Percutian Kolonial Tropika Di The Danna Langkawi
Siapa Julia Azman? Pengarah Kecantikan GLAM ini mengukir nama dalam dunia editorial selam...
Read Full BioSetiap bilik dan suite di The Danna seperti berada di ruang peribadi, diilhamkan oleh gaya Colonial-Mediterranean yang sarat dengan keanggunan zaman silam, namun disentuh dengan kemudahan yang paling moden. Dari bilik Merchant Hill yang membingkai kehijauan bukit seluas 60 hingga 65 meter persegi, hinggalah ke Grand Merchant 2-Bedroom Suite yang agung seluas 210 meter persegi setiap ruang direka untuk menjadi syurga peribadi tetamu.
Bantal bulu angsa yang lembut. Kelembutan tilam pillow-top yang menyambut badan seperti awan menyambut langit petang. Bilik mandi dengan pancuran hujan dan tab rendam yang mengundang jiwa untuk berehat panjang. Dan yang paling buat GLAM teringat adalah kami dimanjakan dengan ameniti mandi eksklusif Jo Loves by Jo Malone CBE, wangian yang merupakan kemewahan dalam genggaman.
Mesin Nespresso menanti dengan aromannya yang kaya, sementara koleksi TWG Teas tersedia untuk mereka yang lebih gemar ketenangan secawan teh petang. Balkoni peribadi di setiap bilik menjadi tempat paling mahal di resort ini bukan kerana harganya, tetapi kerana pemandangan yang tidak ternilai. Sama ada bukit Langkawi yang berselimut kabus pagi, marina yang gemerlapan, atau lautan Andaman yang membiru tanpa penghujung, setiap sudut pandang adalah sebuah lukisan alam yang baru. Bagi tetamu yang mendambakan ruang yang lebih luas, Marina 4-Bay Suite with Private Pool seluas 600 meter persegi adalah kemuncak kemewahan.
Setiap sudut The Danna berbisik tentang keanggunan yang tidak perlu berteriak ia cukup indah untuk dikagumi selamanya.
Princess Beach Villa Pilihan GLAM
Beach Villas di The Danna bakal mencipta momen terbaik saat anda bercuti. Sebanyak sembilan Princess Beach Villa dan satu Empress Beach Villa yang menakjubkan dan kesemuanya berhadapan langsung dengan pantai, dengan kolam renang infinity peribadi yang airnya seolah menyatu dengan lautan di hadapan.

Empress Beach Villa
Empress Beach Villa pula merentangi ruang seluas 1,080 meter persegi yang lengkat dengan ruang urutan peribadi, bilik mandi mewah berkembar, dapur kecil, serta kolam renang infinity yang menjadi mahligai di bawah langit terbuka. Tingkap dari siling ke lantai membenarkan cahaya matahari masuk bagaikan pelukan hangat setiap pagi, sementara dek kolam dengan katil berjemur menjemput anda untuk membuang masa dengan penuh kesenangan kerana di sini, waktu memang sepatutnya terbuang dengan indah.
The Danna tidak menjemput tetamunya sekadar untuk makan, ia mengundang mereka untuk menghayati. Lima destinasi kulinari, setiap satu dengan watak dan jiwa yang berbeza, bersama-sama membentuk orkestra rasa yang harmoni. Ruang yang wajib dikunjungi seperti:
See Also
Planter’s
Membuka tirai dengan sarapan pagi yang menyelerakan dan makan malam bufet berinspirasikan warisan selera Eropah dan Asia yang berpadu dalam satu pentas yang elegan, dari pagi 7:00 hingga 10:30 pagi, dan kembali menjamu selera dari 6:30 hingga 10:30 malam.Terrace
Membawa sentuhan Itali yang suam pasta buatan tangan, makanan laut segar, wain pilihan yang dipasangkan dengan sempurna, dan pilihan untuk bersantap di luar sambil memandang kolam renang yang membayang cahaya petang, dibuka dari 4:00 petang hingga 10:30 malam.
Straits & Co
Jiwa warisan Peranakan dari minum petang yang klasik, kelazatan manis dan masin yang memori, sebuah penghormatan kepada nenek moyang yang masak dengan cinta. Kini membuka pintunya lebih lama, dari 11:00 pagi hingga 10:30 malam, memberi ruang untuk tetamu menghayati setiap suapan tanpa tergesa-gesa.
Verandah
Membawa tetamu kembali ke kemewahan tahun 1920-an, siling yang tinggi menjulang, gantung-gantung kristal yang berkelipan, muzik hidup yang mengalir perlahan, dan sofa empuk yang enggan melepaskan anda pulang. Inilah lounge paling berkelas di Langkawi, sebuah permata tersembunyi yang menanti untuk ditemui, dari jam 5:00 petang hingga lewat malam.
Di The Danna segalanya tentang pengalaman menyeluruh yang memenuhi jiwa dan raga. Kolam renang infinity tiga tingkat yang digelar terbesar di pulau ini menawarkan pemandangan panoramik Andaman yang tidak bertandingan, lengkap dengan kolam kanak-kanak dan jakuzi. Pantai The Danna di Pantai Kok pula mewah dengan pasir putih halus, air yang tenang dan membiru. Resort ini turut memiliki bot pedal elektrik Ceclo dari Perancis yang pertama seumpamanya di Langkawi sebuah cara menyelusuri perairan yang anggun dan mesra alam.
Spa resort ini, bertakhta di tingkat atas dengan panorama kehijauan dan marina, menawarkan rawatan yang menggabungkan kearifan urutan Melayu tradisional dengan kehalusan produk Pevonia. Buat anda yang mempunyai anak kecil, The Danna Jr. Club menyediakan dunia penuh warna untuk anak-anak berusia 4 hingga 11 tahun. Antara aktiviti menarik menanti si kecil seperti seni pasir, permainan sukan, Lego danPlayStation 5, serta filem animasi kegemaran. Sementara para dewasa berehat, si kecil pula punya ruang sendiri. Di ruang gimnasium tersedia peralatan TechnoGym terkini termasuk TechnoGym Ride, yang pertama seumpamanya di Malaysia dan semua ini dengan latar belakang tingkap besar yang membingkai gunung dan marina biru.
Hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan 25 minit dari Pantai Cenang yang rancak, The Danna menawarkan keistimewaan terpenting dalam dunia moden ini. Di Telaga Harbour Park, di celahan antara bukit-bukit hijau dan laut Andaman yang biru, ia berdiri seolah seluruh alam telah bersetuju untuk menjadikan tempat ini sebagai pemuliharaan bagi jiwa-jiwa yang memerlukan rehat.
Artikel berkaitan Kehidupan Inap Mewah Di Hotel The Danna LangkawiAdvertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT






