fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Pengembaraan Gastronomi Singapore Food Festival Bersama Tiffin Malaysia
“It Girl” Sepanjang Dekad Yang Perlu Anda Tahu
Tonton 5 Filem Romantik Ini Bersama Pasangan Anda
Filem Asia Yang Patut Ditonton Sepanjang Tahun 2024
Beyonce Wanita Kulit Hitam Pertama Ungguli Carta Country Billboard
Home > Puteri Gunung Ledang The Musical Lebih Daripada Sekadar Comeback

Puteri Gunung Ledang The Musical Lebih Daripada Sekadar Comeback

Ada sebab mengapa setiap kali nama Puteri Gunung Ledang The Musical disebut, ia terus membangkitkan rasa kagum dan nostalgia dalam masa yang sama. Dua dekad selepas fenomenanya mengubah landskap teater tempatan, karya epik ini akhirnya kembali ke pentas dan kali ini, keterujaannya terasa lebih besar, lebih emosional dan jauh lebih peribadi.

Mungkin kerana generasi yang membesar dengan filem dan teater ini kini melihatnya semula dengan perspektif berbeza. Atau mungkin kerana dalam dunia hiburan yang terlalu pantas dan digital, kita semakin merindui karya yang terasa megah, romantik dan penuh jiwa. Puteri Gunung Ledang bukan sekadar cerita cinta legenda. Ia adalah simbol bagaimana seni Melayu boleh dipersembahkan dengan skala yang sinematik, visual yang mewah dan emosi yang benar benar meninggalkan kesan.

Apa yang membuatkan pementasan kali ini terasa begitu menarik ialah cara produksinya mempertemukan legasi lama dengan generasi baharu. Pengumuman Mila Mohsin sebagai salah seorang Puteri Gunung Ledang serta-merta mencipta momen yang sangat simbolik. Sebagai anak kepada Tiara Jacquelina, Mila bukan hanya menyertai produksi ini sebagai pelakon baharu, tetapi seperti menyambung sebuah dunia yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil. Produksi sendiri menyifatkan pemilihannya sebagai tentang “legasi, pertalian darah dan kesinambungan dunia yang hidup dalam hati penonton selama dua dekad.”

Lebih menarik, pementasan kali ini juga memilih untuk menampilkan dua Puteri Gunung Ledang buat pertama kali, dengan Aisha Retno turut membawa watak ikonik tersebut. Keputusan dual casting itu terasa segar dan moden, seolah olah memberi ruang kepada dua interpretasi berbeza terhadap karakter yang begitu mistikal dan emosional.

Dan kemudian hadir pula pengumuman yang membuat ramai peminat lama benar benar teruja, iaitu Aqasha sebagai Hang Tuah. Ia bukan sekadar casting yang menarik, tetapi seperti sebuah perjalanan yang akhirnya lengkap. Dua puluh tahun lalu, Aqasha pernah terlibat dalam produksi yang sama sebagai Bendahara Melaka dan pelakon simpanan untuk watak Hang Tuah. Kini, dia kembali sebagai figura utama legenda tersebut. Ada sesuatu yang sangat puitis tentang perjalanan itu.

Barisan pelakon lain seperti Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusuf Hashim pula memberi bayangan bahawa produksi ini tidak sekadar bergantung pada nostalgia, tetapi benar benar cuba memperkenalkan era baharu untuk dunia Puteri Gunung Ledang.

Namun mungkin sebab sebenar ramai begitu menantikan teater ini adalah kerana Puteri Gunung Ledang sentiasa mempunyai aura yang sukar dijelaskan. Ia dramatik, tragik, romantik dan penuh kemewahan visual. Kostum tradisionalnya terasa timeless. Muziknya pula masih hidup dalam memori budaya pop tempatan hingga hari ini. Bahkan di media sosial, generasi muda masih menggunakan referensi Puteri Gunung Ledang untuk moodboard fesyen, kecantikan dan estetika Melayu klasik moden.

Kembalinya karya ini terasa seperti satu reminder bahawa seni tempatan sebenarnya mempunyai identiti yang sangat kuat apabila diberikan ruang untuk dipersembahkan secara besar besaran dan penuh visi. Dan mungkin itulah sebabnya kita semua begitu excited.

Kerana Puteri Gunung Ledang bukan sekadar sebuah teater.

Artikel berkaitan: Sinergi Muzik Aizat Amdan, Sekumpulan Orang Gila Dan Yuna