Korner Mak Datin: Suami Pinggir Isteri, Lepas Berjaya Rebut Harta

DatinX9

Gmbar: Arkib GLAM


 
*Seperti yang diceritakan oleh Nadia kepada Datin Julia
 
“Tolonglah pujukkan Nana tu. Berapa lama lagi dia sanggup duduk serumah dengan laki bangsat dia tu?” Nora berdengus marahkan kawannya yang sekarang ini bermuram durja sebab syarikat yang dibinanya sudah beralih nama. Suami sendiri sudah ambil alih, sekarang dia sudah tak punya apa-apa. Hanya anak penenang jiwa. Yang membuatkan nasib Nana lebih parah, suaminya pula tiba-tiba sudah tidak lagi mengendahkannya. Namanya saja duduk serumah, tapi rumah semacam hotel. Balik semalam, hilang dua malam dan begitulah yang berlaku sejak setahun lalu.
 
Nora ni kawan baik Nana. Cuba membantu tapi gayanya macam batu api saja. Suami Nana, Halim bertuah sebab dapat isteri berhati lembut dan tak bersuara. Tapi dia terpaksa berdepan dengan Nora yang mulut lancang. Jadi berperanglah Halim dengan Nora, macam dia orang yang laki bini. “Bini aku pun tak komplen, kau pula yang marah. Pergi sibukkan rumah tangga sendiri! Jangan kau jejak lagi rumah aku ni!” Tentu sekali Nora tak mahu kalah. Dipujuknya Nana jumpanya di luar, Halim pergi mengejar. Jadi stalker mengikut keduanya ke mana saja.
 
“Nana, I tak sanggup lah tengok you macam ni. You have to break free! Sampai bila? Halim dah layan you macam tu, you still nak stay dengan dia? Kalau I lah, dah lama I seret Halim ke mahkamah, rampas balik apa yang dulunya milik I… kemudian tuntut cerai!” Jawab Nana lemah, “You cakap senang lah Nora. Tapi…” “Mesti ada tapi lah you ni!” Nora mengherdiknya balik. Nana ini memang lemah lembut orangnya, ikut cakap suami sampaikan suami minta apa saja diberinya tanpa banyak cakap.
 
Nana dulunya wanita korporat, mengusahakan syarikat yang ditinggalkan bapanya. Di bawah pengurusannya, syarikat tersebut bertambah maju. Bila Nana mengahwini Halim, diberinya suami kesayangan kedudukan di dalam senarai lembaga pengarah. Bila dah beranak-pinak, Nana semakin jarang datang kerja dan mengalihkan tanggungjawab pejabat kepada Halim. Makin lama, Halim makin ‘berkuasa’. Dia semakin ‘vokal’ dalam menyuarakan pendapatnya walaupun idea-ideanya ‘sampah’ belaka. Di belakangnya, dia jadi bahan umpat dan tawa satu bangunan. Halim saja tak tahu. Dia rasa sebab isterinya tuan punya syarikat, dia berlagak macam dia juga berhak jadi ‘big boss’.
 
Halim mula tunjuk taring. Dia minta Nana lebih saham berdasarkan peranannya yang semakin besar dalam syarikat. Kononnya dia berjaya bantu syarikat ‘close deal’ untuk satu dua projek nilai berjuta. Nana masa itu pula baru bersalin anak ketiga. Anak yang pertama dan kedua pun umur mereka tak jauh beza. Maklumlah beranak setahun sekali. Nana pula nampaknya makin malas nak kerja, tumpuannya hanya untuk membesarkan ketiga-tiga cahaya mata. Walau lebih dari mampu hendak bayar 10 pembantu rumah, Nana pilih nak jaga semua sendiri.
 
Kata Nana, “Kalau boleh jadi superwoman di ofis, I pun mampu jadi supermom di rumah!” Perli Nora, “Tapi depan laki you, terus kecut perut, lari macam tikus, terus hilang suara. Honey, seperti yang I kata berjuta kali… get out from the marriage. Ia membunuh you dari dalam!” “Sorry Nora, I love my family. I tak sanggup tengok anak-anak membesar tanpa bapa.” Balas Nora tak puas hati, “You tak yakin you boleh jumpa orang baru kan? Nana, memanglah you duduk rumah jaga anak… rambut kusut masai, mekap pun tak. Badan pun makin berisi… memang lah you rasa tak ada lelaki pun nak toleh tengok you. Padahal dulu you hot gila! Ha, cuba bila you start berhias, petik jari 10 mari!”
 
