Diari Santorini Fyza Kadir

TEKS: YUSAIRI FITRI
 
Pasti ramai yang ingin tahu, apakah gaya yang menjadi pilihan Fyza Kadir kala berlibur. Figura yang mendapat jolokan KL’s hottest it girl ini sememangnya bijak bergaya dan sentiasa menyuntik sensasi glamor pada setiap majlis mahupun destinasi yang dilewati. Dia cukup terkenal dengan gaya feminin termasuklah kebijaksanaan padu padan aksesori. Lihat sahaja gambar di laman sosial Instagram miliknya, setiap momen yang dirakam pasti mendapat reaksi yang positif dari pengikutnya.
 
Baru-baru ini Fyza bercuti bersama suami di Santorini, Greece sebelum singgah di Cannes. Kata Fyza, “Memilih negara Eropah seperti Cannes, Monaco dan Greece sebagai destinasi bercuti adalah bertepatan sekali. Pesona panorama musim panas di sini begitu mengasyikkan sekali malah menjanjikan hembusan laut yang mendamaikan. Sebagai menghangatkan lagi, Feruz (suami) menempah bilik di West East Suites yang memiliki pemandangan terbaik berhadapan dengan laut Aegean. Apa lagi yang lebih indah dari bermalas-malas di infinity pool sambil membebaskan minda menikmati pemandangan menakjubkan.”
 
Selain menikmati pemandangan indah di pantai Caldera, makan tengahari di hotel Royal Olympic, Fyza dan suami turut berpeluang melawati tempat peninggalan tersohor yakni Temple of Olympian Zeus, Temple of Poseidon di Cape Sounion dan Arcopolis of Athens di Athens, Greece. “Kami menikmati setiap saat ketika berada di hotel West Eastern suites yang sensual ini! Pemandangan dari teres peribadinya tidak ada tandingan. It’s an unforgettable experience, I just wish we could’ve spent more time in Santorini… truly a phenomenal place! 
 
TIP BERCUTI DI SANTORINI

  1. Lawati Muzium Prehistoric Thira untuk melihat dengan lebih dekat artifak-artifak Greece.
  2. Usah lepaskan peluang menyelam scuba dan antara pantai paling popular untuk snorkeling adalah Red Beach.
  3. Waktu terbaik untuk ke sana adalah di antara April dan hujung September. Melawat di luar waktu kemuncak adalah tidak digalakkan kerana suhu bakal turun mendadak, kemungkinan hujan dan berangin malah kebanyakan hotel dan restoran juga tutup.
  4. Bawa kamus atau buku frasa kerana komunikasi mungkin suatu masalah apabila tidak ramai rakyat tempatan yang memahami bahasa Inggeris.
  5. Caj perkhidmatan turut termasuk dalam bil restoran, namun tetamu digalakkan memberi tip sebanyak 10 peratus.

 



 

POST A COMMENT