GLAM Personaliti: Puteri Aisyah

puteri aisyah

 

Si jelita yang bertuah memiliki kulit halus mulus, Puteri Aishah Binti Sulaiman merupakan salah seorang finalis Pencarian Dewi Remaja sesi 2014/2015. Identitinya sebagai guru sementara di sekolah awam sekitar Kuala Lumpur dibualkan hangat menerusi laman siber. Dia sebenarnya bukan guru sementara tetapi kala itu sedang menjalani latihan praktikal bagi memenuhi jurusan Teaching of English As a Second Language (TESL).

 

“Saya dilahirkan di Johor dan membesar di Negeri Sembilan. Tamat sekolah menengah saya menyambung pelajaran di Kolej Poly-Tech MARA mengambil jurusan TESL. Mengenai isu guru sementara dan surat cinta yang dikaitkan, info yang digembar-gemburkan adalah sama sekali tidak benar. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar praktikal dan bukannya guru sementara,” ujar Puteri Aishah yang selesa disapa Puteri.

 

Anak kedua daripada empat beradik ini belum lagi memutuskan arah tuju masa depannya samada memilih bidang hiburan ataupun menjadi pensyarah. “Sejujurnya, saya belum memutuskan perencanaan masa depan lagi memandangkan saya baru menamatkan pengajian. Dewi Remaja adalah platform dalam membina nama saya di bidang hiburan tempatan. Saya menyertai program pencarian ini waktu bergelar pelajar dan sememangnya tidak menyangka untuk mengorak langkah dalam arena hiburan. Sewaktu program tersebut, kami diberikan tugasan dengan tujuan untuk menunjukkan bakat masing-masing. Berlakon terus menerpa benak fikiran. Saya meminati bidang lakonan. Sewaktu dinilai, Datuk Rosyam Nor berkata saya memiliki potensi tetapi harus diasah lagi bakatnya. Berkat usaha dan pertolongan abang Megat, saya menghadiri kelas lakonan dengan ibu Fauziah Nawi, to tighten up my acting skills.”

 

Mendapat sokongan penuh kedua ibu bapanya, Puteri berkata, “Ayah dan ibu tidak takut untuk melepaskan saya asalkan saya tahu batas dan pandai menjaga diri. Saya menggemari lakonan Lisa Surihani. Dia inspirasi saya jika mahu dipilih barisan pelakon tempatan. Idola luar pula adalah Johnny Depp kerana bagi saya dia sangat versatil. I really want to be like him, tetapi dalam versi perempuan. Saya tahu saya masih terlalu mentah dan banyak lagi yang perlu dipelajari baik teknik lakonan mahupun di belakang tabir,” tambah Puteri.

 

Seperti yang dikatakan pada awalnya, gadis ini beruntung dilahirkan dengan kulit yang mulus. Buktinya dia dipilih menjadi wajah baru untuk Garnier. Apakah rahsia dan rejim kecantikan Puteri? “Tiada apa yang istimewa. Mungkin faktor keturunan. But I really make sure that my body is clean before heading to bed. Muka harus bebas daripada sebarang mekap hatta secalit celak di mata. Pastikan ia betul-betul bersih kerana waktu tidur adalah satu-satunya masa untuk kulit dan sistem badan berehat,” terang Puteri serius.

POST A COMMENT