Nana mulanya rasa terjerat dengan permintaan Halim. Tapi akhirnya dia akur sebab kalau dia tak beri, siapa lagi nak urus perniagaannya. Halim memang handsome orangnya. Dulu hanya kerani, tapi Nana angkat dan jadikan dia boss syarikat. Nana sememangnya ada perasaan tidak sedap hati bila mana membuat keputusan mengalihkan sebahagian besar saham pada suaminya, tapi dia senyapkan saja kerana sayangkan keluarga. Sebagai anak sulung yang mengemudikan syarikat, Nana berhak membuat keputusan itu walaupun adik-adiknya marah dengan keputusan itu. Kata mereka, Nana bodoh, pendek akal, tak fikir panjang. Maka, habislah harta peninggalan bapa diberikan pada Halim ‘si biawak hidup’ itu.
 
“Nana, you sanggup tengok adik beradik you bergaduh? Yeah, yeah… sayang suami, sayang famili. Tapi ada you fikir suami pun sayangkan you macam itu juga?” Nana beri pandangan kosong pada Nora. Nora menjeling tajam memendam dendam sebab dia tahu yang Halim sebenarnya dah lama bermain kayu tiga. Nora banyak kali bagi amaran pada kawan baiknya itu dan dia rasa Nana tahu, cuma Nana in denial. Tapi Nora tidak akan biarkan kawannya terus diperlekehkan semacam orang bodoh. Halim pernah tanya Nora, “Why are you fighting other people’s war?” Nora blackmail balik Halim katanya dia nekad akan beritahu satu dunia tentang semua affair nya. Halim ketawa besar. “Beritahulah semua orang. You ingat I takut? Nora tu, cium sekali je, senyaplah dia!”
 
Benci! Benci! Benci! Nora menahan amarahnya. Nora tahu ada benarnya cakap Halim. Satu ofis pun tahu Halim ada girlfriend baru. Dalam pada itu Nora pun sedar kalau Nana tahu sekalipun secara terperinci, dia takkan berbuat apa-apa. Sekarang ni pun Nana hanya memenjarakan diri dalam rumah, menangis mengenangkan nasib. Adik beradik dah tak mengaku saudara, suami pula dah tak hiraukan dia. Sudahlah ada orang lain, layanan di rumah pun dingin saja. Bercakap dengan Nana pun semacam sama bunyinya jeritkan orang gaji. Tiada cinta lagi. Tambah memberi tekanan adalah suara tangisan anak-anak yang masih kecil yang seakan sahut menyahut. Apa lagi yang tinggal? Manis kehidupan tidak lagi dirasainya.
 
Nana teringat sewaktu dia bergelar wanita besi. Semua di pejabat gerunkannya. Media asyik mengejarnya, mahu menerbitkan profil kerjayanya. Universiti menjemputnya memberi ceramah, malah namanya selalu disebut-sebut di majlis-majlis elit sebagai tetamu kehormat. Tapi itu dulu, sekarang tiada lagi. Tiada siapa kisahkannya lagi. Paling sedih bila suami sendiri meminggirkannya. Tanya Nana pada diri sendiri, apakah berkahwin dengan Halim kesilapan terbesarnya? Melihatkan wajah anak-anak, Nana tarik balik apa yang dibisikkan hatinya tadi. Cuma Nora pendengar setia walau sudah diharamkan suami masuk ke rumahnya.
 
Nora tetap tak puas hati. Orang kata jangan menyibuk hal rumah tangga orang tapi Nora memang tak dapat lepaskan Halim setelah apa lelaki bongkak itu kata padanya. Dia mahu pergi menyiasat apa sebenarnya muslihat lelaki keparat itu di belakang isterinya. Siasat punya siasat, rupa-rupanya selain satu perempuan ni yang memang anak somebody, Halim ada hubungan dengan seorang artis yang baru nak naik. Kalau disebut nama, memang satu Malaysia kenal. Mereka berdating sejak Nana mengandung anak pertama lagi. Selalu bertemu di restoran makanan milik famili Nana, kononnya tak mahu orang ramai syak wasangka.
 
Nasiblah si artis itu tadi bijak juga orangnya. Bila Halim ajak kahwin, dia tolak bulat-bulat. Mentang-mentanglah karier seninya sedang mendaki naik, dia tak mahu ambil risiko. Lalu meloponglah si Halim tadi. Tapi apa nak kisah, Halim ada beberapa lagi spare tyre on standby mode. Beberapa bulan selepas break up, dia kembali mengusung macam-macam perempuan ke hulu ke hilir. Entah kutip dari mana pun tak tahu. Apa yang pasti ramai kawan yang dulunya rakan niaga Nana, tahu pasal brief affair Halim dan selebriti itu tadi. Semua buat-buat tak tahu depan Nana walhalnya di belakang, semua orang tak sudah-sudah kesiankan si Nana ini.
 
