fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Fresh Faces: Wajah Tidak Konvensional Kuasai Pentas New York
Sentuhan Karya Pereka Fesyen Wanita Generasi Kini
High Glamor: Selebriti A-List Penuhi Front Row Dior
Chrissy Teigen Memecah Rekod Dunia?
8 Inspirasi Gaya Pengantin Di Karpet Merah Majlis Anugerah
Home > Busana Pengantin Pilihan Personaliti Glamor

Busana Pengantin Pilihan Personaliti Glamor

Dalam dunia selebriti Malaysia, pilihan busana pengantin sering menjadi perhatian kerana menampilkan elemen elegan dan turut memperlihatkan cita rasa fesyen yang tersendiri.

Hari bahagia semestinya hadir bersama persalinan yang menjadi simbol cinta dan personaliti setiap pengantin. Busana pengantin dalam kalangan selebriti tempatan sering menggamit perhatian kerana setiap rekaan yang digayakan hadir dengan identiti fesyen unik, sekaligus menyerlahkan gaya peribadi dan sentuhan eksklusif yang menjadi inspirasi ramai. Ada yang memilih siluet klasik serba putih, ada juga yang tampil moden dengan sentuhan dramatik dan perincian couture yang menawan. GLAM kongsikan deretan busana pengantin yang menjadi pilihan selebriti Malaysia!

Ini Persalinan Pengantin Selebriti Malaysia Paling Diingati!

1. Zahirah Macwilson

Busana Pengantin Pilihan Selebriti Malaysia

Untuk majlis resepsi, busana pengantin milik Zahirah MacWilson merupakan antara persalinan selebriti yang menjadi sorotan para peminat. Pelakon wanita itu tampil mempesona dalam persalinan eksklusif rekaan Rizman Ruzaini. Gaun putih itu mengetengahkan siluet elegan dengan sentuhan feminin yang cukup sofistikated. Busana tersebut hadir bersama manik penuh perincian pada bahagian atas tubuh dan lengan serta dipadankan bersama lapisan tulle lembut bak puteri moden. Dilengkapi barang kemas dan veil labuh yang mengalun indah, keseluruhan penampilannya tampak mewah dan klasik. Majlis resepsi Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza yang berlangsung pada tahun 2020 itu turut menjadi tumpuan ramai, terutama ketika sesi potong kek bersama kek terbalik berinspirasikan chandelier yang unik.

2. Mira Filzah

Busana Pengantin Pilihan Selebriti Malaysia

Busana resepsi Mira Filzah tampil berbeza daripada kebiasaan apabila beliau memilih gaya moden berani dalam rona biru lembut rekaan pereka terkenal Rico Rinaldi. Penampilannya yang menyatukan gaun dan seluar dalam satu siluet kontemporari, memberikan nafas elegan yang segar. Rekaan tersebut menyerlahkan sisi sofistikated Mira Filzah, dengan potongan yang kemas, sekaligus mencipta ilusi dramatik namun tetap rapi. Gabungan dua elemen ini menjadikan busana tersebut lain daripada yang lain, sekaligus menzahirkan identiti fesyen Mira Filzah yang minimal tetapi penuh karakter.

3. Elfira Loy

Busana Pengantin Pilihan Selebriti Malaysia

Busana pengantin milik Elfira Loy turut menjadi sorotan para peminat apabila pelakon wanita itu hadir dalam busana rekaan Rizman Ruzaini yang menyerlahkan aura anggun bak puteri. Mengenakan gaun kembang siluet puteri Disney, penampilannya diserikan dengan sentuhan rona merah jambu lembut yang menambah elemen romantik dan feminin. Rekaan tersebut mengalun indah dengan potongan yang dramatik namun tetap elegan, menjadikan keseluruhan gaya Elfira tampak menawan dan penuh pesona. 

4. Anzalna Nasir

Busana Pengantin Pilihan Selebriti Malaysia

Persalinan Anzalna Nasir kekal menjadi bualan ramai apabila ditanyakan tentang busana pengantin paling diingati. Gaun yang direka oleh Putra Aziz Cosry itu amat unik bersama siluet ala puteri namun mempunyai rona ceria seperti merah jambu dan kuning.Majlis perkahwinan yang berlangsung pada tahun 2016 itu menjadi sensasi apabila busana yang digayakan pelakon tersebut adalah berani berbeza, jauh daripada sentuhan tradisional yang lazim. Bersama suasana majlis yang cukup romantis, dihiasi gubahan bunga-bungaan indah yang menambah seri suasana, Anzalna Nasir menyerlahkan pesona glamor yang memikat setiap pandangan.

5. Tyra Kamaruzzaman

Busana Pengantin Pilihan Selebriti Malaysia

Membawa tema Puteri Gunung Ledang ke majlis resepsinya, Tyra Kamaruzzaman tampil cukup menyerlah dalam persalinan rekaan khas suaminya sendiri, Emran. Setiap perincian busana pengantin itu dirancang dengan teliti, dengan elemen dedaunan yang melambangkan 7 syarat seperti yang diangkat dalam kisah legenda Puteri Gunung Ledang. Diserikan dengan hiasan kepala yang melengkapi keseluruhan penampilan, Tyra memadukan elemen fantasi dan tradisional dengan begitu anggun, menjadikan momen tersebut sarat dengan simbolik dan sentuhan cerita rakyat yang dihidupkan semula dalam versi moden.

6. Scha Al-Yahya

Scha Al-Yahya, seorang pelakon dan pengacara di Malaysia, sentiasa dikenali dengan gaya elegan serta personaliti yang sofistikated. Buat majlis perkahwinannya, Scha Al-Yahya mendandankan sebuah persalinan songket berona hijau yang menyerlahkan aura klasik. Bersama perincian manik di bahagian atas baju, Scha Al-Yahya turut menggayakan perhiasan kepala untuk melengkapkan penampilannya. Warna hijau yang dipilih pula memberi simbol ketenangan serta kemewahan tersendiri, menjadikan busana tersebut benar-benar menonjol pada hari istimewanya. Sehingga kini menjadi reference buat pengantin yang mahukan gaya tradisional. 

Artikel berkaitan: 7 Lagu Romantis Buat Detik Bridal Entrance Anda