Acer Swift 5, Komputer Riba Mesti Miliki
5 Gaya Rambut Wanita Paling Sesuai Untuk Musim Bunga
Rahsia Mekap Dari Jurusolek Peribadi Adele!
Alami Pengalaman Fantasi Gucci Flora di Suria KLCC
Rambut Santai Ilham Anugerah Grammy
Home > Cantik > Minum Matcha Boleh Buat Rambut Gugur? Ini Penjelasannya

Minum Matcha Boleh Buat Rambut Gugur? Ini Penjelasannya

Matcha menjadi minuman popular dalam kalangan pencinta gaya hidup sihat namun, sejak beberapa bulan lalu, timbul persoalan di media sosial matcha boleh menyebabkan rambut gugur?

Secara langsungnya, minum matcha tidak menyebabkan rambut gugur. Tiada bukti saintifik yang menunjukkan matcha sendiri boleh menyerang folikel rambut atau menyebabkan keguguran rambut. Matcha adalah serbuk teh hijau yang kaya dengan antioksidan, polifenol dan kafein yang selalunya dianggap baik untuk kesihatan termasuk mengurangkan keradangan dan meningkatkan peredaran darah.

Kandungan utama seperti EGCG (epigallocatechin gallate) dikaji mempunyai kesan positif terhadap kesihatan kulit kepala dan peredaran folikel yang boleh menyokong pertumbuhan rambut jika digunakan dengan betul.

Menjejas Penyerapan Zat Besi

Masalah paling banyak dibincangkan adalah tannins iaitu sejenis sebatian semula jadi dalam matcha yang boleh menjejaskan penyerapan zat besi dalam usus. Jika terlalu kerap minum matcha, terutama selepas atau ketika makan makanan kaya zat besi, tannins boleh mengurangkan jumlah zat besi yang diserap oleh badan.

Zat besi adalah nutrien penting untuk folikel rambut. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan keguguran rambut berpunca daripada anemia atau kekurangan nutrien kerana folikel rambut tidak mendapat cukup nutrien untuk terus hidup. Dalam kes seperti ini, rambut boleh menjadi lebih rapuh dan mudah gugur.

Kafein dan Hormon Stres

Matcha juga mengandungi kafein biasanya sekitar 70–80 mg dalam satu sajian, agak tinggi berbanding teh hijau biasa. Pengambilan kafein yang terlalu banyak sepanjang hari boleh meningkatkan hormon stres cortisol dalam sesetengah individu, dan stres dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada keguguran rambut sementara (telogen effluvium).

Adakah Matcha Bagus Untuk Rambut?

Menariknya, kajian juga menunjukkan bahawa matcha mengandungi nutrien yang boleh menyokong kesihatan rambut. Antioksidan seperti EGCG memiliki sifat anti-keradangan, boleh meningkatkan peredaran darah di kulit kepala dan membantu mengekalkan folikel rambut. Dalam beberapa situasi, ini memberikan kesan yang positif kepada kekuatan rambut dan pertumbuhan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Secara keseluruhannya, matcha tidak menyebabkan keguguran rambut secara langsung. Jika diambil secara sederhana dan seimbang dengan diet yang mencukupi nutrien, matcha adalah minuman yang selamat dan berpotensi memberi manfaat kepada kesihatan termasuk rambut.

Artikel Berkaitan: 5 Best Matcha Dessert Di Lembah Klang Buat Anda Ketagih