Fatiha Sharif Tidak Gentar Untuk Mengambil Risiko Dalam Perniagaan

Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun Clanhouseonline.com

Gambar: Bustamam Mokhtar white studio

Dandanan: olivia ooi Solekan Sheng Saw Shengsaw.com Menggunakan estee lauder

Penyelaras: AIZAT AIDID

Teks:Suzie Adnan
 

fs

Gambar: Arkib GLAM


 
Tidak gentar pada fesyen, selera gaya Fatiha Sharif ekspresif dan eksperimental. Ini mungkin perisainya dalam mengemudi industri yang didominasi lelaki, menjawab kepada keberaniaanya dalam mengambil risiko baik dalam perniagaan ataupun fesyen. This women meas business.
 
Tak selalu kita jumpa wanita yang sanggup keluar dalam rekaan avant garde, berpenampilan melangkaui batas fesyen kebiasaan. Ya, penampilan Fatiha Sharif, 35, memang selalu mencuri perhatian. She’s like walking art. Berani menyarung helaian-helaian ekperimental, Fatiha terbukti berani dalam berfesyen apabila petang itu dia tampil dalam gandingan leggings jaring Alexander McQueen bersama football T-shirt Margiela yang menenggelamkan rangka tubuh kecilnya itu. Gayanya hari itu dilengkapi dengan riding hat Reinhard Plank dan kasut brouges daripada Robert Clergerie.
 
Personalitinya menyenangkan, sangat ramah dan mesra. Bersembang dengan Fatiha, saya rasa sepertikan sudah mengenalinya terlalu lama. Kematangan Fatiha sebagai wanita korporat terserlah dari tutur bicaranya mengenai visinya terhadap masa depan syarikat. Bertuah dapat meminjam sebentar masanya untuk ditemu ramah. “Saya sampai KL dari Kuantan malam tadi. Esok subuh sudah bertolak pulang dan pukul dua petang saya memandu semula ke Johor. Lusa, saya akan ke India. My timetable is crazy!”
 
Wanita Dalam Industri Lelaki

Bertugas sebagai Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran di Asturi Metal Builders, suasana tempat kerja Fatiha yang memiliki kilang sendiri tentunya mencabar. “Kerja saya tidaklah membuatkan saya terikat pada meja pejabat sahaja. Ada masanya saya harus turun padang bagi melunaskan kerja berkaitan. Jadi kerana itu, I’m always in flats. Saya senang berseluar ke tempat kerja (melainkan Jumaat, saya akan cuba menyarung kain!). Seperti lelaki, saya memakai slacks dan kemeja bersama kardigan atau sweater di atas kemeja. I’m a bit rock and roll but at work, I’m very… sexless.”
 
Sewaktu remaja, Fatiha Sharif membayangkan dia akan suatu hari nanti akan bekerja dalam industri perhubungan awam ataupun pengiklanan. Langsung tidak terlintas dalam fikirannya yang dia bakal menyertai sektor minyak dan gas, apatah lagi untuk pulang terus ke Kuantan, Pahang bagi menyandang jawatan penting dalam syarikat bapanya sendiri. “Not a clue! Sebulan selepas pulang dari menuntut di Australia, saya terus membantu bapa. Pada tahun pertama, segalanya nampak menyeronokkan. Kemudian beransur ke tahun kedua, saya mula belajar mengemudi perjalanan syarikat dengan lebih serius. Tidak pula saya menyangka, jodoh saya di Asturi berpanjangan sampai ke hari ini,” kata anak sulung dari empat adik beradik ini.
 
Tahun ini masuk tahun kesembilan Fatiha bekerja membantu bapanya. Tidak sekelumit pun rasa sesal bila dia ‘tertinggal’ di Kuantan apabila dua adik perempuan dan seorang adik lelakinya berada di Kuala Lumpur menguruskan perniagaan masing-masing. Malah Fatiha berulang-kali menyuarakan rasa gembira dan bangga dapat bekerja bersama bapa sendiri, berkongsi susah senang bersama.
 
“Kehidupan di Kuantan amat relaks. Tak ada jam. Mungkin sebab itu orang Kuantan nampak muda-muda semuanya!” ujar Fatiha sambil ketawa. Merungkai rutin hariannya, Fatiha bekerja enam hari seminggu. Harinya bermula seawal enam pagi. Masuk pejabat jam sembilan, pulang pukul enam. Habis kerja, Fatiha terus tuju ke rumah ibu bapanya. Selepas waktu kerja, Fatiha duduk rumah menghabiskan masa bersama ibu bapa. “Saya tidur hanya empat jam sehari. Memenuhi waktu yang ada, saya gemar membaca atau sekadar melayan trashy television di rumah. Ketika ini saya sedang mengikuti siri Breaking Bad, Games of Thrones dan beberapa lagi. Kadang-kala perlu juga… bila sudah seharian asyik fikir kerja sahaja.”
 
