Setiap tahun baru menjelma, ucapan, wawasan, semangat dan azam akan diuar-uarkan. Janji mahu menjadi insan lebih baik, kerja lebih kuat, mahu tambah amal ibadat, kurangkan mengumpat, singkirkan dengki, bunuh hasad serta berazam mahu bersenam agar sihat pergi begitu saja. Semua janji yang dipasang awal tahun lalu hanyut mengalir bersama waktu. Lalu, pertanyaan menggema di benak, meronta di hati. Mengapa keinginan kita tidak pernah kesampaian? Kenapa sahsiah diri masih di batas sama malah kualiti kerja juga ditakuk lama. Mengapa sukarnya kita menganjak diri ke aras lebih tinggi? Kenapa payah sungguh keluar dari zon selesa dan tetap berfikir di kotak yang sama?
Walhal, sepanjang tahun twitter, instagram, facebook atau apa juga laman media sosial sering dipadati kata-kata hikmah, quotes pemangkin semangat dan cerita-cerita yang bisa merangsang motivasi. Tidak kurang juga hadis-hadis pilihan nabi junjungan Muhammad S.A.W yang sewajarnya sudah meresapi hati sanubari. Tetapi sedihnya, ia bagaikan mengalir sepi. Ia tidak berbekas di hati.
Mengapa payah benar kita berubah? Kenapa kita semua, anda, saya dan semua di luar sana masih mengambil masa, berfikir lama untuk memulakan suatu perkara. Ambil saja contoh yang mudah. Untuk pergi bersenam, kurangkan makan atau tinggalkan tabiat makan yang tidak sihat pun amat sukar kita buat. Begitu juga dengan sikap diri. Ya, berapa ramai yang masih tidak boleh memadam rasa marah dan maafkan orang yang pernah buat salah pada kita. Kita mungkin kata aku sudah lama maafkan kamu. Tetapi ikhlaskah hati? Memang ramai yang berkata, saya sudah maafkan mereka tetapi lupakan apa yang dibuatnya? Tidak sama sekali. Jadi apa makna maaf jika tidak mampu, mengusirnya jauh-jauh dari lubuk ingatan.
Mengawal marah dan mengurus rasa marah dua hal berbeza. Marah itu satu cabang emosi. Sudah tentu apabila kita dikritik membabi buta, di cerca atau dianiaya kita akan melenting marah. Tunggu. Sabar dulu. Periksa betul-betul. Jangan membalas ketika amarah berada di puncak. Urus kemarahan secara bijaksana.
Selain marah, banyak di antara kita mudah sentap. Kita cepat berasa hati. Mungkin mereka yang bercakap atau menegur tidak bermaksud menyakitkan hati. Kita terlalu sensitif atau ada masa salah tafsir maksud kata-kata tersebut dan akan serta-merta tarik muka.
Apa kata mulai fajar kita tapis dulu rasa marah, saring kata-kata orang betul-betul agar kita boleh memisahkan apa itu kritikan, teguran dan serangan peribadi. Bertindak secara rasional dalam menghadapi ketiga-tiganya. Saya pernah membaca pujangga yang berkata jika ingin membetulkan sesuatu yang salah usah dibalas dengan cara yang salah juga. Kebencian tidak boleh dipadamkan dengan kebencian sebaliknya boleh dipatahkan dengan kasih sayang.
Jika itu menyangkut soal sikap dan keperibadian bagaimana pula dengan pekerjaan kita? Kalau selama ini kita kurang memberi fokus, hanya memberi 50 peratus sahaja apa kata kita gandakan usaha untuk memberi yang terbaik tetapi jangan pula mendabik dada berasa diri paling hebat. Berasa hanya kita yang boleh lakukannya dan tanpa campur tangan kita segala usaha itu tidak menjadi. Perlu sentiasa ingat setiap individu di tempat kerja ada peranan masing-masing. Tanpa team work, kerja anda tidak akan sempurna. Kita perlu bahu membahu, saling membantu dalam menyempurnakan tugasan. Tidak mengapa merendahkan hati asal saja jiwa kita besar dan bercita-cita mahu menakluki dunia.
Cipta suasana ceria di tempat kerja. Jangan biarkan aura negatif mengapung di ruang udara kerja. Mereka yang berhati bersih didukung suasana kerja yang harmoni akan memberi impak besar pada keperibadian dan mutu kerjanya. Mulai hari ini lihat sekeliling dengan pandangan lebih manusiawi. Hargai sikap positif teman dan usah sibuk menggali sisi negatif mereka. Rapatkan perbezaan dan cantumkan persamaan. Belajar memaafkan orang dengan ikhlas. Buang rasa marah, elakkan umpat dan keji. Humban rasa dengki dan bunuh sifat hasad yang sudah berdaki. Lapangkan dada, depangkan tangan. Rangkul dunia dengan cinta. Sebarkan cinta dengan seikhlas-ikhlasnya. Semoga dunia anda, dunia saya dan seluruh alam semesta kita akan lebih bercahaya.
Artikel Berkaitan
Ungu Warna Terbaik Pengaruhi Rutin Seks
Retorik: Belenggu Budaya Menghukum dan Membenci
Retorik: Industri Fesyen Lokal dan Masa Depannya
Pregnancy Sex: Is It Safe?
Retorik: Tekanan Media Sosial Membawa Kepada Kemur...
Retorik – Membunuh Kebahagiaan Dalam Diam
Checklist Seks ‘Before & After’- Bahagian...
Pilihan Bacaan Seterusnya
Evolusi Kasut New Balance 204L Dalam Rona Baharu
Menelusuri Alunan Karya Muzik Bella Astillah
Mommy Chic Era Dalam Gaya Bintang Asia
Obsesi Gen-Z Pada Gaya Seksi “Maddy Perez”
Dialog Fesyen: Yuleza
Teknik ‘Retinol Sandwiching’ Mampu Selamatkan Kulit Sensitif
Rekaan Botol Wangian Unik Untuk Koleksi Anda
Adakah Anda Perlu Skrub Wajah Setiap Hari?
Daftar sekarang
Daftar sekarang bagi menikmati akses fesyen, kecantikan dan gaya hidup mewah bersama GLAM
Daftar sekarang
untuk menikamit akses ke sorotan fesyen, kecantikan, dan gaya hidup terpilih yang mencerminkan identiti wanita GLAM masa kini.

