Menerusi perbualan jujur di The Chic Code Podcast, Sofia Arissa, seorang pempengaruh dan usahawan hadir mengangkat suara autentik generasi hijabi kini bersama identitinya yang tersendiri.
Sofia Arissa mula meraih perhatian meluas di landskap media sosial menerusi The Chic Code Podcast yang jujur dan mencuit hati bersama rakan hosnya, Wirda Elliesa. Personalitinya yang autentik dan relatable menjadikannya figura hijabi yang mengangkat perspektif generasi baharu, khususnya dalam kalangan Gen Z.
Walau bereksperimen dengan gaya yang versatil daripada streetwear hingga feminin, Sofia Arissa kekal setia pada identitinya. Baginya, hijab bukan sekadar penampilan, tetapi refleksi nilai, prinsip dan cara dia melihat dirinya sendiri. Kekuatan seorang wanita berhijab hari ini terletak pada keberanian untuk kekal setia kepada diri sendiri dan berani melangkah tanpa rasa takut. GLAM berkesempatan menemu bual Sofia Arissa mengenai perjalanan dirinya sebagai seorang hijabi. Mari kita selami bersama.
Definisi Gaya Hijab Sofia Arissa

Gaya peribadi Sofia dalam berhijab banyak dipengaruhi oleh inspirasi awal yang datang daripada Yuna sejak zaman persekolahan lagi, yang sehingga kini masih kekal sebagai sumber ilham. Sifatnya yang berani, natural dan sangat cool menjadi acuan buat Sofia Arissa dalam membentuk gaya peribadinya sendiri. Sofia juga mengakui pernah melalui fasa tersasar dalam mencari gaya berhijab sendiri apabila terlalu mengikuti trend sehingga hilang arah. Namun daripada pengalaman itu, beliau menyedari bahawa gaya sebenar hanya terbentuk apabila seseorang itu jujur dengan dirinya sendiri. Jika gaya hijabnya boleh digambarkan dalam 3 perkataan, Sofia Arissa memilih simple, effortless dan versatile.
Identiti Sendiri Sebagai Lambang Kebebasan Sebenar

Sebagai seorang hijabi, sering kali wujud tekanan daripada masyarakat untuk sentiasa tampak sempurna. Namun, Sofia memilih untuk kekal autentik dan konsisten dalam perjalanannya. Baginya, kesempurnaan bukanlah sesuatu yang dikejar. Apabila ditanya tentang bentuk kebebasan sebenar bagi seorang wanita berhijab, dia berkata bahawa apabila seseorang itu mampu memilih identiti dirinya sendiri tanpa perlu terikat dengan jangkaan orang lain, sambil kekal menjadi diri sendiri dengan tulus. Menurutnya, originaliti kini lebih penting berbanding kesempurnaan, kerana aura dalaman akan lebih menyerlah apabila niat hadir dengan ikhlas.
Versi Sofia hari ini diakui sangat berbeza berbanding ketika pertama kali tampil sebagai hijabi di media sosial, kerana beliau masih dalam proses pembelajaran dan terus memperbaiki diri setiap hari untuk menjadi lebih baik. Baginya, jangan takut untuk mencuba perkara baharu dalam perjalanan membentuk diri. Sofia juga mendefinisikan evolusi diri sebagai gabungan gaya, pemikiran dan perubahan, namun yang paling utama baginya ialah keberanian untuk berubah walaupun berada di luar zon selesa.
Ruang Untuk Suara Dan Hijab

Sofia Arissa melihat The Chic Code Podcast sebagai ruang khas untuk wanita, di mana mereka boleh rasa lebih selesa dengan perbualan yang jujur serta diselitkan dengan elemen chic dan menghiburkan. Menurutnya, penting bagi hijabi generasi kini untuk tampil bergaya dan menjadi suara yang membawa makna. Gaya adalah bentuk ekspresi, manakala suara pula adalah pengaruh, lantas kedua-duanya boleh bergerak seiring.
Sofia juga menyedari kecenderungan untuk membandingkan diri dengan orang lain, telah menjadikannya sebuah ruang refleksi untuk memperbaiki diri sendiri dengan lebih baik. Jika pengaruh Sofia suatu hari nanti memberi kesan kepada cara wanita melihat hijab, beliau berharap hijab akan dilihat sebagai satu bentuk kekuatan, bukan batasan, yang mampu memberi keyakinan diri.
Artikel berkaitan: Hijab Ikon: Perjalanan Sharifah Rose Menjadi Wanita Kuat