Oleh: Faizal Harun Nasution
Lebih sedekad menuai dalam bidang penulisan khasnya hiburan, manakala secara am untuk gaya hidup dan fesyen, saya akui, masih belum sepenuhnya menjejak, apatah lagi memburu kepuasan. Selagi bumi ini masih berputar pada paksinya, selagi itulah tidak terhenti cerita. Ada saja peristiwa, pengalaman atau pengajaran yang ditimba.
Ya, industri seni juga tidak sunyi dengan kisah dan teladannya. Malah lebih rancak selari dengan pembangunan arus teknologi media terkini. Rahsia amat sukar disembunyikan. Semua kini boleh bergelar ‘mata-mata’ dan tidak kurang juga ada yang ghairah bermedia sosial, akhirnya menelanjang khilaf sendiri tanpa sedar.
Sama ada cerita baik, atau cerita buruk… dalam gelanggang seni lakon atau muzik, ia masih punya nilai publisiti. Gelanggang seni negara Barat misalnya merancang permainan politik publisiti demi kelangsungan masa depan industri khasnya memastikan nama-nama bintang mereka terus menjadi sebutan.
Hmm… gelanggang seni tempatan juga tidak ketinggalan melaksanakan perkara yang sama cuma ada kalanya nampak kurang bijak, atau mungkin tidak sesuai dengan budaya masyarakat kita yang baru terkial-kial mahu menerima makna sifat terbuka.
Alangkah bertuahnya jika bintang itu tersedia dengan pakej lengkap. Berbakat, bijak dan ada rupa. Kita punya semua itu tetapi boleh dibilang dengan jari. Dan ada masa-masanya kita kehausan, ketandusan wira dan wirawati seni untuk terus berjuang dalam gelanggang seni. Jauh sekali untuk menyambung warisan kegemilangannya.
Jika ada pun, hanya separuh jalan. Fasa pertama lengkap dengan semangat padu, jiwa perkasa oleh mantera keinginan menuntut ilmu yang tinggi. Terbit saja pujian laksana seteru… yang akhirnya leka lagi menghanyutkan. Enggan dianggap tidak lagi relevan, cara paling mudah lagi efisyen ialah dengan permainan kontroversi.
Formula gosip, telagah, fitnah, kisah cinta, skandal atau apa saja punya harga di mata masyarakat. Hanya ini satu-satunya senjata ampuh memburu atau meraih perhatian ramai. Hanya berbekalkan satu kontroversi, nama segelintir selebriti yang hampir terlupakan serta-merta segar kembali. Malah, boleh sebaris popular atau glamor dengan selebriti-selebriti baru yang sedang mula mencipta nama.
Pendapat selebriti idola masyarakat masih tepat walau tidak sepenuhnya. Formula kejayaan, usaha gigih atau aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh mereka selayaknya dicontohi. Tetapi tidak sesekali ragam peribadi yang hanya menghancurkan diri. Soal peribadi hanyalah sekadar rencah dalam memberi rasa atau warna pada gelanggang seni. Tetapi, soal enteng inilah yang pantas menacap minda masyarakat kita tanpa sedar, ia juga menjadi amalan biasa umum.
Jadi, usah mengomel kalau gelanggang dunia seni kita lebih gah kisah remeh berbanding riwayat pencapaian. Agak aneh jika kita yang mendorong, maka kita pula yang meradang. Umum tidak sedar bahawa senario yang terjadi ini adalah angkara tabiat anda sendiri. Kita kecanduan kisah-kisah kontroversi, sensasi dan secara logiknya, tiada yang positif tentang kedua-dua kategori tersebut. Kisah panas selalunya berkaitan hal-hal negatif. Dan hal-hal inilah yang membuatkan kita menjadi masyarakat peka luar biasa. Lebih menakutkan lagi, bila masyarakat sudah mula berperanan seperti Tuhan, sibuk menyukat pahala atau dosa sesama insan.
Kita yang kecoh nampak kelibat selebriti dalam kelab malam, sibuk bercerita, ambil foto dan upload dalam Facebook atau Instagram sambil mempertikaikan moral mereka, mengapa tidak cermin diri sendiri? Sedangkan, yang kecoh dan bercerita itu juga ada di tempat yang sama. Jadi, siapa pula kita layak dan mahu mempertikai moral orang lain? Lucu bukan?
