GLAM Life: Kelly Roza

Teks: YUSAIRI FITRI

Arahan Seni: MAHIRAH NADZLIM

Gambar: SOO PHYE PHOTOGRAPHY

Solekan & Dandanan: TAI SU MENGGUNAKAN SHISEIDO MAKEUP/SHISEIDO PROFESSIONAL
 

_S1A1456

Gambar: Arkib GLAM


 
Aliran multi elemen bertemu dan bersatu membentuk rasa baru yakni eklektik yang menjadi pertaruhan bijak Kelly Roza kala merealisasikan kediaman keluarganya.
 
Menjenguk ke kediaman personaliti GLAM Life kali ini begitu mengujakan. Berselindung di sebalik hiruk-pikuk kota, kondominium mewah di kejiranan SS2 Petaling Jaya sarat dengan sentuhan eklektik yang bisa memukau pandangan tetamu yang bertandang. Disambut dekorasi bersahaja di ruang legar pintu masuk, rasa teruja sedikit demi sedikit mengundang kala pintu utama di kuak. Damai pagi diselang seli rasa dingin penyaman udara menemani bicara saya bersama penghuni rumah, Kelly Roza. Sesekali perbualan kami terusik dek telatah comel lima ekor kucingnya yang manja. Dari pojok ruang makan, Kelly petah membuka bicara mengenai konsep dekorasi yang menghiasi segenap ruang kediaman. “Dekorasi kediaman ini setiap satunya mempunyai sensasi yang berbeza. Sebetulnya saya tidak mempunyai ruang kegemaran tetapi yang menariknya, suasana yang out of the ordinary, yakni gabungan beberapa elemen, sebagai contohnya, setiap ruang tamu mempunyai tema berbeza, yang membias personaliti kami,” ujar Kelly yang gemar mengumpul sesuatu perhiasan yang unik dan menzahirkannya menerusi susun atur yang sempurna.
 
Kediaman tiga bilik ini merangkumi ruang tamu, ruang makan, dapur kering dan basah. Ruang dapur kering lengkap dengan island table serba putih beserta bangku besi. Lukisan kaca yang diilhamkan Raja Azhar Idris menjadi penyeri ruangan ini. Pintu kaca dengan tulisan dapur memisahkan memisahkan dapur kering dan basah. Ruang tamu, memancing pandangan dengan susun atur perabot dan perhiasan yang pelbagai. Simfoni penyatuan elemen megah diraih menerusi meja kopi kaca dan kerusi rekaan berdawai dan kerusi santai daripada Canasta by B&B Italia. Sebagai pelengkap permaidani bernuansa lembut dijadikan titik pelengkap.
 
Di luarnya, angin lembut meniup tumbuhan segar menghijau. Sudut ruang makan pula dilengkapi meja makan kayu polos yang boleh menempatkan enam orang. Selesa dan harmoni dalam susun atur yang kemas bersama empat kerusi kulit putih dan kerusi lut sinar himpunan Louis Ghost by Philippe Starck. Di sudut bucu meja, Juke box setia menanti mendendangkan seleksi lagu-lagu lama dan terkini. Kala diamati, penghuninya nyata mewah dengan seni. Sambung Kelly, “Saya senang dengan gaya eklektik kerana ia tidak tertakluk pada satu elemen sahaja. Gabungan beberapa elemen dan reka bentuk berjaya membangkitkan imaginasi dan kejutan kontra di luar jangkaan. Ia bukan sekadar atau menggabungkan sesuatu tanpa motif sebaliknya bergantung pada reka bentuk blok seperti warna, corak, tekstur dan komposisi untuk mewujudkan satu ruang yang padu. A multitude of contemporary clean lines and traditional designs with deep rooted sense of history in some pieces.” Meninjau ke kamar utama, dekorasinya lebih nyaman baik daripada susun atur perabot sehinggalah ke walk-in closet. Menarik perhatian adalah kertas dindingnya yang bermotifkan flora cetakan timbul tiga dimensi daripada Macarena wallpaper by Christian Lacroix, lampu rona perak Harvey Nichols London dan cermin bersaiz mega yang melengkapi dinding sebagai penyeri daripada Caadre by Philippe Starck.
 
Menarik, berseni dan penuh kejutan susun aturnya yang sekali gus mencerminkan cita rasa penghuni yang bagai menyerahkan seluruh jiwa raganya bagi menghidupkan suasana selesa ini. Kelly mengakui imaginasi dan intuisinya begitu tinggi dalam melakar dan menzahirkan dekorasi secara realiti. Cerita Kelly, “Yes, I love getting creative. Jika diamati, dari padanan perabot, permaidani, reka bentuk tandas semuanya made-to-order. Begitu jua, kala membeli belah perabot dan perhiasan dalaman. Ia adalah kegemaran sejak usia remaja lagi kerana ibu sering membawa saya ke kedai perabot dan sekali gus terlibat secara langsung dalam proses kreatif. Dari situ saya belajar bagaimana mereka bentuk dan suai padan serta menggambarkan sesuatu ruang. I also pick up her extremely expensive taste of furniture.”
 

POST A COMMENT