
Bern
Kotak muzikal dan berkereta kuda di ladang anggur
Kereta api dari Bern singgah di Yverdon. Pekan kecil yang hanya dihuni 28 ribu jiwa. Kemudian berkereta api lagi untuk ke Sainte Croix. Melewati bukit beralun, pemandangan sepanjang perjalanan teduh dan damai. Singgah makan di restoran Belle Èpoque yang berusia lebih seratus tahun. Dari teras tempat kami makan pemandangannya sangatlah memukau.
Switzerland negara yang amat menitikberatkan alam. Pihak berkuasa tidak akan membenarkan sebarang pembangunan dibuat sesuka hati. Usai makan kami dibawa melawat Cima Museum. Di sini rata-rata semua terpaut dengan kehebatan orang Swiss membuat kotak muzik dan jujur saya jatuh cinta dengan kehalusan seni, kebijaksanaan orang dulu bermain dengan mekanikal objek kotak muzik dan melestarikan warisan sejak 1805 sehingga hari ini. Kagum melihat bagaimana kotak muzik dan humanoid automata (figura seolah hidup) dihasilkan secara manual dan menjadi instrumen seni yang sungguh mempesona. Dari muzium kotak muzik kami singgah melihat bagaimana peralatan muzik cello dibuat.
Sebelum senja berlabuh kami harus tiba di ladang anggur milik Guy Cousin. Dengan berkereta kuda kami melawat ladang anggurnya yang luas menghadap tasik. Tiada yang mampu berbicara kerana semua hanyut tenggelam menyaksikan keindahan mentari terbenam. Cahaya keemasan jatuh berselerakan ke permukaan tasik bak kilauan permata indahnya.
Memori indah di Neuchãtel
Pagi jam sembilan. Bas sudah bersedia untuk membawa kami ke JMC Lutherie di Vallèe de Joux pembuat gitar juga pembesar suara daripada kayu spruce. Sebagaimana pembuat kotak muzik, rasa kagum membelit diri melihat bagaimana mereka membuat gitar yang begitu halus dan sempurna. Inilah sebabnya mengapa artisan seni harus diberi apresiasi yang tinggi.
Di luar limousin hitam sudah menanti untuk membawa kami ke Payerne bagi menyaksikan pertunjukan udara Air14. Kebetulan sekali kerana minggu itu Swiss Military Aviation meraikan ulang tahun ke 100 dan sebagai merayakan ulang tahun seratus abad mereka mengadakan pertunjukan udara besarbesaran. Meski cuaca agak panas hari itu tetapi rata-rata wajah pengunjung merakam rasa puas. Pertunjukan udara mereka sungguh hebat dan setiap kali pesawat tempur melintas ruang udara tepukan gemuruh bergema sebagai tanda kagum dengan persembahan akrobatik jet pejuang udara. Hari yang panjang dengan jadual padat di akhiri dengan bersantai di kamar indah hotel
Palafitte yang dibina di atas tasik Neuchatel. Di balkoni saya ralit melihat ikan berenang di air jernih dan angsa putih berenang bebas. Suria terbenam menyempurnakan hari indah di Neuchãtel.
Bayu pagi segar menemani sarapan. Usai sarapan limousin sudah menunggu membawa kami ke La-Chaux-de-Fonds melawat kilang jam Breitling. Berlokasi di kaki bukit, pemandangan ala poskad indah ada di mana-mana. Mungkin ini antara sebab pereka jam tangan jenama Swiss sentiasa dialiri ilham tampil dengan rekaan hebat. Sejam di Breitling benar-benar membuka mata kami akan kehalusan seni di tangan artisan. Pertukangan hebat yang diwarisi turun temurun sangatlah mengagumkan. Lawatan berakhir dengan makan siang yang ditaja Breitling di rumah peladang lama yang kini menjadi muzium. Hidangan enak dan sambutan meriah dengan instrumen tradisional Swiss membuat kami semua amat berbesar hati. Kembara di teruskan ke Lausanne dengan kereta api.
