Fenomena Supernova Dalam Bentuk BR S Novarosa
Citarasa Fesyen Melania Trump Tidak Mengecewakan
MFW: Diari Fesyen Hari Kedua
Ragam Fesyen Rosé, Relaks Tapi Penuh Stail
MET Gala 2023, Sofia Coppola dalam CHANEL
Home > Fesyen > Di Sebalik Keanggunan Panthère de Cartier

Di Sebalik Keanggunan Panthère de Cartier

Berani, elegan dan memikat, Panthère de Cartier bukan sekadar simbol keanggunan tetapi lambang semangat bebas yang menjadi jiwa sebenar Maison ini.

Dalam kempen terbaharu bersama pelakon dan sahabat Cartier, Zoë Saldaña, figura ikonik ini tampil dengan gaya baharu yang memadukan kekuatan dan kelembutan dalam satu pesona. Koleksi terbaru ini memperlihatkan perubahan yang menawan dari rekaan perhiasan hingga jam tangan elegan.

Dua takdir yang bersatu

Setiap ciptaan menunjukkan kehalusan kerja tangan Cartier yang penuh seni. Dengan pancaran mata zamrud dan rekaan yang halus, Panthère sekali lagi menyerlah sebagai simbol kekuatan dan keanggunan yang tidak pernah pudar.

Segalanya bermula pada tahun 1914 di 13 Rue de la Paix, Paris, apabila imej Panthère pertama kali muncul pada jam tangan bertatahkan onyx dan berlian. Di bawah sentuhan magis Jeanne Toussaint, yang digelar La Panthère, haiwan berkarisma ini berevolusi daripada motif berbintik menjadi arca tiga dimensi yang ikonik, lambang keberanian wanita moden.

Seiring waktu, Panthère terus berubah bentuk, daripada gaya semula jadi kepada rekaan moden, namun semangatnya kekal utuh. Dalam koleksi Panthère Transversale terbaharu, Cartier memperkenalkan dua panther yang saling berhadapan, mencipta keseimbangan antara kekuatan dan kelembutan, dalam bentuk tork, gelang dan cincin rekaan emas kuning atau putih bertatahkan berlian dan onyx.

Di sebalik keanggunannya tersimpan rahsia ketukangan istimewa Cartier yang dikenali sebagai fur setting, di mana batu permata dipasang satu demi satu untuk meniru tekstur bulu panther sebenar, hasil seni halus yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

Kini, Panthère hidup bukan hanya dalam perhiasan mewah, tetapi juga dalam koleksi jam tangan, beg kulit dan haruman La Panthère Eau de Parfum. Dari tangan Jeanne Toussaint hingga Zoë Saldaña hari ini, Panthère kekal sebagai simbol wanita yang bebas.

Artikel Berkaitan: Zoe Saldana Disambar Menjadi Duta Global Cartier