Postcards From London: Warisan Abadi Burberry
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan beri...
Read Full Bio
Menelusuri Jiwa London Melalui Lensa Warisan Burberry
Empat filem pendek arahan John Madden menjadi inti kempen ini. Olivia Colman, pelakon pemenang Anugerah Academy, menjelma sebagai pelbagai wajah London yang tidak terhitung banyaknya. Dari peminat kriket yang tenang hingga wanita di sebalik kaunter kedai ikan goreng, setiap lakonannya memaparkan kehangatan dan keanehan kota yang sentiasa hidup. Filem ini juga menampilkan deretan model antarabangsa seperti Amelia Gray, Liu Wen, Lucky Blue Smith, Mona Tougaard dan Tyson Beckford. Berlakon menjadi pelancong yang memandang London dengan mata pertama, sedang Colman menjadi figura yang menyambut mereka. Segala detik ini akhirnya dirangkai menjadi satu naratif yang berpadu secara harmoni, lantas menonjolkan keindahan warisan outerwear Burberry yang menjadi tunjang buat kempen ini.

Burberry terus memberi nafas baharu kepada rekaan ikoniknya. Castleford trench yang dihasilkan di Yorkshire daripada material kapas gabardin kalis air kembali bersama Fitzrovia coat yang berbentuk A-line, memberi siluet bervolume dan moden. Buat lelaki, Chestwood trench memberi penghormatan kepada rekaan tahun 80-an. Reka bentuk Berryhill mempertemukan potongan kot hujan klasik dengan gaya padat yang tegas, manakala Floriston jacket menghidupkan semula jaket berkuilt tradisional dalam potongan kotak dengan kemasan nilon berkilat dan trim korduroi.

Warna menjadi bahasa yang lembut namun bertenaga. Burberry berona beige diberi nafas segar dengan nada clam dan ice. Warna terasnya adalah seperti camel, navy dan hitam berpadu dengan clay brown, coal grey, mahogany serta twilight blue. Setiap rona menggambarkan langit London yang berubah daripada fajar ke senja, daripada hujan ke bercahaya.

Pengembaraan Thomas Burberry kembali berdenyut melalui pop-up butik yang diinspirasikan oleh perjalanan kereta api klasik. Reka bentuk dalaman menggabungkan estetika industri dengan kehalusan Arts and Crafts, nyata mencipta suasana romantis seperti stesen lama yang menyambut kepulangan. Di China, Jepun dan United Arab Emirates, pop-up ini berdiri sebagai ruang nostalgia dan penemuan. Di tengahnya berdetik semula jam bersejarah dari butik Haymarket, dipulihara dengan cermat sebagai simbol masa yang tidak berhenti bergerak. Burberry terus melangkah, membawa warisan yang tidak pudar dalam setiap hembusan angin kota London yang ikonik.
Artikel berkaitan: Fesyen Dan Muzik Bersatu Di Pentas Peragaan Burberry Summer 26
Advertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
