Menggamit Memori, Loewe Bertemu ‘Spirited Away’ dalam Satu Koleksi Kapsul
Evolusi Gaya Millie Bobby Brown Sejak Sedekad Lalu
Trend Fesyen Busana Raya 2019, Mana Satu Pilihan Anda?
GLAM x GLAM Lelaki NY Block Party Bersama Coach dan #Fattzura
Scha Alyahya & 9 Lagi Selebriti Bersinar Di Festival Filem Venice 2023
Home > Fesyen > Dialog Fesyen: Arunsayfulldesiree

Dialog Fesyen: Arunsayfulldesiree

GLAM mempersembahkan segmen bersama penggiat fesyen, Arunsayfulldesiree yang menafsir rekaannya dengan memahami kehendak wanita sebenar dan berteraskan komuniti, sambil mengukuhkan langkah ke pasaran serantau melalui identiti eksklusif yang tersendiri.

Buat label fesyen tempatan yang sering bergerak antara glamor dan komersial, Arunsayfulldesiree hadir dengan naratif yang lebih intim. Jenama ini lahir bukan daripada strategi korporat atau pelaburan besar sejak awal, tetapi daripada pertemuan dua individu kreatif yang berkongsi minat mendalam terhadap rekaan serta pemahaman realiti pasaran. Bermula dari studio kecil hingga ke pentas fesyen serantau, perjalanan mereka dibentuk oleh keberanian mencuba, hubungan rapat dengan pelanggan dan juga disiplin kerja yang nyata konsisten.

Dialog Fesyen: Arunsayfulldesiree Mengangkat Glamor Komuniti

Arun Marteen dan Saiful Eizham, duo pereka disebalik jenama Arunsayfulldesiree, berkongsi serta mengimbas kembali bagaimana perjalanan mereka. Di mana, pertemuan di sebuah pertandingan kini menjadi rakan kongsi dalam membuka ruang kolaborasi yang tidak dirancang. “Why not kita merge idea,” katanya, merujuk detik apabila dua pendekatan berbeza akhirnya disatukan. Arun, dikenali dengan kecenderungan eksperimen kreatif serta komunikasinya yang sangat dekat dengan pelanggan, sekali gus membina kelompok klien yang cukup setia dengan mereka. Manakala Saiful pula mempunyai kekuatan teknikal dan pengalaman produksi yang menjadi asas kestabilan jenama ini, lebih berperanan di belakang tabir dalam memastikan aliran kerja produksi sentiasa berada pada tahap terbaik. Kombinasi karakter ini menjadikan jenama mereka seimbang antara ekspresi artistik dan keperluan pasaran.

Permulaan jenama ini sederhana, namun berkembang menjadi sebuah jenama yang penuh makna dengan suntikan identiti tersendiri. Koleksi awal dihasilkan bermula hanya dengan modal kecil dan ruang kerja yang terhad, yang mana perkembangan berlaku secara perlahan tetapi stabil. Kini, mereka sudah capai melabuhkan platform hingga ke Jakarta, Indonesia. Ia telah membuka perspektif baharu tentang memperluaskan cita rasa dan pasaran serantau, termasuk strategi penjenamaan yang lebih lokal digunakan bagi menyesuaikan sensitiviti pasaran di sana, sementara produksi mewah masih dikekalkan di Malaysia. Pendekatan dua hala ini memberi fleksibiliti dari segi kreatif serta operasi, lantas dapat mengembangkan jenama tanpa menjejaskan kualiti. Walau Arunsayfulldesiree kini melakar perkembangan yang semakin luas, pendekatan mereka tetap diolah dengan penuh cermat dan pertimbangan. Fokus utama masih pada hubungan bersama pelanggan serta kestabilan operasi, bukan perkembangan agresif semata-mata.

Falsafah rekaan Arunsayfulldesiree berteraskan komuniti. Arun sering menekankan bahawa pelanggan sebenar adalah kekuatan utama jenama. “Brand is about community,” ujarnya. Pendekatan ini menjelaskan mengapa mereka jarang bergantung kepada kempen selebriti berbayar. Pelanggan dilihat sebagai duta paling autentik dalam kehidupan sebenar. Hal ini kerana, mereka amat menitikberatkan hubungan personal yang turut mempengaruhi arah rekaan. Banyak koleksi yang lahir daripada pemerhatian terhadap keperluan wanita sebenar termasuk soal potongan siluet, cita rasa rekaan, pemilihan warna serta fabrik yang memberi keyakinan dalam menyesuaikan kehendak pelbagai generasi, serta perincian yang memberi rasa eksklusif tanpa terlalu membebankan kos.

Dari segi estetik, jenama ini tidak terikat pada satu identiti visual yang sempit. Setiap koleksi menampilkan variasi karakter agar pelanggan boleh memilih gaya yang benar-benar mencerminkan diri mereka. Kepakaran potongan serta perincian manik menjadi kekuatan utama, sesuatu yang banyak diperkukuh melalui pengalaman produksi Saiful. Pendekatan esen versatil juga membolehkan mereka bergerak seiring dalam elemen couture, busana perkahwinan dan koleksi lebaran tanpa kehilangan identiti.

Bagi Arun, kejayaan sebenar bukan sekadar terletak pada glamor industri, sebaliknya pereka ini mahu setiap pelanggan merasa yakin apabila mengenakan busana mereka. “Saya ingin pelanggan rasa mahal walaupun dengan bayaran biasa,” katanya. Prinsip inilah yang menjadikan label ini terus mendapat tempat di hati pelbagai lapisan pelanggan termasuk di kalangan kerabat, profesional korporat hingga lah ke pelanggan setia yang sentiasa kembali setiap musim.

Kekuatan Arunsayfulldesiree terletak pada keseimbangan. Kreativiti yang berani, disiplin produksi yang kukuh serta hubungan bersama klien yang tulus nyata membentuk identiti jenama ini. Bagi mereka, pendekatan jujur yang berteraskan komuniti ini lah yang memastikan mereka kekal utuh di dalam industri fesyen dan terus berkembang maju sehingga kini.

Artikel berkaitan: GLAM Mendekati Barisan Pereka Fesyen Generasi Kreatif Kini