persalinannya yang dikatakan misteri, ya begitulah kekaguman kami setiap kali Tinie menyarungkan persalinan yang baru… tepat seperti yang diwar-warkan Chanel, ‘…is composed of an elegance full of surprises.’

Tiada yang amat menyeronokan Tinie kala diberitahu, dialah orangnya yang berjaya menyarungkan adi busana Chanel, dengan penggambaran dibuat di ibu kota fesyen terkenal dunia ini. Setelah dua insan dipilih tidak direstu Chanel, seolah tiada syarat pula dikenakan kepada Tinie. Apa tidaknya, Tinie kebetulan pun berada di Paris. Bukan kah Paris sedang mengadakan Minggu Fesyennya? Sudah tentu peragawati-peragawati terpilih sahaja yang berada di sini. Sebaik tamat tugasannya dengan pereka terkenal Singapura yang berpangkalan di London, Ashley Isham, kami sempat menyambar Tinie. Kata Tinie, “Impian menjadi kenyataan. Tinie pernah berangan-angan melihat diri ini sebagai hiasan kulit juga peragawati yang menghiasi helaian demi helaian majalah, dan penggambaran di Paris. “Ya kak Wirda, Tinie tak terkata betapa bertuah diberi peluang ini. Tinie tahu setiap peragawati berangan menyarungkan persalinan haute couture Chanel, dan Tinie yang dipilih? Gosh!”

 

Tinie, baru-baru ini di Minggu Fesyen di sini anjuran MiFA sekali lagi terpilih sebagai Model of the Year (2006, 2007, 2009) dan Asian Model Award. “Tinie gembira dapat menzahirkan cita-cita yakni melihat anak Melayu memegang piala yang indah ini. Bagi Tinie, apa pun yang anda fikirkan mengenai bidang modelling, tetapi tepatnya, dunia yang dianggap glamor ini tidaklah seglamor mana, pun ia sungguh istimewa. Tiada sembarangan orang boleh menjadi peragawati, apa tah lagi menerima anugerah.”

 

tinie4

 

Dua bulan yang teramat sibuk bagi Tinie sebelum dia berada di kota romantik ini. Katanya, mungkin rezeki, sebelum ini dia di London. Seminggu di kota gah itu, dia kembali ke Singapura, balik semula ke London dan kemudian sempat balik ke Kuala Lumpur, sehari cuma, untuk berhari raya dengan dua anaknya sebelum ke Singapura lagi dan terbang ke Paris. Dari Paris, sehabis penggambaran untuk GLAM, Tinie bergegas ke lapangan terbang untuk ke Singapura. Ada minggu fesyen di sana sebelum pulang ke tanah air.

 

Begini kah kehidupan insan yang bergelar peragawati? Ya, jikalau ‘she’s the IT girl’ nya. Dan bagi Tinie, semuanya tidak berlaku sekelip mata. Selama 10 tahun dia mengharungi dunia yang penuh ranjau dan liku ini. Hari ini penat lelah, kesabaran serta penantiannya berbalas jua. “Menanti… itulah antara ‘kesakitan’nya menjadi model,” kata Tinie kala saya hubungi sekejap tadi (Tinie di Langkawi bersama ibu dan dua anaknya). “Saya tidak faham maksud you,” jerit saya di corong telefon. “Kak… kalaulah Tinie ini tak sanggup hendak menanti, sudah lama Tinie benamkan kerjaya ini. Sehingga ke hari ini, kerja kami menanti dan menanti, 10 tahun ya, inilah antara tugasan kami.”

 

Bagi menjelaskan lagi, katanya setiap kali seorang model itu dimestikan mengadakan fitting untuk jenama berkenaan. Pada pertunjukan besar, yang membabitkan jenama terkenal dunia, bukan sekali dua mesti melalui fitting, tetapi sehingga empat kali. Bayangkan setelah lulus kali ke tiga, dan hanya tinggal satu sesi terakhir, lalu gagal. Kerana mungkin masa berjalan tadi kekoh, atau katakan lah gaun yang labuh itu gagal dibawa sebaiknya masa berjalan walaupun baju itu perfect di badan. Klien menolak dan model terpaksa pulang tangan kosong. Bayang! Empat sesi yang membuat diri jenuh menunggu; menunggu giliran, menunggu masa rehearsal, menunggu klien, menunggu disolek didandan dan sebagainya. Tinie teringat pada satu ketika kala di Hong Kong. Seramai 200 model dari seluruh dunia dipanggil, dan kami semua menunggu… Satu demi satu menjalani ‘ujian’, dan yang dimahukan cuma 40 sahaja. Jadi… bukan sahaja letih tetapi gerun juga. Kalau aku tidak terpilih bagaimana?

 

tinie5

 

Kata Tinie, yang ramai tidak tahu, betapa kekuatan mental dan fisikal adalah yang paling utama. “Orang ingat mesti tinggi, cantik dan kurus sahaja. Oh tidak… it’s really hard work… persaingan di mana-mana, pasarannya kecil, muka mat Saleh selalunya yang laku, dan lagi perlu ada keyakinan diri, tidak dinafikan luck juga.”

“Bagaimana, perlu kah ditahan nafsu makan?” tanya saya menambah cerita. “Nasib lah, Tinie boleh makan tanpa terpaksa meleleh air liur tetapi…Tinie ini Melayu, makan belacan. Oh, oh… perut ini tak terima roti selalu, keju hem… tekak loya. Kalau boleh hari-hari nak makan nasi.”

 

Jadi bila masa yang dikatakan glamornya? “Hanya terkala melewati pentas peragaannya. Tamat, Tinie tukar baju dan pakai baju T dan jeans. Satu lagi, Tinie tidak akan membeli pakaian mahal kalau untuk sekali pakai sahaja. Kalau mahal Tinie akan pakai beratus kali! That’s Tinie.”

 

Sepuluh tahun kembaranya sebagai peragawati, kata Tinie dia belum puas lagi. Mahu dia merasa melewati pentas di Milan dan New York. Namun begitu, sudah ke Moscow, Beijing, Shanghai, beberapa negara di Barat seperti di Jerman dan Holland, juga di Korea, Hong Kong serta negara Asean yang lain. Selalunya atas tugasan tertentu kecuali di Hong Kong, Tinie pernah menetap sampai tiga bulan. “Rasanya, that’s it, Tinie sudah merasa dan tak mahu lagi. Tinie mahu pilih show dan menetap di Kuala Lumpur. I have two kids to take care of!”

 

tinie7

 

Walau kata Tinie dia belum jemu untuk menitikkan kerjayanya ini tetapi sudah tiga tahun sebenarnya dia membantu Andrew di belakang tabir. “Tinie suka, lebih-lebih lagi melihat adanya anak-anak muda kita yang berpotensi… kalau boleh Tinie sumbangkan pengalaman, mengapa tidak?” Tentang siapa yang dia nampak akan pergi jauh… “Gwen…” cepat dia menjawab. Sebab Gwen berkerja keras and she never fails to practise day after day, hours and hours…”

 
 
Klik disini untuk sertai GLAM NEXT FACE.

POST A COMMENT