Retorik: Sinergi Seni Visual & Budaya Popular

Kuala Lumpur skyline in watercolor backgroundGambar: ingimage

 
Sepulangnya ke tanah air selesai menuntut ilmu dalam sejarah seni yang merangkumi agama serta tamadun dunia, penulis berasakan Kuala Lumpur sudah banyak berubah. Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-24 yang berdaya saing tinggi. Untuk mengekalkan status negara maju, jentera-jentera lain juga harus bergerak sama deras. Ini termasuklah industri seni tanahair. Setiap negara dunia pertama mempunyai prasarana, latar dan kualiti seni bertaraf dunia. Seni yang dimaksudkan adalah keseragaman dalam rangkuman semua medium. Baik seni visual, rekabentuk, filem, teater, tari, muzik, prasarana muzium mahu pun sastera.
 
Baru-baru ini di galeri Pace, New York, penyanyi rap Jay-Z telah melancarkan gimik pelancaran lagu, Picasso Baby dari album terbarunya, Magna Carta Holy Grail. Menerusi album terbaru, Jay-Z merujuk kepada artis seni visual seperti Jean-Michel Basquiat, Mark Rothko serta Francis Bacon. Dengan senarai jemputan seperti Marina Abramovic (artis seni persembahan kontroversi), tidakkah ini gabungan strategi promosi dan pemasaran yang efektif?
 
Senario seni di Kuala Lumpur juga kian mengambil pendekatan yang lebih kurang sama. Baru-baru ini di Galeri Petronas, dalam kapasiti iklim korporat dan tanggungjawab sosial korporat, telah berlangsung pelancaran Young Malaysian Artist II dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Pelancaran pameran diserikan dengan persembahan empat penyanyi inisiatif Tanah Airku oleh Petronas. Aizat, Stacy, Suki dan Alinda diundang melontarkan suara dalam memperbaharui karya puisi Usman Awang. Usaha ini diharap dapat menyuntik elemen budaya popular ke dalam penulisan lama.
 
Tidak lama dahulu, sekitar 2008, Galeri Petronas telah mengadakan pameran fotografi berjudul Imaging Selfs oleh artis seni visual, Soraya Yusof Talismail. Artis ini menjadikan beberapa figura seni tanah airnya sebagai subjek. Datuk Siti Nurhaliza, Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Datuk Bernard Chandran, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Ramli Ibrahim dan ramai lagi telah diabadikan dalam siri Imaging Self.
 
Cabaran kita sekarang adalah untuk mengolah identiti sendiri supaya mengikut arus kontemporari tanpa meninggalkan identiti umbi. Galeri Petronas mengklasifikasikan sebahagian daripada koleksinya sebagai Modern Masters. Karya-larya berkenaan adalah hasil kerja artis seperti Datuk Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Datuk Chuah Thean Teng, Ismail Zain, Redza Piyadasa, Datuk Ibrahim Hussien, Hossein Anas dan ramai lagi. Ini bermakna, karya mereka diiktiraf setaraf dengan karya agung artis seperti Mondrian, Klimt, Schiele dan ramai lagi. Cuma yang membezakan adalah resonans pengaruh serta asal geografi para artis ini di mana lokasi antara Eropah dan Asia Tenggara mempengaruhi nilai harga sesebuah karya. Secara dasarnya, jikalau dibandingkan estetika karya Datuk Chuah Thean Teng dengan artis art deco, Tamara de Lempicka, kita akan dapat melihat persamaanya. Ini bermakna, estetika moden tidak lari jauh walaupun terpisah dek sempadan masa dan geografi.
 
“Menghala ke arah kontemporari sambil memelihara khazanah lampau adalah misi Galeri Petronas”, kata Pengarah Galeri Petronas, Rosli A. Rahim. Besar kemungkinan, Galeri Petronas akan mengadakan sesi kuliyah bersama rumah lelong Christie’s tahun ini untuk membicarakan latar seni Asia. Di Langkawi juga, projek nukilan Tun Mahathir untuk menjadikan pulau tersebut sebagai salah satu pusat seni semenjak tahun 80-an dahulu, kini sudah mula mengambil tempat.
 
Tahun 2014 akan menjadi tahun pertama Malaysia melangsungkan acara Art Biennale di sana. Ini merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Balai Seni Visual Negara dan Art Malaysia Association. Usahasama yang lebih kurang serupa adalah kerjasama Karyaneka dengan pereka fesyen British serta pengasas London Fashion and Textile Museum, Zhandra Rhodes. Baru-baru ini legenda fesyen berkenaan telah mengadakan pameran di Muzium Tekstil Kuala Lumpur bertajuk Zhandra Rhodes: A Lifelong Love Affair with Textiles.
 
Dengan segala inisiatif yang dijalankan, tidak mustahil art scene Kuala Lumpur akan menjadi serancak New York. Namun, kita tidak semestinya mencontohi barat sebulat-bulatnya kerana teras budaya kita masih teguh condong ke Timur. Menara Berkembar Petronas laksana The Chrysler di New York dan jikalau Menara Warisan akan dibina, ianya umpama The Empire State Building. Era 1930-an menjadi waktu Amerika Syarikat mula rancak dengan gerakan seni beridentiti art deco. Kita pula bermula 70 tahun kemudian dengan olahan identiti kita sendiri. Secara retorik, dengan kepantasan media baru, mungkin lagi 20 tahun kita akan dapat menyaksikan latar di Kuala Lumpur lebih menyerlah persis kerancakan di tanah asing. How do you imagine 2034 to be like?
 
Oleh: Jamal A. Jamaludin
 
JAMAL A. JAMALUDIN KINI BERTUGAS DALAM PERHUBUNGAN AWAM DAN PUBLISITI UNTUK SEBUAH GALERI KORPORAT DI KUALA LUMPUR.
 
 
Dipetik dari Glam Januari 2014
 
 

POST A COMMENT