GLAM NEXT FACE: Amber Chia Menjadi Aspirasi dan Inspirasi Peragawati Lokal

amber3

 

Bila melihat perjalanannya hidupnya, tentu ada yang menyimpan di dalam benak hati sedikit perasaan iri hati. Memiliki kehidupan sempurna idaman wanita, Amber Chia senantiasa berfikiran positif hingga kadang-kala saya berasakan tiada apa yang dapat menggugat harinya. Popular sebagai model di samping memiliki akademi modeling sendiri, anak dan suami pelengkap kebahagiaannya. Amber Chia digeruni model baru yang kini muncul bagaikan cendawan langsung menjadikan dirinya sebagai ikon juga inspirasi kepada model yang baru hendak mula menapak di dalam industri.

 

Pada dasar katanya, kehidupannya masih lagi sama cuma dengan adanya anak lelaki yang makin membesar telah menukar sedikit priority hidupnya. Tidak hanya menumpukan pada modeling sahaja, kini Amber beralih kepada perniagaan yang lebih serius bersama keluarga dengan membuka Akademi Amber Chia.

 

Walau sibuk, tangannya setia menggenggam telefon pintarnya untuk melayani para peminatnya di media sosial. “Saya cuba mendekati peminat dan teman-teman dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Cina dan Melayu. Lagi pun, jikalau tak mengguna pakai ketiga-tiga bahasa, nanti kita mudah lupa!” kata Amber yang sentiasa menulis status media sosialnya dalam tiga bahasa supaya para peminatnya yang berbilang bangsa boleh memahaminya.

 
MENYULAM MIMPI MENJADI REALITI
 

Siapa sangka, ‘gadis kampung’ ini sudah mulai menyulam mimpi sejak berusia tujuh tahun. Dari seorang gadis yang hanya membantu bapanya menjual ikan, kini Amber Chia menjadi idola ramai anak muda. Kisah rags to riches Amber cukup memberi inspirasi. “Saya sentiasa menyelak halaman fesyen dalam majalah dan mengagumi wanita cantik yang dipaparkan di kaca televisyen… dengan harapan suatu hari saya akan menjadi seperti mereka.”

 

Bermula pada usia 17 tahun dengan hanya berbekalkan impian mahu menjadi seorang model, Amber ke Kuala Lumpur seorang diri. Berbekalkan wang poket RM400, dia membeli tiket penerbangan dari Tawau, Sabah ke Lapangan Terbang Subang semata-mata mahu menghadiri satu sesi casting. Menyewa bilik bersama rakannya, ada ketikanya dia tidak punya wang pun untuk sesuap nasi. Siap kali mahu berputus asa, dia melawan sikap negatif itu dan terus berjuang demi minat yang selama ini dipendam. Situasi mendesaknya menjadi lebih kuat dan berdikari. “Jika anda tidak mempunyai minat dan semangat yang jitu pada sesuatu, anda tidak akan dapat mencapai impian yang anda idam-idamkan,” ujar anak ke tiga daripada enam adik beradik ini yang sering dinasihati ibu agar jangan putus asa dan terus berjuang.

 

Setelah mendapat panggilan dari satu agensi modeling, Amber semakin berjinak-jinak melakukan tugasan buat jenama-jenama mewah antarabangsa. Platform yang diberikan Andrewsmodels pula memberi peluang yang lebih baik berjaya melonjakkan namanya. Kata Amber, sikap positif dan sabar membuatkannya terus bertahan sejauh ini walaupun ada pasang surutnya. Katanya bersungguh lagi, “Saya tidak tahu sejauh mana jodoh saya dengan bidang modeling mampu bertahan, namun saya akan cuba pergi sejauh mungkin.”

 

Arena modeling juga membuka matanya kepada dunia luar dan membawanya kembara ke serata dunia. “Kerjaya model memberi kelebihan buat saya untuk melihat dunia. Saya gemarkan idea di mana bila tinggal di negara yang berlainan kita boleh belajar dan mengenali negara yang berbeza dan perbezaan budaya difahami. Saya kerap melancong pada umur 21 hingga 28 dan akhirnya kembali ke tanahair untuk menetapkan perancangan membuka perniagaan.” Mendiami New York selama sembilan bulan, dia akhirnya kembali ke Malaysia untuk memulakan perniagaan bersama keluarga.

 

Bercakap mengenai pengalaman pahit dan manisnya, tindak balas spontannya, “Nothing comes easy!” Cerita Amber, pada peringkat awal mencipta nama, dia pernah gagal lebh 10 kali. “Tapi saya tidak cepat melatah. Saya bangun dan terus berusaha!” Sebagai model baru, Amber melalui 1001 macam cabaran. Namun nasibnya mulai berubah sebaik dia berjaya merangkul anugerah Guess Watches Timeless Beauty Contest 2004 dan Model of the Year daripada The Malaysian International Fashion Awards. Amber sering berpegang kepada mantra Malaysia Boleh! walaupun berdepan dengan berjuta masalah, dia percaya pasti ada jawapannya.

 

amber2

Penyertaannya dalam Ford Supermodel Search pada 2009 telah berjaya menarik minat Amber untuk membuka akademi modeling sendiri. Selepas persediaan selama setahun, akhirnya Akademi Amber Chia secara rasminya dibuka pada 2010 Ogos. Tiada Akademi seperti Akademi Amber Chia yang menawarkan kursus profesional seperti di luar negara yang boleh dipelajari dari A hingga Z.