Tujuh tahun lepas Fatiha belajar tinggal bersendirian. Tapi sejak bulan puasa tahun lepas, dia kembali tinggal bersama ibu bapa. Bangga memiliki pertalian keluarga erat, Fatiha rasa bertanggungjawab ke atas ibu bapanya yang semakin berusia. Dan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, dia mahu terus berada di sisi bapanya. “I just feel the need to just be there for him. Bila ada masalah di tempat kerja, bapa tidak pernah meluahkannya kepada sesiapa. Tapi sebagai anak, saya tahu dari riak muka dan gerak gerinya, ada yang tak kena. Jadi saya hanya persiap diri membantu apa yang saya mampu. Dengan segala pegorbanannya, it’s only fair I give back and even that I don’t think is enough.”
 

Untitled

Gambar: Arkib GLAM


 
Ibu Bapa Sebagai Idola

Usik saya, you ni anak bapak ke? “Waktu kerja saja anak Ayah, kat rumah saya anak Mak. Dengan Mak, susah sikit. I have to compete with my brother! Haha!” Tambah Fatiha lagi, kualiti dirinya yang dinamik adalah hasil pengaruh daripada kedua ibu bapanya sendiri iaitu Datuk Sharifah Fatimah Syed Omar dan Datuk Md Sharif Samsuddin. “I idolize them!” Kebetulan pada hari itu ibu Fatiha yang suatu masa dulu bertugas sebagai penasihat kewangan, masuk surat khabar kerana usahanya dalam penyelidikan menghasilkan vaksin denggi pertama dunia. “Amazing right? Ibu wanita yang sangat hebat. Organizational skill saya kutip daripadanya, sifat saya yang fun dan quirky juga mungkin diambil daripada ibu.”
 
Berbanding bapanya yang berlatar belakang sosiologi dan antropologi, hanya di usia 40 tahun baru dia mula merangkak membuka perniagaan sendiri. Dari tender kecil-kecilan membawa kepada pembelian tanah seterusnya pembukaan kilang dan hasil tuaian itu adalah apa yang kita lihat hari ini. Asturi Metal Builders berdiri megah di Kuantan sebagai pembekal fabrikasi minyak, gas dan janakuasa ulung negara. “Kisah bapa mengajar saya yang segala pun mungkin dengan usaha. Saya amat kagum dengan kecekalannya. He is so driven. Dia mengajar saya asas disiplin untuk berjaya, mengajar saya menjadi seorang yang cekap dan tegas. Tapi di pejabat, saya bukanlah 100 peratus seperti bapa. I am my own person. Kerana saya tahu ramai yang membuat percaturan, apakah saya boleh capai kejayaan sehebat bapa? Biar saya kecapi kejayaan dalam cara saya sendiri. Dan cita-cita mahu lebih berjaya tidak bermaksud saya mahu mengatasi pencapaian bapa. He is already a successful man in his own right, so just let him be.”
 
Setiap kali menyebut hal ibu dan bapa, Fatiha bercakap dengan penuh emosi. Kerana keduanya begitu dekat di hatinya. Walau disoal mengenai kejayaan yang paling dibanggakan, Fatiha menegaskan ia bukan mengenai sebarang projek atau apa. Tetapi lebih kepada sesuatu yang jauh peribadi. “Bila bapa menyatakan rasa bangganya pada sesuatu yang saya lakukan, rasanya itulah saat paling bermakna dalam kerjaya saya. Sebab bapa bukan seorang yang suka memuji-muji. Kadang-kala saya tak tahu pun jikalau dia gembira atau tidak pada sesuatu perkara yang saya lakukan.” Sambung Fatiha, hanya selepas tiga tahun berkhidmat, pernah sekali bapanya memberi ucapan dihadapan para pekerja – berkongsi rasa bangganya pada semua orang terhadap anak perempuannya. “Bapa menyebut mengenai saya menerima penghargaan valedictorian di universiti dan diberi peluang membuat ucapan sewaktu graduasi. Saya terkejut sebab bapa tidak pernah datang menjenguk saya di Australia. Waktu bapa menyebutnya, I felt like hugging him there and then!”
 
Fashion Foward

Seronok bersembang bersama Fatiha Sharif mengenai fesyen. She’s so refreshing. Dia tahu menilai harga sebuah rekaan, tahu menghargai ciptaan-ciptaan eksperimental malah tidak segan menggayakannya hanya kerana dia terkesan pada estetik seseorang pereka itu. Kebetulan malam itu berlangsungnya majlis Most GLAM 2013, Fatiha sudah siap sedia beberapa baju Rick Owens dan Maison Martin Margiela untuk dipilih. Saya tahu dia memiliki hubungan peribadi bersama pereka ikonik itu dan pernah ke Paris untuk menikmati makan malam bersamanya.
 
