GLAM Life: Sofia Ellen

Oleh: Azza Farhana

Arahan Seni: Afiq Khairuddin & Mahirah Nadzim

Gambar: Suhaidi. S

Solekan&Dandanan: SNIPS INTERNATIONAL

Dress: bcbg maxazria
 

ODS_4595

Sofia anggun dengan dress dari bcbg maxazria


 
Klasik bernuansakan Perancis menjadi nadi dekorasi mahligai Sofia dan suami. Glam menyelusuri kembara di rumah agam milik pereka fesyen Sofia Ellen ini.
 
Saya kagum kala melihat reka bentuk dari luar rumah agam milik pereka fesyen, Sofia Ellen yang persis White House. Semuanya bersimbah palet putih. Lamannya yang menghijau menjadi sajian indah pada mata ini. Kala melangkah masuk saya amati, impak klasik menjadi kekuatan rumah ini. Rona pastel mendominasi fasa segenap ruang. Kehadiran bunga segar yang sememangnya trademark Sofia menebarkan haruman segar di segenap pojok.
 
CHIC ALA PARIS
 
Ruang tamu utama ini bermain dengan rona tanah dan beige. Baik sofa, permaidani dan langsir semuanya seakan-akan sedondon sekali. Biasan cahaya daripada candelier gergasi sebagai penyeri ruang ini. Saya jadi tertarik dengan langsir di seluruh rumah ini yang menurut Sofia semua langsir rumahnya ditempah khas dan materialnya dibeli di Perancis. Terkedu juga mendengar harga keseluruhan langsir di rumahnya. Hamparan permaidani dan sofa yang bercorak European ini seakan menebalkan lagi roh Paris di ruang ini. Istimewa, Sofia bermain dengan french panelling dan cermin pada dada-dada dinding rumahnya.
 
Saya teruskan kembara ke ruang makan, mata sepertikan sejuk dengan taruhan rona ungu bermaterial baldu kerusi makan yang kontras dengan langsir merah jambu. Untuk beri efek lebih luas, sofia meletakkan cermin potongan berlian di belakang meja makan. Bunga Lily merah jambu dan putih menghias meja santapan. Bersebelahan meja makan adalah dapur kering yang lengkap dengan kitchen island. Ruang dapur keringnya adalah kegemaran saya. Semuanya dibaluti rona putih. Di penjuru ada gerobok putih menempatkan hiasan pinggan mangkuk. Konsep Inggeris agak dominan di sini. Meja konsol putih dihias dengan bekas lilin dan bingkai gambar. “Saya amat menitikberatkan ruang makan kerana saya amat suka memasak dan sering mengajak teman-teman serta sanak saudara menjamu selera di rumah.” Aras dua menempatkan kamar utama, walk-in-closet dan kamar tetamu. Kamar utama dihias minimalis tetapi masih mengekalkan konsep klasik berbaur Perancis. Menjengah walk-in-closet milik Sofia yang serba putih, nyata ruang ini membariskan koleksi tas tangan dan sepatu mewahnya. Saya kira pelaburan Sofia dan suami yang sudah tiga tahun mendiami rumah dengan keluasan 9000 kaki persegi, memiliki tujuh kamar dan tujuh kamar mandi ini amat berbaloi.
 
KARYA SENI FESYEN
 
Sebelum pulang kami dipelawa untuk menjamu selera lauk kampung masakan empunya rumah sendiri. Sambil-sambil itu kami duduk bersembang. Sofia Ellen Abdullah, 38, atau lebih selesa disapa Sofia ini adalah Pereka Fesyen dan pengasas untuk jenama Sofia Ellen. Empunya diri mula meminati fesyen sejak seawal usia lagi. Mendapat pendidikan dalam bidang fesyen di IFTC langsung mencambahkan minatnya terhadap bidang rekaan “Alhamdulillah, kini butik Sofia Ellen sudah memiliki dua cawangan yakni satu di Keramat Mall dan satu lagi di Bangi Sentral. Rekaan Sofia Ellen berteraskan helaian sopan yang disuntik elemen sofistikated. Ia sesuai digayakan semua wanita terutama yang berhijab. Kekuatan helaian Sofia Ellen adalah mutu fabrik yang dijamin berkualiti tinggi dan tetapi dijual dengan harga yang berpatutan. Saya tidak mahu letak harga yang mahal, kerana saya mahu ramai yang bisa bergaya dengan helaian saya.” ujarnya mengakhiri perbualan hari itu.
 

POST A COMMENT