Laporan ‘Magazine Cover Diversity’ Tahun 2016: Masa Depan Cerah Untuk Dunia Fesyen

Di Malaysia, jarang sekali kita mempunyai isu mengenai siapa yang muncul di muka depan sesebuah majalah kerana majalah-majalah di Malaysia memang jarang menampilkan model-model berkulit putih (mereka yang berketurunan Eropah).

 

Tetapi kepelbagaian masih diperlukan di Malaysia seperti mana ianya adalah satu isu yang serius di peringkat global di mana majoriti muka depan majalah mereka dihiasi dengan selebriti, model, dan personaliti wanita berkulit putih. Manakala wanita-wanita berwarna (Women of Colour) terpaksa bekerja lebih keras untuk dipilih sebagai model muka hadapan sesebuah majalah.

 

Standard kecantikan tidak sepatutnya dikelaskan kepada satu standard sahaja kerana tidak semua orang mempunyai ciri yang sama antara satu sama lain.

 

Berhubungan dengan itu, TheFashionSpot telah mengeluarkan laporan ‘Magazine Cover Diversity’ tahunan mereka mengenai kepelbagaian muka hadapan majalah-majalah seperti InStyle, Harper’s Bazaar sehingga ke edisi-edisi antarabangsa Vogue. Mereka telah menjumlahkan sebanyak sebanyak 687 muka hadapan daripada 48 majalah antarabangsa yang ternama untuk memastikan majalah mana yang menampilkan lebih banyak wanita berwarna dan majalah mana yang masih ketinggalan dengan pembangunan dan kepelbagaian industri fesyen ini.

 

 

Mengikut laporan tersebut, kami dapati daripada 687 muka hadapan yang ada, 482 menampilkan wanita berkulit putih dan hanya 196 menampilkan orang berwarna (People of Colour). Ini menunjukkan 6.2 mata kenaikan berbanding tahun 2015.

 

plus-e1481512815602

 

Kepelbagaian juga tidak terhad kepada bangsa sahaja. Majalah-majalah tahun ini gagal menampilkan lebih banyak selebriti, model dan personaliti berbadan besar  kerana daripada 697 model yang ditampilkan hanya enam sahaja merupakan individu berbadan besar. Ashley Graham untuk isu Ogos Cosmopolitan, Adele untuk isu Disember Vanity Fair dan isu Mac Vogue U.S., Leslie Jones dan Melissa McCarthy untuk isu Julai ELLE dan Rebel Wilson untuk isu Julai Marie Claire U.K..

 

 

Model-model yang meraih muka hadapan majalah terbanyak adalah Gigi Hadi (14), Kendall Jenner (10), dan Bella Hadid (8). Lupita Nyong’o merupakan satu-satunya wanita berwarna yang meraih tempat 10 teratas dengan 5 muka hadapan.

 

Majalah yang menunjukkan ciri-ciri kepelbagaian paling sedikit adalah Harper’s Bazaar US, Jalouse, LOVE, Marie Claire UK, Porter, Vogue Jerman, Vogue Netherlands, Vogue Paris dan Vogue Rusia.

 

Manakala majalah yang menunjukkan paling banyak kepelbagaian adalah i-D, InStyle, Paper, Teen Vogue, Vogue India, Vogue Korea dan Vogue Taiwan.

 

Walaupun masih jauh lagi untuk menampakkan perubahan yang ketara dalam industri ini, 2016 menampakkan masa depan yang cerah untuk perubahan dalam industri fesyen. GLAM mengharapkan lebih banyak perubahan bakal berlaku untuk tahun 2017.

 

Oleh: Ai Nazmi Norzaid

POST A COMMENT