Ulang Tahun Ke-61 Malaysia Baru: Izara Aishah Berbicara Mengenai Masa Depan dan Harapan
Most GLAM 2017: Datin Shena Mohd
Royal Baby Joy! Putera Mateen & Puteri Anisha Timang Puteri Sulung
Mantan Menteri-Menteri Wanita Ini Pasti Dirindui
Billie Eilish, The New Queen Of Grammys
Home > GLAM Heart > Projek Hijau > Gaya Hidup > GLAM Profil: Sisterhood of Lina & Lini Rahim, Sherry & Julia Amin

GLAM Profil: Sisterhood of Lina & Lini Rahim, Sherry & Julia Amin

Keakraban Lina & Lini Rahim serta Sherry & Julia Amin menunjukkan bahawa adik-beradik bukan sekadar berkongsi darah, tetapi saling menyokong dan melengkapi.

Dua jiwa, satu ikatan

Sebagai pasangan kembar seiras, Nur Lina Binti Datuk Seri Rahim dan Nur Lini Binti Datuk Seri Rahim sering dilihat sebagai satu pakej. Namun di sebalik persamaan wajah dan perjalanan hidup yang saling berkait, hubungan Lina dan Lini dibina atas peranan yang berbeza, komunikasi yang jujur, dan kepercayaan yang kukuh sejak kecil. Hubungan adik-beradik inilah yang membentuk cara mereka membuat keputusan, membina kerjaya, dan menjalani kehidupan sebagai wanita, ibu dan usahawan hari ini.

Sejak kecil, Lina dan Lini membesar sebagai satu pasukan. “Kami membesar dengan hubungan yang sangat rapat. Kami saling memahami dan saling bergantung antara satu sama lain,” kongsi mereka. Daripada berkongsi perhatian ibu bapa, mainan hingga ruang peribadi, pengalaman ini secara tidak langsung mengajar mereka toleransi, empati dan persaingan yang sihat. Hubungan kembar ini juga menjadikan mereka lebih berani mencuba perkara baharu, kerana mereka tahu mereka sentiasa boleh bergantung antara satu sama lain.

Walaupun sering dilihat sebagai satu unit, Lina dan Lini mempunyai sifat dan karakter yang jelas berbeza. Dalam membuat keputusan, Lina dikenali sebagai yang lebih tegas dan berani melangkah, manakala Lini pula lebih diplomatik dan cenderung melihat kesan jangka panjang. Namun, perbezaan itu tidak pernah menjadi jurang. Setiap keputusan penting akan dibincangkan bersama, dari pelbagai sudut, sehingga mencapai kata sepakat. Bagi mereka, kekuatan sebenar terletak pada keseimbangan.

Sebagai kembar seiras, mereka juga mempunyai cara komunikasi tersendiri yang sukar difahami orang luar. Hanya dengan satu pandangan, mereka sudah tahu apa yang bermain di fikiran masing-masing. “Ini yang kami panggil Twin’s language,” ujar mereka. Keintiman ini bukan sesuatu yang dibuat-buat, tetapi lahir secara semula jadi hasil perkongsian hidup selama bertahun-tahun.

Namun, menjadi kembar tidak bermaksud mereka tiada identiti masing-masing. Sejak kecil, Lina dan Lini diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri daripada pilihan pakaian hingga gaya hidup. Mereka percaya bahawa walaupun rupa paras serupa, personaliti dan sikap tetap berbeza. “Mudah untuk orang melihat kami sebagai satu pasangan, tetapi kami pastikan setiap perjalanan hidup kami mempunyai warna dan arah yang unik,” jelas mereka.

Pengaruh terbesar dalam hidup dan kerjaya mereka datang daripada bapa tercinta, Datuk Seri Rahim Baba, yang amat menekankan kepentingan pendidikan. Dorongan inilah yang membawa mereka melengkapkan pengajian dalam bidang ACCA dan Masters of Finance di London, satu pengalaman yang membentuk disiplin dan ketahanan diri mereka. Tidak dilupakan juga ibu tersayang yang mengajar mereka erti ketabahan dan kasih sayang, melengkapkan keseimbangan didikan mereka.

