Demna menghidupkan semula semangat New York menerusi GucciCore, sebuah persembahan Cruise 2027 yang menyatukan budaya jalanan, nostalgia dan kemewahan moden yang mengambil ruang di Times Square.
Times Square mungkin sering menjadi subjek perdebatan budaya pop, namun lokasinya sebagai pusat denyut New York City tetap sukar disaingi. Di tengah limpahan cahaya papan iklan digital, lautan manusia dan energi kota yang sentiasa hidup, Demna memilih nukleus Times Square sebagai latar GucciCore, sebuah persembahan Cruise yang terasa selari dengan ritma metropolis tersebut. Pilihan itu turut membawa makna sentimental buat rumah fesyen mewah ini, memandangkan New York merupakan lokasi butik pertama rumah fesyen itu di luar Itali pada tahun 1953. Aura “homecoming” jelas terasa sepanjang malam apabila figura budaya pop seperti Kim Kardashian dan Mariah Carey memenuhi ruang hadapan pertunjukan, sementara Cindy Crawford, Tom Brady dan Paris Hilton antara personaliti popular yang melangkah di atas runway yang terpantul pada skrin-skrin gergasi Times Square.

GucciCore Dengan Ritma Metropolitan New York
GucciCore berkembang sebagai surat cinta terhadap New York yang diterjemahkan melalui bahasa fesyen kontemporari. Sebelum pertunjukan bermula, layar-layar besar Times Square dipenuhi montaj visual yang menggabungkan rakaman arkib, imaginasi budaya pop dan iklan fiksyen pelbagai dunia Gucci. Dari Gucci Acqua hingga Gucci Gym, dari Palazzo Gucci ke Gucci Pets, keseluruhan naratif tersebut membayangkan Gucci sebagai sebuah gaya hidup yang melangkaui pakaian. Undangan persembahan pula hadir dalam bentuk anak kunci tembaga yang disimpan dalam sarung kulit vintaj, mengimbau semula Gucci Galleria yang tersembunyi di atas butik Fifth Avenue pada era 1980-an dan hanya boleh diakses pelanggan tertentu menerusi kunci emas eksklusif.

Di pentas peragaan, Demna menyusun karakter-karakter kota New York seperti potret manusia yang berselisih di persimpangan jalan Manhattan. Sut jalur pin yang tajam membawa aura broker kewangan Wall Street, sementara kot shearling besar digayakan dengan sikap santai yang effortless. Ada elemen skater yang hadir melalui denim longgar dan tailoring lembut, berselang dengan siluet sosialit serta philanthropist yang tampil anggun dalam gaun dan pantsuit sofistikated. Setiap penampilan terasa seperti cebisan identiti berbeza yang hidup dalam kota yang sama. Pertunjukan Gucci Cruise 2027 ini menjadi refleksi tentang pluraliti gaya, tentang bagaimana budaya jalanan, kemewahan klasik serta energi moden bertembung dalam satu naratif yang kohesif.

Koleksi ini turut memperlihatkan permainan kontras yang menarik antara utilitarian dan opulen. Selimut stole berbentuk bulat dalam material kulit lembut dan fabrik monogram tampil dramatik seperti objek seni, sementara outerwear teknikal diberi lapisan shearling dan bulu kambing sebagai penambah rasa mewah secara subtil. Jalur Web ikonik Gucci pula dihadirkan menjadi bandeau top yang tajam dan moden. Pada masa sama, elemen alta moda hadir melalui sequin bersisik, fringe manik dan sulaman bulu pelepah yang mengalir masuk ke dalam busana lelaki dengan penuh keberanian. Aksesori pula melengkapkan keseluruhan visi ini menerusi but bertumit dengan perincian Horsebit menyerupai sanggur kuda, clutch berbentuk jam tangan dan beg kulit tona gelap yang berkilau seperti cahaya kota selepas tengah malam. GucciCore terasa seperti New York itu sendiri, dramatik, pantas dan sentiasa bergerak.
