Memo GLAM: See Now, Buy Now?

Teks: Aizat Aidid

T65251647_Max

Saya adalah orang yang sentiasa berharap pada revolusi yang memberikan impak positif pada lapangan fesyen. Kemunculan idea baru dalam dunia fesyen perlu disambut terbuka. Lantas, yang paling hangat diperdebatkan sekarang adakah koleksi mengikut musim dan dipertontonkan enam bulan lebih awal masih dipandang relevan? Adakah pencinta fesyen masih mampu menunggu hampir setengah tahun untuk mendapatkan baju Dior mereka? Persoalan ini yang memberikan revolusi idea pada Christopher Bailey, Ketua Kreatif serta Ketua Pengarah Eksekutif Burberry. Lalu, dia mengambil keputusan untuk mempertontonkan dua pertunjukan dalam setahun yakni pada bulan Februari dan September dan setiap acara itu mempunyai ceraian buat kedua-dua jantina. Usai sahaja pertunjukan, ceraian boleh terus di beli di setiap butik Burberry.

Revolusi ini disambut baik oleh Tom Ford dan Demna Gvasalia yang mana mereka juga beranggapan yang klien perlu diberikan perkhidmatan terbaik tanpa perlu menunggu lama. Michael Kors pula mencuba nasib pada Februari lepas dengan memasarkan sebilangan helaian daripada pentas musim luruh 2016 di butik mereka. Barisan jenama ini punya kewangan yang besar lalu boleh mempercepatkan proses pembuatan produk. Saya melihat ini sebagai satu idea yang mencedok modus operandi jenama high-street seperti H&M dan Zara. Mereka punya kuasa perkhidmatan fast fashion, tanpa ada musim yang tertentu. Namun, mungkin usaha Burberry dan Tom Ford mempercepatkan produk di butik juga adalah untuk menghalang jenama fast fashion meniru helaian yang dipertontonkan di pentas peragaan.

Dari segi editorial majalah pula, ia boleh memberikan impak yang kurang enak. Ketika ini, majalah masih menjadi medium sebaran paling berguna dan cepat dalam memberikan apa yang terhangat di butik. Kami bisa merakam setiap helaian sebelum ia tergantung di rak butik. Dengan menggunakan sistem see now, buy now ini membuatkan jenama mungkin tidak dapat bergantung pada keupayaan majalah dalam memberikan idea tentang apa yang baru di butik mereka.

POST A COMMENT