Kini, sebagai ibu dan wanita bekerjaya, Lina dan Lini mengakui bahawa keseimbangan bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia boleh diurus dengan perancangan yang teliti. Jadual mingguan disusun rapi antara urusan perniagaan dan keluarga dengan bantuan pasangan yang sentiasa menyokong. “Pasangan kami amat memahami peranan kami dan sentiasa memberi dorongan untuk kami menguruskan hal keluarga dan perniagaan dengan baik,” tambah mereka.

Dalam hubungan adik-beradik pasti berlakunya perbezaan pendapat, namun, Lina dan Lini menekankan komunikasi terbuka tanpa ego. “Kami menerima pandangan masing masing dan berbincang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi demi mencapai kata sepakat,” jelas mereka. Ini kerana mereka percaya bahawa perbezaan bukan halangan, sebaliknya ia membantu mencapai penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

Pasangan ini pernah mengasaskan bersama perniagaan Nelydia Jewels pada 2020, yang kini menjadi salah satu pengalaman berharga mereka walaupun projek itu tinggal kenangan. Semangat keusahawanan mereka sebenarnya sudah dipupuk sejak usia 13 tahun, bermula dengan menjual beg anyaman mengkuang diimport dari Filipina dan kemudian menjual kasut semasa melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam. “Hubungan kami terlalu kuat untuk tidak kembali mencipta sesuatu bersama,” kata mereka yang pasti bekerjasama lagi apabila muncul idea yang tepat.

Hari ini, Lina menguruskan Warung Eropa, sebuah restoran yang menyediakan hidangan asli Bali dan Indonesia dengan sentuhan Barat. “Food reunites people. Ia bukan sekadar perniagaan, tetapi ruang untuk membina hubungan,” katanya. Lini pula menguruskan hartanah keluarga di London dan Kuala Lumpur, sambil menjadi ibu kepada dua cahaya mata.

Meskipun agak sukar untuk membezakan pasangan kembar ini, personaliti mereka dari aspek fesyen jelas berbeza dimana Lina dengan gaya sporty chic yang berani manakala Lini lebih feminin dan effortless dengan pilihan monokrom serta berlapis. Walaupun kini tidak lagi berpakaian sedondon seperti zaman kanak-kanak, mereka percaya fesyen adalah cara mengekspresikan diri. “Tetapi yang paling menariknya, walaupun kami menggayakan gaya yang berbeza, masih ramai yang tidak boleh membezakan antara kami berdua!,” ujar Lina sambil ketawa kecil.

Perbezaan yang menyatukan

Pasangan adik-beradik Sherry Amin dan Julia Amin, kedua-duanya mempunyai personaliti yang menarik dan menjadi ikutan ramai di media sosial, tetapi perbezaan sifat mereka yang sebenar menjadikan hubungan adik-beradik ini lebih unik. “Orang tak sangka, tapi saya sebenarnya introvert manakala Julia extrovert. Dia memang kelakar, manakala saya yang lebih bertanggungjawab,” kongsi Sherry. Perbezaan ini menjadikan setiap peranan mereka dalam hubungan ini unik dan memberi keseimbangan antara satu sama lain.

Dalam membuat keputusan, kedua-duanya mempunyai cara tersendiri. Sherry mengakui, “Saya rasa saya lebih tegas, tapi pasti Julia akan kata dia yang lebih tegas.” Walaupun berbeza, perbincangan dan komunikasi menjadi kunci utama mereka menyelesaikan sebarang perselisihan. Dibesarkan oleh ibu mereka yang seorang peguam, mereka terbiasa untuk berbincang secara panjang lebar. “Setiap kali kami tidak sependapat, kami banyak bercakap. Itu salah satu perkara terbaik tentang keluarga kami,” jelas Sherry.