Masa baru kahwin, orang ingat Nana dan Halim seakan power couple. Nana wanita korporat, Halim pula kononnya most eligable bachelor (kacak rupa padahalnya habuk pun tak ada!) Tapi itu secara zahirnya sahaja. Hakikatnya, rumah tangga bergolak sudah bertahun. Pelik dan kelakar bila Nana selalu update statusnya di facebook bercakap mengenai rasa takjubnya pada pasangan yang berpura-pura tunjuk happy depan orang ramai tapi padahalnya di rumah sepertikan perang dingin. Walau sebenarnya terkena balik batang hidung sendiri. Mula-mula dulu, bila Nora bertanyakan apakah benar dia dan Halim tak lagi tidur sekatil, Nana mati-mati tak nak mengaku. Bila Halim mula tunjuk taring mengambil alih syarikatnya, Nana akhirnya akur dan mula buka mulut. Wajahnya nampak kosong sepertikan tiada perasaan. Rupa-rupanya Nana sudah lama memendam kekecewaannya dan sudah tiada lagi air mata. Nana pasrah.
 
Masa mengandungkan anak ketiga, Nana seperti tidak berlaki. Jarang Halim balik rumah. Kalau tanya, Halim pasti menengkingnya balik dan terus Nana senyap tak berbunyi. Dia betul-betul takutkan suami. Mungkin takut kalau menjawab, suami dia lari. Dan macam-macamlah alasan yang Halim bagi. Banyak kerja di ofis, ada appointment, kena out station, nak pergi main golf, nak pergi entertain klien. Masa Nana bersalin pun, suaminya tiada di sisi. Bila anak dah berusia dua hari barulah Halim datang menjenguk. Itu pun entah-entah saja nak menunjuk pada teman-teman niaga yang mula datang melawat isterinya.
 
“Bayangkan Nora, persiapan nak menyambut baby pun I buat sendiri. Banyak sangatkah kerja di ofis tu? Masa lepas bersalin, I menangis sampai kena ditenangkan nurse. Orang ingat I gembira sangat, tapi sebenarnya terlalu kecewa dengan Halim. I upset sebab adik-adik I seorang pun tak datang jenguk I di wad dan I terlalu sedih teringatkan anak-anak sebab dapat bapa seperti Halim. Hari-hari tanya pasal daddy sampai I tak tahu dah nak jawab apa.” Nora tumpang sedih. Nak saja Nora beritahu kawannya itu yang Halim dah lama main kayu tiga. Tapi Nora tak mahu kesedihan Nana bertimpa-timpa.
 
Suatu hari, Nora dapat tahu yang Nana sedang berkemas-kemas. Bajunya dan anak-anak dimasukkan dalam beberapa bagasi. Ingatkan Nora, Nana sudah ada kekuatan mahu tinggalkan Halim. Tapi fikiran Nora meleset bila dapat tahu yang kawannya cuma mahu ‘berpindah’ seketika, duduk di istana hinggap mereka di Bali. Cepat-cepat Nora menelefon kawan baiknya itu. Tanya Nora sampai bila? Nana jawab entah. Mungkin setahun dua? “Nana, itu namanya nak lari dari masalah! You buat Halim lagi seronok!” Nana kata, tidak apa. Lebih baik duduk di Bali, hari-hari berurut dan tengok laut saja. Anak-anak pun bukannya bersekolah lagi.
 
“Biarlah Halim run the show in KL. Bagi je dia jaga bisnes. Kalau nak jenguk anak-anak, dia boleh datang Bali. Apa dia nak buat kat KL, dia punya pasal. Kalau I tahu pun, buat sakit hati saja.” “Jadi… you biar dia menang? Syarikat itu milik you Nana!” Kata-kata Nana sebelum meletak telefon, “Ini bukan soal menang kalah Nora, ini adalah satu fasa kehidupan. Satu hari nanti sedarlah Halim tu. Dia pasti balik pada I dan anak-anaknya. Itu yang betulnya! I akan tunggu Halim sampai bila-bila.”
 
Sudah hampir tiga bulan Nana dan anak-anak di Bali. Khabar berita apapun tak ada. Panggilan telefon dan pesanan ringkas dari Nora dan kawan-kawan lain satu pun tak berjawab. Dengar ceritanya, Nana memang tenang duduk di Bali tanpa gangguan sesiapa. Tiada orang nak sampaikan gosip terbaru suaminya, tiada lagi panggilan mengharukan dari adik-adik yang masih berusaha mahu mengembalikan hak syarikat ke tangan keluarga mereka. Halim pun tak datang-datang menjenguk lagi melawat bini dan tiga anaknya di sana. Tapi Nana tak kisah malah gembira tidak perlu bersemuka dengan suami tak gunanya itu. Walau pun begitu, Nana sedih kerana hubungannya dengan adik-beradik renggang dek keputusannya menyerahkan syarikat famili pada suami. Selagi share syarikat tidak kembali beralih pada mereka yang sepatutnya, Nana terus diberi cold treatment. Sudahlah dipinggirkan suami, Nana terpaksa menelan hakikat yang dia juga dibuang keluarga.
 

POST A COMMENT