Rawat Bintik Gelap

black spot
 
Ia tidak boleh disingkir serta-merta, namun anda boleh memperlambatkan proses pengeluaran melanin pada permukaan kulit yang membawa kepada masalah ini.
 
Semakin tua, semakin jelas penampakan bintik hitam dan jeragat pada wajah anda. Apakah puncanya? Bagaimana ia boleh muncul secara tiba-tiba tanpa anda mengetahuinya? Anda tentu sering disogok soalan seperti ini tiap kali melihat diri di depan cermin. Sebenarnya ada jalan penyelesaiannya. Pernah dengarkah, betapa penting mengikuti langkah serta rutin penjagaan wajah yang betul? Jika mengamalkan rutin yang salah atau apa lagi memandang remeh tentang isu ini, maka semakin cepatlah tanda-tanda ini kelihatan. Apa itu melanin? Ia adalah suatu zat protein yang berfungsi menentukan warna kulit seseorang itu. Melanin lebih banyak muncul pada kulit gelap berbanding kulit cerah. Penyumbang kepada penghasilan melanin yang berlebihan adalah berpunca daripada wajah yang dibiar terdedah kepada sinar UV tanpa sebarang perlindungan. Selain itu, faktor usia meningkat serta unsur genetik antara faktor lain yang menjadi penyebab kemunculan tanda-tanda ini. Namun, ia tidaklah mendatangkan sebarang bahaya pada kulit tetapi ia boleh membuatkan wajah kelihatan tidak menarik. Ia bukan sahaja boleh dilihat pada kulit wajah, tetapi ia juga boleh dilihat pada belakang badan, leher, dada, bahu juga tangan.
 
Cegah dari awal Pigmentasi yang terhasil daripada melanin ini mampu meresap jauh ke dalam kulit jika ia tidak dicegah seawal yang boleh. Seeloknya lengkapkan rutin cantik harian anda dengan memakai pelindung sinar yang memiliki SPF30 dan ke atas. Ini kerana ia mampu mencegah pembentukan melanin berlebihan. Bintik gelap tidak mudah untuk dilupuskan pada wajah. Ia mengambil tempoh masa yang agak lama untuk hilang. Seelok eloknya rawat secara berterusan dan jangan melangkau rutin penjagaan ini untuk nampak hasil yang lebih jelas. Rawatan Tradisional Jus lemon yang memiliki manfaat ‘bleaching’ secara semulajadi ini mampu merawat kesan bintik gelap pada kulit. Tomato juga memiliki khasiat penyembuhan serta pertumbuhan lapisan kulit baru selain daripada membuat kulit lebih bersinar ibarat selicin kulit buah tomato. Jadikan pupur dan biar pada wajah selama 20 minit mampu memulihkan kembali kulit yang rosak akibat terkena sinaran cahaya matahari yang berlebihan. Rawatan Moden Rawatan bintik gelap atau juga masalah kulit lain boleh dilakukan melalui rawatan laser serta seumpanya yang terdapat di klinik estetik. Malahan, kini juga sudah banyak produk-produk kecantikan berkualiti yang menghasilkan formula canggih dalam menangani masalah ini. Namun, untuk mendapatkan kulit yang sempurna, sentiasa menjaga kulit wajah di waktu siang dan juga sebelah malam.
 

POST A COMMENT