GLAM Mendekati Barisan Pereka Fesyen Generasi Kreatif Kini
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan beri...
Read Full BioTemu Bual Bersama Barisan Pereka Fesyen Generasi Kreatif Kini
Uzair Shoid
1. Apakah detik pertama dalam hidup yang membuatkan anda sedar bahawa fesyen menjadi matlamat dan kerjaya yang dipilih?
Saya menyedari fesyen sebagai kerjaya sejak di sekolah menengah lagi, ketika merasakan kanvas sebenar yang ingin saya olah bukan lagi kertas, tetapi fabrik. Seni sentiasa dekat dengan saya, namun hanya melalui fesyen yang menjadikan saya benar-benar dapat mengekspresikan diri. Walau seberat apapun cabarannya, saya tidak pernah berhenti di tengah jalan kerana fesyen tetap menjadi ruang untuk saya kembali dan tempat saya menzahirkan jiwa dengan sepenuh kejujuran.
2. Apakah kekuatan buat identiti jenama yang cukup anda banggakan?
Apa yang membanggakan saya adalah bagaimana jenama ini secara semula jadi membawa sisi whimsical, quirky dan penuh keunikan. Jika diminta mendefinisikan identiti, saya mungkin tidak mampu menjawabnya secara tepat kerana apa yang lebih jelas adalah mereka yang menyaksikan perjalanan saya sejak dari awal. Konsistensi serta dorongan berterusan dalam memperhalusi seni kreatif saya telah mengangkat jenama ini ke tahap lebih tinggi.

3. Sebagai seorang pereka fesyen generasi kini, apa perkara paling ingin anda cabar dalam naratif industri hari ini?
Bagi saya, fesyen sentiasa lebih daripada sekadar pakaian. Ia adalah sebuah bahasa atau cara untuk menyampaikan penceritaan dan identiti. Saya mahu karya saya membuktikan bahawa fesyen Malaysia boleh tampil menyeronokkan, berani dan eksperimental, namun tetap berakar kukuh pada budaya dan penceritaan. Saya mahu mengangkat idea bahawa fesyen bukan sekadar mengenai trend, tetapi tentang mencipta makna dan hubungan melalui setiap helaian.

4. Siapakah muse atau ikon yang anda impikan untuk memakai rekaan dan mengapa?
Saya mengimpikan penyanyi berestetika bak dongeng seperti Nadin Amizah, serta figura penuh jiwa seperti Dayang Nurfaizah, untuk menggayakan rekaan saya. Mereka mewakili feminiti dan keanggunan jenama ini, di samping menzahirkan kelembutan serta roh seni yang menjadi identitinya.
5. Fesyen adalah …
Fesyen adalah ruang yang selamat, ruang untuk menjadi diri sendiri dan tidak terbatas. Apa yang saya cipta mungkin membawa makna tertentu buat saya, namun dapat dilihat dan dirasakan dengan cara berbeza oleh orang lain. Kebebasan ini menjadikan fesyen begitu berkuasa kerana ia memberi peluang kepada setiap individu untuk menyulam cerita, emosi dan perspektif mereka sendiri ke dalam setiap rekaan.

Advertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