Lausanne
Sekilas di Lausanne Tahun 2014, Lausanne memilih tema ‘panorama’ untuk kempen musim panasnya. Ini kerana alam semula jadi daerah ini sangatlah indah. Lausanne agak tinggi dan seluruh kota menghadap Tasik Geneva dengan latar puncak pergunungan Swiss dan Perancis. Oleh kerana kedudukannya yang agak tinggi membuat penduduk di sini menggunakan khidmat tram dari satu tempat ke satu tempat lain. Sayang kami tidak sempat menjelajah kotanya tapi sekilas telah membuat kami semua jatuh hati. Menginap di Lausanne Palace & Spa memberi peluang kepada kami menikmati pemandangan indah kerana kedudukannya yang agak tinggi. Tasik Geneva luas terbentang. Hotel yang menempati bangunan lama disempurnakan pula dengan hiasan dalaman yang membiaskan kegemilangan istana Eropah mewah dan gah. Jam sembilan pagi kami sudah pun ada di depan Muzium Olimpik yang amat moden seni binanya. Mendaki berpuluh-puluh anak tangga muzium tidak berasa penat kerana taman bunga indah dengan aneka fi gura aksi sukan dan di hadapannya hamparan tasik biru melekakan kami semua. Sejam berlegar di dalam muzium anda akan memahami sejarah sukan terhebat ini. Segala informasi dipersembahkan dalam bentuk visual yang sungguh interaktif dan himpunan objek pameran yang berkait Olimpik saya jamin akan membuat semua pengunjung teruja. Dari muzium Olimpik kami bergegas menaiki bot Belle Epoque “La Suisse’ menuju ke Cully. Belayar menyusuri tasik luas berteman pemandangan menakjubkan membuat anda lupa seketika stres dan masalah kerja. Melihat warga Swiss bersantai di tepi tasik, menghirup kopi dan pandangan dilemparkan ke arah angsa putih saya berasa iri kerana mereka dianugerahkan alam yang indah sebegitu rupa. Pemandu pelancong yang menanti kami di jeti begitu bersemangat menceritakan sejarah Cully dan keistimewaan ladang anggur Lavaux, lokasi makan tengah hari kami hari itu. Menakjubkan. Dari teras restoran dan kediaman pemilik ladang anggur, panorama alam di sini boleh membuat anda menghentikan nafas seketika. Barisan gunung di kejauhan, tasik yang saujana mata memandang, ribuan teras tanaman ladang anggur ditanam mengikut kontur yang sungguh harmoni, langit biru dengan awan berkelompok keindahannya tidak bisa diungkai dengan kata-kata. Lavaux adalah satu satu daerah penanam anggur untuk membuat wain terbesar di Switzerland dan telah diiktirafkan sebagai World Heritage pada 2007. Usai makan kami melawat ladang anggur. Menuruni jalan sempit dan curam agak mencabar tetapi awalawal lagi kami diberi peringatan mengenakan sepatu sesuai. Dari ladang anggur Lavaux kami ke pekan Cully yang menurut saya sangat memberi inspirasi. Di sini masa seakan berjalan perlahan. Di pekan ini tidak ada insan terburu-buru mengejar sesuatu tetapi semua seolah-olah larut memandang tasik luas, taman bunga indah dengan landskap rumah lama, jalan sempit berbatu buntar dan lorong-lorong sunyi. Usai merakam kenangan kami ke Montreux menaiki bas untuk ke klinik La Prairie. Jenama dan penjenamaan La Prairie sangat sinonim dengan produk kecantikan Switzerland yang mahal dan berkualiti. La Prairie ada lebih daripada itu. La Prairie menjadi masyhur dengan rawatan cellular therapy yang menggunakan cel segar fetus anak kambing untuk awet muda. Di sini kami di bawa melawat ke bilik atau tepatnya wad menempatkan pesakit yang mendapatkan rawatan kecantikan di sini. Bermalam di Hotel des Trois Couronnes di Vevey mencipta satu lagi memori indah. Berhadapan tasik sejernih kristal dan dipagari gununggunung saya ralit melihat aktiviti yang berlangsung sekitar kawasan itu. Lewat petang ramai yang berjogging, berbasikal dan tentunya seronok melihat orang berenang bersama angsa putih. Tidak sabar menanti pagi untuk ke kawasan pergunungan Gstaad yang berada 1,050 meter di atas aras laut. Panorama indah dari