Rahsia Awet Muda: Nik Marini

nik marini

Nik Nafisah Marini, supermodel yang pernah menjadi buah mulut industri seni hiburan dan fesyen suatu ketika dahulu. Wajahnya menghiasi halaman fesyen majalah hampir setiap bulan. Raut wajah manis ini juga sering melewati pentas fesyen tempatan memperagakan koleksi pereka lokal dan perancang antarabangsa. Kini biarpun tidak lagi melewati pentas peragaan atau menghias halaman fesyen majalah, Nik Marini aktif dengan kehidupannya.

 

Dia tiba di studio pada petang itu dengan senyuman terukir di bibir. Tinggi lampai, berwajah ayu dan manis, nyata usia tidak merampas kecantikan semula jadi dirinya. Ringkas penampilannya, hanya mengenakan kaftan nipis yang dipadankan dengan jean paras lutut, gayanya masih lagi seperti peragawati yang sedang off-duty.

 

Sambil mengoles warna kuku sementara menunggu masa beraksi di hadapan lensa, saya mencuri peluang berbual dengan wanita ini.

 

“Dulu ayah memang tidak benarkan saya menjadi model. Waktu itu saya baru 15 tahun! Kalau untuk photoshoot, ayah saya memang tak benarkan, so I sneak out tetapi kantoi juga sebab gambar saya keluar di dalam akhbar.” Nik Marina mengenang semula cerita masa muda.

 

Tidak berakhir di situ, dia kemudiannya bekerja bersama bapanya di syarikat pengiklanan. “Pejabat ayah di atas, pejabat agensi model di bawah. Suatu hari, mereka melamar saya menjadi model mereka. Saya meminta mereka memberitahu ayah sendiri dan khabarnya mereka berada di bilik selama lima jam bersoal jawab dengan ayah. Ya, ayah akhirnya beri kebenaran tetapi dengan syarat separuh gaji harus diberi kepada ibu. Saya pun setuju sahaja kerana sudah teruja. Lepas menjadi model saya curi-curi berlakon pula”. Nik Marini mengenang lagi kisah lamanya dan kami tergelak mendengar pengalamannya.

 

“Pada 1985, model dahulu semua kecil-kecil. Hanya saya sahaja Melayu yang paling tinggi sebelum Suraya Dean dan Azura Awang Kemudian lepas sekolah tahun 1996 saya berkahwin. Walau sudah beranak dua, saya tetap aktif membuat show di Singapura dan di minggu-minggu fesyen merata negara.

 

“Sebenarnya dahulu bergantung pada musim. Kalau minggu setiausaha, satu hari kadang kala tujuh pertunjukan kita boleh boleh buat. Bayaran pun lumayan dan masa itu model ada grade dan kelas tersendiri. Yang mengagumkan model-model dahulu masih orang ingat sampailah sekarang. Peminat kami masih ada lagi rupanya. Sekarang ini meski usia saya sudah 48 tapi masih menerima jemputan untuk buat show.”

 

Membelek laman Instagram Marini, banyak gambar-gambar produk kecantikan diberi nama Marini Naturalemagic. Bagaimana mula dengan idea ini? “Saya suka buat eksperimen. Daripada dahulu lagi kulit saya sangat sensitif dan mudah naik jerawat. Dulu saya gemar sangat memakai bedak sejuk muntah belut yang saya campur bersama air gamat dan sapukan pada seluruh muka. Tiga tahun yang lalu, saya diajak untuk membuka jenama produk sendiri tetapi malangnya saya ditipu rakan kongsi tersebut. Serik rasanya”.

 

Marini akhirnya berusaha menghasilkannya sendiri dan kini produknya dijual secara atas talian di Instagram juga Facebook. Produk bedak sejuknya diolah formula daripada bedak sejuk muntah belut. Kini dia melahirkan produk penjagaan rambut iatu syampu juga perapi. Bercerita mengenai rutin cantik hariannya kata Marini, bangun pagi dia terus membelek muka sebelum ke dapur minum air putih.

 

“Itulah yang saya lakukan sebaik membuka mata pada setiap hari. Jika hari itu tidak ada sebarang aktiviti saya akan menempek bedak sejuk seharian di rumah. Saya juga tidak minum kopi kerana memang tidak sukakan kopi”, kata Marini sambil tertawa.

 

Melihatnya yang masih jelita, pasti ramai tidak percaya dia memiliki empat orang anak dan anak sulungnya sudahpun berkahwin. Bercerita mengenai perancangan masa hadapan, Marini berhasrat mengembangkan jenamanya. “Saya mahu mendidik orang ramai untuk menggunakan produk dengan bahan semulajadi, kerana bahan kimia sebenar amat berbahaya. It absorbs in your system and causes cancer. Saya sudah kehilangan ramai kawan akibat kanser”.

POST A COMMENT