“Mulanya saya hanya menjenguk ke butik Rick Owens berdekatan Palais Royal. Kerana saya menunjukkan minat, akhirnya saya disapa rakan niaga Owens sendiri iaitu Barbara Mariani. Dalam masa singkat kami klik dan saya dijadikannya mannequin dan dipakaikan pelbagai macam helaian baru yang sedang bergantungan dalam butik itu. Bermula dari saat itu, kami menjadi rapat dan saya diundang makan malam bersama Rick Owens dan isterinya, Michele Lamy di kediaman mereka. Saya juga diajak menonton pertujukan fesyen mereka sewaktu Minggu Fesyen tapi masa tidak kena. Jadual saya kebetulan amat padat,” ujar Fatiha yang katanya juga semakin mudah untuknya mendapatkan item Rick Owens kerana Mariani akan awal-awal lagi simpankan untuknya.
 
“Ada juga masanya saya pakai Rick Owens ke pejabat. Kebanyakan staf kata saya nampak pelik. Bapa saya sendiri selalu tanya, apa benda yang saya pakai tu. Haha! Berbanding adik saya, Suraya, dia berkasut tinggi Louboutin hampir setiap hari and always in bling.
 
Seorang lagi adik, Lala, suka makeup. Saya mulai suka bersolek pun mungkin sebab dia!” Dalam kesibukan menguruskan syarikat, Fatiha selalu membeli-belah secara online. Kalau ke luar negara, dia hanya akan mengunjungi butik-butik tertentu dan borong apa yang dihajatinya. Kata Fatiha, dia tiada masa untuk window shopping dan bersiar-siar kosong. “I shop whenever I need to. Kalau perlukan produk muka, saya hanya singgah Isetan, beli dan keluar. Contohnya macam ada orang sanggup beratur dari seawal jam tujuh pagi untuk mendapatkan koleksi tertentu… oh, I love fashion but that I’d never do!”
 
Menegur tubuhnya yang petite itu, jelas Fatiha, dahulunya dia tidak sebegitu. “I was quite chubby back then. Kemudian saya mula jaga diet dan menjadi vegetarian, berat turun dan yang paling penting saya rasa lebih sihat berbanding sebelumnya. Hmm… baru sekejap tadi saya makan salad untuk tenaga.” Mengingatkan diri sendiri baru sahaja menelan stik sebentar tadi, saya telan air liur. “Tapi kerana minat saya pada fesyen dan keinginan mahu memakai semua ciptaan-ciptaan hebat, saya sanggup ikat perut!” ujar Fatiha yang pernah amalkan yoga buat seketika.
 
Selain Rick Owens, gerobok pakaian Fatiha dipenuhi Haider Aikermann, Sass and Bide, Alexander McQueen, Maison Martin Margiela dan macam-macam lagi pereka dari estetik yang sama. Dia juga peminat Nicolas Ghesquire dan Riccardo Tisci. “Sekarang ini ramai sangat orang yang brand conscious. Pada saya, intention itu sahaja sudah salah. Now everybody looks the same. There’s no originality,” kata Fatiha yang saban tahun mengumpul aksesori berjenama yang dia tidak lagi pakai dan mendermanya kepada orang. Tahun lepas sahaja, empat kotak. “Tapi saya tak akan give away kot bulu Hun (daripada rangkaian Rick Owens) yang paling saya sayang. Walau dah koyak sekali pun, saya tetap pakai juga!”
 
Di usia 35, Fatiha Sharif nampak jauh muda lebih-lebih lagi dengan penampilannya yang fashion forward. Seloroh saya, tak pelikkah bila klien yang saya kira middle-aged men in boring suits dapat tahu yang mereka perlu berurusan dengan seorang wanita semuda ini? Jawab Fatiha spontan, “You mean, have I ever been bullied? It’s a male dominated business. As long as I’m true to myself, saya tidak nampak apa masalahnya. It’s like wearing the clothes. Peduli apa cakap orang? I just want to make money.” Dengan kedudukan tinggi dalam syarikat gergasi, tidakkah lelaki berasa intimidated langsung sukar untuk mendekati? “Ya, saya akui saya agak extrovert. Lelaki yang memiliki sifat bertentangan mungkin boleh mengimbangi sifat saya yang terlebih tenaga ini. Dan tentu sekali saya inginkan pasangan yang ada ilmu agama selain menerima saya seadanya. He has to marry the good, the bad and the ugly side of me.”

POST A COMMENT