fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
How Are You, Babe?
Raikan Aidilfitri Bersama GLAM x Dior Lebaran Raya Part 2
GLAM It Girl: Elsa Asiah
3 Best Items Dari Koleksi Dioriviera Pilihan GLAM
Proposi Moden & Dark Glamour Ciri Khas Koleksi H&M Studio Terbaru
Home > Fesyen > Sentuhan Hollywood Klasik Buat Pertunjukan Dior Cruise 2027

Sentuhan Hollywood Klasik Buat Pertunjukan Dior Cruise 2027

Dior Cruise 2027 menyatukan glamor Hollywood klasik dan sensibiliti moden Jonathan Anderson, dipersembah ke dalam sebuah koleksi yang bergerak antara fantasi sinema, kemewahan couture dan semangat kontemporari Los Angeles.

Jonathan Anderson membawa koleksi debutnya, Dior Cruise 2027 ke Los Angeles dengan sebuah naratif yang terasa seperti sebuah filem lama dipertemukan dengan degup moden kota Amerika. Di bawah cahaya malam LACMA yang baharu dibuka, himpunan ini bergerak antara ilusi dan realiti, menyulam memori Hollywood klasik bersama ketelitian couture Paris. Anderson memahami bahawa sejarah Dior sentiasa rapat dengan dunia sinema, lalu pentas kali ini diterjemahkan seperti adegan bergerak yang dipenuhi karakter, glamor dan nostalgia yang sengaja dibiarkan hidup dalam bentuk paling kontemporari.

Koleksi Debut Jonathan Anderson Buat Dior Cruise Yang Tersergam Indah

Gaun kuning mentega berhias roset menjadi pembuka kepada koleksi yang sarat dengan permainan tekstur dan warna. Siluet longgar, kot robe santai dan helaian malam dalam rona terang memberi suasana yang lebih bebas berbanding ketegangan bentuk yang pernah diperlihatkan Anderson sebelum ini. Namun, kekuatan sebenar terletak pada fabrik dan kemasan perinciannya. Denim lusuh yang disulam rantai perak halus mengubah elemen penata harian menjadi objek couture yang hampir sinematik. Ia mengingatkan kepada budaya jalanan Venice Beach, tetapi dalam masa yang sama masih membawa disiplin kemewahan Dior yang sangat teratur.

Di sebalik helaian busana yang dipersembahkan, koleksi ini turut dipenuhi simbol budaya Los Angeles. Bunga popi California muncul sebagai motif utama yang terpancar, manakala kereta vintaj Amerika menjadi inspirasi kepada aksesori baharu termasuk beg Saddle berpermukaan seperti cat automotif berkilat. Anderson juga menyelitkan sentuhan filem noir menerusi kot bermaterial wol kelabu yang dibayangi garis Venetian blinds, selain kolaborasi artistik bersama Ed Ruscha yang memberi dimensi lebih artistik terhadap gambaran kota LA. Kehadiran headpiece Philip Treacy berbentuk tipografi pula menjadikan keseluruhan persembahan terasa teatrikal, seolah-olah setiap model sedang memainkan watak tersendiri dalam sebuah filem Hollywood yang eksperimental.

Apa yang menjadikan Dior Cruise 2027 begitu menarik juga adalah cara Jonathan Anderson menghidupkan idea “dream factory” yang pernah menjadi nadi Hollywood dan Dior sendiri. Rujukan kepada Alfred Hitchcock, Grace Kelly dan bintang-bintang emas tidak diterjemahkan secara literal, sebaliknya hadir sebagai bayangan halus yang bergerak di sebalik koleksi. Suasana itu diserikan dengan kehadiran kereta convertible era 1960-an di tengah ruang pameran, turut serta tampilan deretan selebriti terkemuka seperti Jisoo, Anya Taylor-Joy, Miley Cyrus, Sabrina Carpenter dan ramai lagi yang hadir melengkapkan ilusi malam Hollywood yang penuh fantasi. Dior bukan sekadar meraikan warisan, tetapi menghidupkannya semula dalam bahasa visual dengan nafas baharu yang penuh pesona.

Artikel berkaitan: Dior Cruise 2026 Kini Dilancarkan Di Butik Seluruh Dunia