Kediaman – Sentuhan Kontemporari Sejati Residence
Warna-warna pop hangat kuning, hijau dan biru menjadi latar spektrum palet kediaman. Kediaman jenis semi-detached dua tingkat, Sejati Residence di Cyberjaya ini disempurnakan oleh firma reka bentuk Mamyhome Interior Design Renovation. “Lokasi yang dekat dengan tempat kerja di KLIA adalah faktor utama saya memilih kediaman ini. Lagi pula, ramai kawan sekerja yang tinggal di kawasan sama menjadikan saya selesa,” beritahu pemilik yang bekerja sebagai juruterbang. Beliau meletakkan kepercayaan penuh pada Mamyhome untuk menata gaya seluruh ruang kediaman. Mengambil masa hampir tiga bulan untuk disudahkan, kediaman ini tidak melewati sebarang proses renovasi reka pelan asal; hanya penambahan kemasan kayu pada dinding dan binaan ruang dapur kering.

Reka pelan ruang kediaman berkeadaan terbuka tanpa sebarang pembahagi atau dinding pemisah. Ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur kering berkongsi lantai yang sama. “Terdapat beberapa reka pelan lantai berbeza untuk unit-unit kediaman di Sejati Residences, ada yang bersekali courtyard tetapi saya memilih reka bentuk ini kerana berkeadaan lapang langsung tidak menyesakkan mata,” kata pemilik yang mendiami bersama isteri tercinta dan tiga orang anak.
MANIPULASI RUANG
Menuju ke aras atas kediaman yang memayungi kamar-kamar beradu sang penghuni. Kamar beradu utama bernada neutral kelabu dan coklat cerah memperlihatkan satu tindakan reka bentuk bijak daripada Mamyhome yakni binaan dinding pemisah antara ruang wardrobe dan ruang beradu. Mamyhome turut mengadaptasi reka bentuk camouflage pada binaan pintu-pintu yang ada menjadikan ruang lebih lapang dan pandangan tidak semak. Jelas Amin, “Saiz ruang lantai adalah perkara yang perlu diambil kira dalam reka bentuk. Kami perlu berani bereksperimen dengan kegunaan ruang sedia ada serta menambah fungsi yang lebih baik agar penghuni berasa selesa dan nyaman setiap kali melangkah masuk. Reka bentuk katil berukuran tinggi untuk dua anak bujang penghuni memberi lebih ruang untuk perletakkan meja kerja dan sistem unit penyimpanan di ruang lantai.”
Advertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