Berkongsi momen manis bersama sebagai adik-beradik, Sherry tidak dapat melupakan kejadian semasa pandemik COVID-19 dimana dia telah menamatkan pengajian di London dan Julia baru memulakan pengajian di Bristol. Dengan kawalan pergerakan yang terhad, mereka banyak menghabiskan masa bersama. “Saya membantu dia berpindah ke rumah barunya, dan dia satu-satunya orang yang hadir di majlis graduasi saya. Minggu itu benar-benar sangat bermakna,” kenang Sherry.

Nilai keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mereka. Sherry menekankan, komunikasi adalah asas keluarga mereka. “Salah satu perkara tentang keluarga kami ialah kami banyak berbual. Semasa saya membesar, saya sedar tidak semua keluarga begitu… ibu bapa kami sangat memahami dan terbuka, sehingga kami tidak pernah rasa perlu berbohong,” jelasnya.

Dua beradik daripada tiga orang adik-beradik ini jelas memiliki karakter yang berbeza. Namun, Sherry dan Julia saling melengkapi antara satu sama lain dimana Julia mempunyai pemikiran yang strategik dan berjiwa perniagaan, manakala Sherry lebih kreatif dengan idea-idea menyeronokkan. “Ia keseimbangan yang baik kerana dia sentiasa memotivasikan saya!” kata Sherry.

Kedua-dua mereka semakin dikenali dalam kerjaya masing-masing sebagai pencipta kandungan dan dalam industri DJ. Walaupun laluan mereka berbeza, Sherry dan Julia sentiasa menyokong antara satu sama lain. “Saya mahu dia berjaya ke peringkat global dan melakukan apa yang dia sedang lakukan sekarang pada skala lebih besar,” ujar Sherry. Bagi Julia, harapannya agar Sherry terus berkembang dengan penuh keyakinan. “Saya mahu dia terus berkarya dengan autentik, memberi inspirasi kepada pengikut, dan yakin dengan dirinya ketika menghadapi peluang yang lebih besar,” kata Julia.

Sebagai adik-beradik, mereka berdua sangat berbangga dengan pencapaian masing-masing. Sherry menyatakan rasa bangga apabila menghadiri salah satu acara “block party” pertama Julia yang habis dijual. “Saya sedar betapa besar impaknya, terutamanya dalam membuka ruang untuk wanita muda,” katanya. Bagi Julia pula, momen paling membanggakan adalah melihat Sherry menamatkan pengajian universiti. “Selepas melalui tempoh penuh cabaran, dia menempuhnya dengan kekuatan dan integriti, tanpa mengubah dirinya yang sebenar. Saya bukan sahaja bangga dengan pencapaiannya, tetapi juga dengan wanita yang dia pilih untuk menjadi setiap hari,” ujar Julia.

Walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing, Sherry dan Julia tetap mencari cara untuk meluangkan masa berkualiti bersama. Salah satu cara mereka mengeratkan hubungan adalah melalui makanan. “Julia pandai memasak, dan saya pandai makan! Dia juga hebat memilih restoran, manakala saya pandai membayar bil,” gelak Sherry, menunjukkan keakraban mereka yang santai dan penuh gelak tawa.

Dari segi fesyen, Sherry dan Julia mempunyai gaya yang berbeza tetapi saling melengkapi. Sherry gemarkan gaya elegan dan effortless, manakala Julia lebih ekspresif, playful dan suka bereksperimen dengan tekstur dan mencerminkan mood melalui pakaian. Mereka kerap memberi nasihat fesyen antara satu sama lain dimana Sherry menasihati Julia untuk bersederhana dan classy, manakala Julia mendorong Sherry untuk berani mengambil risiko.

Disoal tentang amalan kecantikan turun-temurun dari ibu mereka, Sherry dan Julia mendedahkan bahawa mereka mengekalkan rutin yang sama sejak kecil. “Ibu selalu ajar bahawa menjaga diri bermula dengan disiplin dan konsisten. Amalan mudah seperti manicure dan pedicure, tidak tidur dengan solekan, dan minum air cukup adalah perkara yang kami terus praktikkan,” kongsi mereka. Mereka percaya bahawa keyakinan, keseimbangan, dan penjagaan diri adalah alat kecantikan paling berkesan sementara trend hanyalah pelengkap.