PADA ERA DIGITAL KINI, TEKNOLOGI KECERDASAN BUATAN TELAH MELEBARKAN SAYAPNYA KE SELURUH INDUSTRI SEKALI GUS MEMBAWA ARUS PERUBAHAN YANG AMAT BESAR. BAGAIMANA IA MENTAKRIF SEMULA KREATIVITI DALAM FESYEN DAN FOTOGRAFI?
Teks SITI SYAHIDAH KARIM BUX Grafik FIRDAUS IKHMAL
Teknologi hari ini berkembang dengan sangat pesat dan maju, bagaikan berlaku sekelip mata. Seiring perkembangan ini, kecerdasan buatan atau lebih sohor dengan panggilan ‘AI’ daripada istilah Inggeris Artificial Intelligence muncul sebagai salah satu cabang paling canggih. Dengan kemampuan mesin, komputer atau aplikasi menyelesaikan tugas yang sebelum ini dilakukan dan tidak mampu dilakukan manusia, ia kini menjadi pilihan ramai. Bukan saja untuk dunia pekerjaan tetapi juga aspek kehidupan lain. Bagaimanapun kecerdasan buatan bukanlah konsep yang baru diwujudkan. Perintis pengkomputeran awal, Alan Turning membangkitkan persoalan, ‘Bolehkah mesin berfikir?’ pada tahun 1950. Istilah AI diperkenalkan enam tahun kemudian dan selepas lebih tujuh dekad, konsep ini akhirnya direalisasikan. Kini penggunaan kecerdasan buatan ada di manamana. Apa yang kita lihat sebagai mustahil untuk direalisasikan sepuluh hingga dua puluh tahun lalu kini dengan mudahnya menjadi realiti dengan bantuan AI. Dan menariknya ia dicapai dengan cara paling mudah dan pantas, hanya di hujung jari. Tidak dinafikan ia sekali gus dapat mengurangkan tenaga kerja, menurunkan kos dan meningkatkan produktiviti. Tanpa kita sedari, kecerdasan buatan sudah banyak digunakan dalam teknologi hari ini dan menurut jangkaan, ia akan terus berkembang pesat di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Evolusi Hampir Seabad
Dunia fesyen sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi. Justeru sama seperti industri penting lain, ia tidak terkecuali daripada berevolusi. Sejak fotografi diperkenalkan pada 1822, para pereka mengubah haluan daripada ilustrasi kepada fotografi untuk mempromosi jenama mereka. Perintis bidang ini adalah Norman Parkinson atau dikenali sebagai ‘Bapa Fotografi Fesyen’ yang kekal di barisan hadapan sekitar tahun 1930-an dan menjadi rujukan sehinggalah kematiannya pada 1990. Gelaran ‘Ibu’ pula milik Louise Dahl-Wolfie yang menggambarkan wanita dalam konteks baru dan membawa fotografi fesyen ke tahap lebih tinggi. Sehingga hari ini hasil kerjanya terus memberi inspirasi kepada jurugambar dari seluruh pelosok dunia. Kini selepas hampir seratus tahun, fotografi fesyen sekali lagi berubah arah. Gabungan teknologi terkini membantu membentuk semula sektor kreatif ini dengan idea yang mungkin tidak terjangkau dek akal. Dari sudut fotografi, penggunaan AI Generatif semakin mendapat perhatian di kalangan pengguna. Aplikasi fotografi fesyen muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Hanya dengan satu klik, pelbagai imej boleh dihasilkan berdasarkan corak yang dipelajari daripada data sedia ada. Dan apa yang terhasil apabila kecerdasan buatan bertemu fesyen? Jika sebelum ini imej untuk iklan fesyen dirakam dengan cara tradisional, kini ia boleh dihasilkan hanya dalam masa beberapa saat. Tiada lagi sesi penggambaran foto yang mahal dan proses penyuntingan yang memakan masa berhari-hari.
Jurufoto tidak perlu lagi memikirkan segala aspek penggambaran termasuk kamera dan pencahayaan. Selain tidak perlu memerah idea dan keringat, proses automatik ini juga menjimatkan masa. Sekali gus membolehkan karyawan memberi fokus pada aspek konseptual dan artistik, bukannya tugas editorial yang renyah dan berulang. Tanyalah mana-mana pereka fesyen, pasti mereka akan mengakui betapa penting dan sukarnya mencari jurugambar tepat untuk mempromosikan jenama mereka di pasaran. Namun kini tidak kira foto untuk majalah, iklan produk mahupun kandungan media sosial, semuanya boleh direalisasikan hanya dengan memberi arahan kepada AI. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memilih latar belakang, pencahayaan, sudut kamera, kontras, warna serta elemen lain untuk menghidupkan idea dan menyampaikan mesej diingini. Bahagian paling menarik tentunya penjimatan kos. Penggambaran fesyen biasanya menelan belanja yang besar dek kerana perlu menyewa studio dan peralatan, juga membayar khidmat model hingga jurusolek dan penata gaya. Dengan bantuan kecerdasan buatan, semua ini boleh ditolak tepi. Namun apa yang paling penting tentulah hasilnya. Kecerdasan buatan memperluas batas kreativiti dan estetika, justeru imej berkualiti yang dijana bukan calang-calang. Unik dan inovatif, ia mengaburi garis antara realiti dan seni digital. Dengan pelbagai alatan AI yang sering dikemas kini, karyawan sentiasa boleh meneroka kaedah artistik baru dan menghasilkan karya tanpa sempadan. Selain itu mereka boleh memanfaatkan alat penyuntingan foto AI yang lebih menjimatkan masa berbanding perisian biasa. Ini juga bermakna tanpa penggambaran foto tradisional, jenama kecil terutamanya boleh mencipta sendiri kempen yang pelbagai dan inklusif menggunakan model alam maya….
Baca Selanjutnya di isu GLAM Jan/Feb 2025
Artikel Berkaitan: GLAM Skop: Kuasa Nepotisme Dalam Pasaran Mewah
Artikel Berkaitan
Menelusuri Alunan Karya Muzik Bella Astillah
Maternal Glow Datin Intan Najuwa Yang Menawan
GLAM Weddings: Tengku Nadira Adnan & Teuku Ag...
Volvo Dan Makna Sebuah Perjalanan Pulang
Siapa Bintang Lokal Yang Top Di Spotify
Sorotan Hangat Sepanjang Cannes Film Festival 2026
Pilihan Bacaan Seterusnya
Evolusi Kasut New Balance 204L Dalam Rona Baharu
Menelusuri Alunan Karya Muzik Bella Astillah
Mommy Chic Era Dalam Gaya Bintang Asia
Obsesi Gen-Z Pada Gaya Seksi “Maddy Perez”
Dialog Fesyen: Yuleza
Teknik ‘Retinol Sandwiching’ Mampu Selamatkan Kulit Sensitif
Rekaan Botol Wangian Unik Untuk Koleksi Anda
Adakah Anda Perlu Skrub Wajah Setiap Hari?
Daftar sekarang
Daftar sekarang bagi menikmati akses fesyen, kecantikan dan gaya hidup mewah bersama GLAM
Daftar sekarang
untuk menikamit akses ke sorotan fesyen, kecantikan, dan gaya hidup terpilih yang mencerminkan identiti wanita GLAM masa kini.
