fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
GLAM Reviu: Kami Cuba Rawatan Rambut Mewah Bersama Oribe
“Mahkota” Kurang Konvensional Cara Delevigne!
Dye Young, Live Longer
Hidrasi Kulit Matang
Penyelesaian Buat Acne, Nasihat Miranda Kerr
Home > Cantik > Potongan Rambut Yang Sesuai Ikut Bentuk Wajah

Potongan Rambut Yang Sesuai Ikut Bentuk Wajah

Pilihan potongan rambut boleh memberi impak besar kepada penampilan anda, di samping menyuntik keyakinan dan menyerlahkan ciri semula jadi wajah.

Adakah anda pernah berdiri lama di hadapan cermin dan meragui potongan gaya rambut yang dipilih? Kadangkala, potongan rambut yang tampak cantik pada orang lain tidak semestinya memberi impak yang sama kepada kita. Ini kerana, setiap bentuk wajah mempunyai struktur yang berbeza, dan rambut memainkan peranan besar dalam menyerlahkan keunikan tersebut. Oleh itu, ianya amat penting untuk setiap individu tidak memilih potongan gaya rambut mengikut trend semasa atau inspirasi di media sosial. Ia lebih kepada memahami bentuk wajah sendiri dan apa yang boleh membuatkan anda rasa lebih selesa serta yakin. Sudah tentu anda bebas memilih apa jua potongan rambut yang digemari, namun gaya yang tepat pasti tidak akan mengecewakan anda. Apabila anda mempunyai gaya yang sesuai, rambut boleh memberikan sentuhan segar pada penampilan harian. GLAM kongsikan potongan rambut yang sesuai untuk setiap bentuk wajah!

Kenali Potongan Rambut Ideal Mengikut Bentuk Wajah Anda!

1. Wajah bulat

Jangan Salah Pilih, Ini Potongan Rambut Yang Sesuai Ikut Bentuk Wajah Anda

Wajah berbentuk bulat kebiasannya memiliki bahagian pipi yang lebih lebar serta garis dagu yang membulat. Oleh itu, pemilihan gaya rambut yang tepat dapat membantu mencipta ilusi wajah yang lebih panjang dan seimbang. Potongan dengan sedikit volume di bahagian atas rambut mampu mengalihkan fokus kepada tulang pipi, sekali gus memberi kesan wajah yang lebih tirus. Misalnya, curtain bangs dan defined waves adalah sesuai untuk bentuk wajah ini.

Potongan berlapis atau layered haircut juga sering menjadi pilihan ideal kerana ia mudah disesuaikan dengan bentuk wajah. Namun, kedudukan layer tersebut turut memainkan peranan penting. Layer panjang yang bermula sekitar garis rahang dapat melengkapkan wajah bulat dengan lebih cantik, manakala potongan terlalu rata atau layer pendek sebaiknya dielakkan kerana ia boleh membuat wajah anda kelihatan lebih lebar.

2. Wajah oval

Jangan Salah Pilih, Ini Potongan Rambut Yang Sesuai Ikut Bentuk Wajah Anda

Individu yang memiliki wajah oval biasanya mempunyai proporsi wajah yang lebih seimbang, sekali gus memudahkan mereka untuk menggayakan pelbagai jenis potongan rambut. Antara potongan rambut yang sering menjadi pilihan ialah butterfly cut kerana potongannya mampu memberi dimensi serta efek yang lebih lembut pada wajah. Layer panjang juga membantu menambahkan volume pada rambut tanpa mengganggu keseimbangan bentuk wajah.

Bagi wajah berbentuk oval, elemen layer memainkan peranan penting untuk mengekalkan kesan yang lebih seimbang. Selain itu, textured bob bersama waves juga sangat sesuai kerana ia mampu menyerlahkan struktur wajah, khususnya bahagian rahang yang lebih panjang. Tekstur pada rambut akan membantu memberi penampilan yang lebih bersahaja namun elegan. 

3. Wajah hati

Jangan Salah Pilih, Ini Potongan Rambut Yang Sesuai Ikut Bentuk Wajah Anda

Wajah berbentuk hati biasanya mempunyai bahagian dahi yang lebih lebar serta dagu yang lebih runcing. Oleh itu, potongan rambut yang sesuai dapat membantu mewujudkan keseimbangan pada struktur wajah. Potongan paras bahu dengan layer panjang serta side-swept bangs sering menjadi pilihan kerana ia memberi impak yang lebih harmoni.

Gaya rambut dengan soft curls juga boleh mencipta ilusi lebar di bahagian bawah wajah, sekali gus menyeimbangkan bentuk dagu yang tirus. Antara gaya rambut yang sebaiknya dielakkan adalah potongan rambut yang terlalu pendek kerana ia boleh membuat bahagian dagu kelihatan lebih menonjol. Selain itu, belahan tengah atau center part turut sesuai buat wajah anda.

4. Wajah persegi

Bentuk wajah persegi selalunya mempunyai ciri yang lebih tajam seperti garis rahang yang jelas serta dahi yang lebih lebar. Disebabkan itu, gaya rambut yang dipilih sebaiknya mampu memberi kesan lebih lembut bagi mengimbangi struktur wajah tersebut. Potongan seperti diamond-shaped yang lebih panjang di bahagian belakang dan pendek di hadapan sering menjadi pilihan kerana ia menghasilkan kontras yang cantik pada wajah.

Selain itu, soft waves dan face-framing layers juga membantu melembutkan penampilan keseluruhan. Layer yang jatuh melepasi dagu dan semakin panjang ke arah tengkuk mampu memberi efek wajah yang lebih feminin. Potongan paras bahu dengan layer lembut dan loose waves turut sesuai untuk menyerlahkan bentuk wajah persegi dengan lebih menawan. Antara idea potongan rambut yang boleh anda rujuk adalah long waves dan A-line chin length bob.

Artikel  berkaitan: 5 Salon Blow Dry Terbaik Di KL & Selangor Pilihan GLAM