kaca jendela Kemuncak kembara kami adalah menaiki kereta api Golden Pass Panoramic yang merentasi countryside daerah pergunungan menuju Gstaad. The Golden Pass Line antara kereta api yang menawarkan pemandangan indah kala merentasi lembah dan pergunungan lewat jendela luas dan lebar. Sungguh tidak dapat hendak saya huraikan dengan kata-kata betapa cantiknya gunung yang berlembah, hamparan rumput hijau, di tengah-tengahnya tasik jernih berhias langit biru dengan gumpalan awan putih. Bunga-bunga aneka warna yang menghiasi tingkap rumah peladang di atas bukit dan di lembah menyerikan lagi panorama indah ini. Jika anda ke sini musim sejuk, pemandangan ini diganti dengan salji memutih. Menginap di hotel Grand Park, mata saya dijamu pemandangan menawan. Ke mana-mana mata di arahkan yang terlihat hanyalah hamparan rumput hijau, gunung-ganang dan aliran sungai. Makan di balkoni terbuka diulit mesra semilir bayu membuat kami semua sungguh berselera. Acara di Gstaad agak santai, jalan-jalan di pekan kecil yang dipenuhi deretan kedai jenama rumah fesyen terkemuka kerana di sini tempat percutian kaya ternama terutamanya pada musim sejuk. Kami di bawa ke Saanen untuk mencuba sendiri seni tradisi menggunting kertas menjadi objek perhiasan indah. Sebelum petang berakhir dengan berkereta kuda kami merentasi bukit dan lembah untuk melawat rumah simpanan keju. Dari luar rumah empat persegi itu tampak kecil sekali tetapi kala turun ke bawah semua terkejut melihat ratusan keju bersusun rapi di atas rak lima tingkat. Gstaad, kami tinggalkan dengan memori indah untuk kembali semula ke Zurich sebelum masing-masing berlepas meninggalkan bumi Switzerland dan pulang ke tanah air masing-masing. Jika anda belum merancang destinasi percutian tahun ini, Switzerland pilihan terbaik. Negara ini bukan sahaja untuk di nikmati pada musim dingin sahaja tetapi pada setiap musim kerana banyak keistimewaan menanti di bumi ini. OLEH: AIDA OSMAN/Foto:INGimageAdvertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
Related Stories
Tom Ford Meraikan Black Orchid Reserve Bersama G-D...
BY Syafiqah Alkaf
Apr 06, 2026
Potret Cinta Bella Astillah dan Syed Saddiq
BY Syafiqah Alkaf
Mar 30, 2026
“Terima Panggilan Daripada Super Bowl, Sangat Me...
BY Amira Azman
Feb 11, 2023
20 Selebriti Korea Dengan Pengikut Instagram Palin...
BY Amira Azman
Feb 04, 2023
10 Lagu K-Pop Menjuarai Carta Antarabangsa 2022
BY Amira Azman
Dec 28, 2022
Amber Heard Digugur Dari Aquaman 2, Peminat Sudah ...
BY Siti Syahidah
Mar 02, 2021
Meluncur Penuh Gaya Bersama Jentera Baru BMW
BY Faizal Hadi
May 31, 2020
Your Next Read
Testing Istimewa Template
BY Muhammad Qasim
Apr 30, 2026
GLAM It Girl: Taanusiya Chetty
BY Tyraa Bahari
Apr 23, 2026
Ziana Zain Simbol Kelunakan Suara Yang Terus Relev...
BY Aizat Aidid
Apr 23, 2026
7 Lagu Romantis Buat Detik Bridal Entrance Anda
BY Izzati Hailizam
Apr 23, 2026
Masa Membawa Kecekalan Marsha Milan Mengukir Muzik...
BY Aizat Aidid
Apr 23, 2026
Azira Shafinaz Kembangkan Bakat Dengan Beri Masa P...
BY Aizat Aidid
Apr 23, 2026
Tiru Solekan Emily Blunt Di Red Carpet Devil Wears...
BY Julia Azman
Apr 22, 2026
Evolusi Fesyen Karpet Merah Filem The Devil Wears ...
BY Izzati Hailizam
Apr 22, 2026
Nikmati Kulinari Chef Beranugerah Black Pearl Di C...
BY Izzati Hailizam
Apr 22, 2026
Oversized Atau Slim-Fit, Mana Satu Penentu Gaya An...
BY Tyraa Bahari
Apr 22, 2026
Raikan Hari Ibu Dengan Koleksi Barang Kemas Louis ...
BY Syahirah Hussain
Apr 22, 2026
Ini Cara Sebenar Menggunakan Pelembap Wajah
BY Julia Azman
Apr 22, 2026
Peminat Pilates Kini Pilih Lagree Lebih Intensiti
BY Julia Azman
Apr 22, 2026
Keindahan Senja Timur Tengah Ditafsir Dalam Bentuk...
BY Syafiqah Alkaf
Apr 21, 2026
7 Lip Plumper Mewah Untuk Senyuman Lebih Menawan
BY Tyraa Bahari
Apr 21, 2026