 

“Ketika pembukaannya, ramai memberitahu saya bahawa mereka bernasib baik kerana akademi ini ada mengajar seni solekan dan dandanan, fotografi selain modelling. Kami mempunyai tenaga pengajar yang berbeza dan saya juga mengajar salah satu kursus. Dengan 16 tahun pengalaman, saya perlu berkongsi dengan pelajar dan semua pengajar kami mempunyai pengalaman lebih dari lima tahun.” Selepas empat tahun, Akademi Amber Chia sudah melahirkan ramai anak didik yang berjaya. Antaranya Sheena Liam dan Coco Siew.

 

Bukan sahaja sibuk mengendalikan perniagaan sedia ada, Amber tidak boleh senang lenang dengan hanya satu perniagaan. Selama 10 tahun menjadi jurucakap Pensonic, kini Amber tampil dengan produk bersama Pensonic. Menjadi rakan kongsi bersama Pensonic dengan pengering rambut dan tong rambut. Selain itu bersama dengan koleksi Melinda Looi, iaitu ML X AC. “Saya percaya pada ungkapan sikit-sikit lama-lama menjadi bukit. Kini saya adalah pemegang saham kecil permaidani Casanova. Selain itu saya juga menjadi jurucakap Vidal Sasson (alasan saya memotong rambut saya yang tidak pernah dipotong pendek hampir 17 tahun!) dan syarikat penjagaan kulit dari China, ES5 iaitu Empress Secret No 5 pula bertanggungjawab menjaga kulit wajah saya. Saya amat bertuah kerana mendapat tawaran seumpama ini dan tentu sekali saya tidak akan mensia-siakannya,” kata Amber yang juga menjadi jurucakap kepada pengeluar dan peruncit aksesori untuk Apple, iaitu Mipow.

 

amber4

MENGIMBANGI KERJAYA DAN KELUARGA
 

Dengan jadual yang padat, secara jujur Amber tidak punya masa yang tetap untuk sarapan, makan tengah hari dan malam. Kadang-kala masa tidur pun tidak tentu hala. “Saya amalkan makanan yang sihat dan minum air yang banyak. Ia adalah rahsia kecantikan yang terbaik. Selain itu, saya cuba mendapatkan rehat yang cukup, selain berurut dan melakukan yoga. Jika terlalu sibuk saya pastikan untuk memakan makanan tambahan dua kali kali sehari dan ada masa-masanya yang melakukan detoks untuk membersihkan dalaman,” ujarnya yang percaya tiada wanita buruk di dunia, yang tinggal hanya yang malas sahaja. Selain itu, Amber gemar menghabiskan masa bersama anaknya bermain badminton dan senaman sit-up sebanyak 10 ke 20 kali sehari untuk menghilangkan stres.

 

Bila ditanya mengenai pembedahan kosmetik, Amber mengambil sikap terbuka. “Saya tidak melarang atau menggalakkan tetapi jika ia membantu membina keyakinan diri, then go for it! Saya juga mungkin melakukannya bila mencecah umur 40, siapa tahu bukan?” Amber walau bagaimanapun tidak bersetuju melakukan pembedahan kosmetik untuk mengubah segala-galanya. “Jika anda mengubah wajah anda, anda menukar personaliti anda. Kita tidak memerlukan dua salinan wajah Amber Chia di dunia atau 100 orang yang menyerupai Siti Nurhaliza. Baik untuk meningkatkan kualiti wajah ataupun keyakinan, namun janganlah sampai menukar keseluruhan muka anda menjadi orang lain. Pendapat saya, setiap manusia dilahirkan unik. Saya tidak akan mengubah bentuk wajah saya tetapi manalah tahu saya memerlukan botoks satu hari nanti untuk menaikkan lagi keyakinan diri, I would do
that too!”

 

“Berkahwin tidak banyak mengubah hidup saya, tetapi menjadi ibu banyak mengajar saya, ia merubah segala-galanya.” Melihat kepada personalitinya, menjadi ibu memerlukan kesabaran. “Selepas saya melahirkan Ashton, saya mula sedar kasih ibu begitu kuat kerana saya akan melakukan segala-galanya dan mengubah segala-galanya untuk seseorang yang kita sayangi. Gaya hidup dan keutamaan hidup saya, segala-galanya berbeza.” terang Amber yang kini menjadi morning person dan sering bangun seawal tujuh pagi untuk menghantar anak ke sekolah.

 

“Bersalin adalah mudah tetapi membesarkan anak memerlukan ketabahan dan hati yang kental. Saya seorang yang romantik, jadi kala masa lapang saya sering menghabiskan masa bersama Ashton ke panggung wayang, memasak untuknya dan menghabiskan masa di tempat yang tenang. Kini sudah tentu, dia memerah masa untuk bersama anaknya ke taman tema.”

 

Pengurusan masa adalah sangat penting apabila keutamaan anda berubah mengikut masa dan Amber percaya perkara yang paling penting adalah kesihatan. Jika anda sihat dan bertenaga menguruskan segala-galanya. Dan dengan itu pelbagai impian dapat ditunaikan. Amber berharap agar satu hari nanti dia dapat membentuk persatuan model untuk melindungi model di Malaysia. Ya, seperti yang anda tahu tiada persatuan model seumpama itu yang boleh mengawal kualiti langsung menyokong model tempatan. Mungkin 10 tahun dari sekarang Amber bakal menjadi pengerusi kepada persatuan ini dan 10 tahun dari sekarang Akademi Amber Chia akan melebarkan bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara juga? Nantikannya!

POST A COMMENT