Soal menjaga moral adalah soal masing-masing. Cuma bezanya selebriti itu hanya kedudukannya dalam masyarakat. Glamor dan popular. Maka, semua orang kenal dan apa jua yang dilakukan mendapat perhatian masyarakat. Selebriti dianggap tidak boleh berdosa. Mesti baik belaka demi menjaga hati perminat dan masyarakat. Ada selebriti yang akur sepenuhnya dengan kehendak peminat atau masyarakat demi mempertahankan periuk nasi dan reputasi. Sedangkan lumrah hidup manusia biasa, tersilap atau terlepas laku itu memang fitrah kita. Terkawal oleh mata masyarakat, sifat hipokrit pula bermaharajalela. Kita hanya tahu bercerita, mengulas kisahnya tanpa tahu pincangnya nilai seni angkara kerenah sendiri. Jadi, bila terbuka pekung, yang dipuja-puja jadi bahan cerca. Akhirnya siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka.
Faizal Harun Nasution berpengalaman bekerja dalam bidang penulisan selama 13 tahun. Pernah berkhidmat sebagai penulis kanan majalah EH! dan menjadi Ketua Pengarang bagi majalah online ENF, kini Faizal mula berjinak dalam bidang reka gaya secara sambilan.
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Disember 2013
Advertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
Related Stories
Ungu Warna Terbaik Pengaruhi Rutin Seks
BY Wan Firdaus
Apr 16, 2020
Retorik: Belenggu Budaya Menghukum dan Membenci
BY Fara Adilla
Apr 16, 2020
Retorik: Industri Fesyen Lokal dan Masa Depannya
BY Fara Adilla
Apr 02, 2020
Pregnancy Sex: Is It Safe?
BY Wan Firdaus
Mar 27, 2020
Retorik: Tekanan Media Sosial Membawa Kepada Kemur...
BY Fara Adilla
Mar 25, 2020
Retorik – Membunuh Kebahagiaan Dalam Diam
BY Fara Adilla
Mar 20, 2020
Checklist Seks ‘Before & After’- Bahagian...
BY Wan Firdaus
Mar 17, 2020
Your Next Read
Testing Istimewa Template
BY Muhammad Qasim
Apr 30, 2026
GLAM It Girl: Taanusiya Chetty
BY Tyraa Bahari
Apr 23, 2026
Ziana Zain Simbol Kelunakan Suara Yang Terus Relev...
BY Aizat Aidid
Apr 23, 2026
7 Lagu Romantis Buat Detik Bridal Entrance Anda
BY Izzati Hailizam
Apr 23, 2026
Masa Membawa Kecekalan Marsha Milan Mengukir Muzik...
BY Aizat Aidid
Apr 23, 2026
Azira Shafinaz Kembangkan Bakat Dengan Beri Masa P...
BY Aizat Aidid
Apr 23, 2026
Tiru Solekan Emily Blunt Di Red Carpet Devil Wears...
BY Julia Azman
Apr 22, 2026
Evolusi Fesyen Karpet Merah Filem The Devil Wears ...
BY Izzati Hailizam
Apr 22, 2026
Nikmati Kulinari Chef Beranugerah Black Pearl Di C...
BY Izzati Hailizam
Apr 22, 2026
Oversized Atau Slim-Fit, Mana Satu Penentu Gaya An...
BY Tyraa Bahari
Apr 22, 2026
Raikan Hari Ibu Dengan Koleksi Barang Kemas Louis ...
BY Syahirah Hussain
Apr 22, 2026
Ini Cara Sebenar Menggunakan Pelembap Wajah
BY Julia Azman
Apr 22, 2026
Peminat Pilates Kini Pilih Lagree Lebih Intensiti
BY Julia Azman
Apr 22, 2026
Keindahan Senja Timur Tengah Ditafsir Dalam Bentuk...
BY Syafiqah Alkaf
Apr 21, 2026
7 Lip Plumper Mewah Untuk Senyuman Lebih Menawan
BY Tyraa Bahari
Apr 21, 2026

