Home > Gaya Hidup > GLAM Profil: #SokongLokal > Page 2
Use your ← → (arrow) keys to browse
BENDANG ARTISAN
Kembara permulaan studio seramik BendangStudio yang memperjuangkan karya seni seramik seperti arca hiasan dan set pinggan mangkuk bermula dengan penuh kesederhanaan. Usaha pengasasnya Rozana Musa, 38, yang optimis mendapat perhatian ramai bila tampil memperkenalkan himpunan set pinggan mangkuk seramik buatan tangan yang diolah bernada kontemporari nan minimalis. Pengalaman bermain lumpur di bendang ibu di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka, ketika kecil mencetuskan ilham. “Kami mula beroperasi pada tahun 2010 di kedai runcit lama milik arwah nenek saya yang sudah wujud sejak 1950-an lagi. Akan tetapi, saya sudah mula dua tahun sebelumnya di bengkel belakang rumah. Disebabkan kedai sudah ditinggalkan lama, saya mengambil keputusan untuk membuka Bendang Studio di situ. Pada awalnya, ruang studio itu hanya tertumpu untuk memproduksikan arca seni seramik untuk aksesori hiasan rumah dalam skala yang kecil. Kala itu, saya merupakan artis seramik dan aktif untuk menghasilkan arca hiasan buat pameran seramik. Bendang Studio, berpunya pelbagai pilihan. Antaranya, stoneware, porselin dan bone china. Tetapi bahan utama yang digunakan oleh kami adalah stoneware dengan formula bahan semula jadi mineral bumi,” terang graduan jurusan Seni Lukis dan Seni Reka (Seramik) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.

RAKAN BISNES SENI SERAMIK BENDANGSTUDIO, ROZANA MUSA DAN IMAYA WONG
“BendangArtisan adalah label ekstensi yang tampil membuat kemunculan perdana pada tahun 2018 dengan hasil kolaborasi pereka Imaya Wong. Kini merangkap rakan bisnes saya. Kami membuka ruang kedai konsep pertama di The LINC KL. BendangStudio dikenali sebagai seni seramik buatan tangan oleh tukang tembikar dengan bantuan peralatan bukan mesin. BendangStudio bukan kilang kecil tetapi lebih kepada studio seramik. BendangStudio lebih kepada manual dan semula jadi di dalam penghasilan produk. Kami juga menggunakan acuan seramik untuk memudahkan proses pembentukan dan sesetengah rekaan dikhususkan samada menggunakan teknik manual tangan atau teknik acuan. Kemudian kami akan melalui proses menukar warna, berlainan reka bentuk seramik dan sebagainya. Kami juga punyai beberapa reka bentuk standard tetapi ia bergantung kepada koleksi pemilihan dan permintaan pelanggan. Jika ingin dikalkulasikan berapa keping seramik dihasilkan oleh kami, agak susah. Kerana ia bergantung kepada barang yang dipilih dan jumlah pengeluaran. Jika secara rawak untuk kiraan seminggu, boleh dikatakan sebanyak 200 keping telah dihasilkan oleh seorang pekerja.”
“Pandemik semestinya memberi impak kepada semua individu. Bendang juga tidak terkecuali. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan awal daripada tarikh yang telah ditetapkan, BendangArstisan di The LINC KL terpaksa ditutup dan kini hampir 3 bulan tidak beroperasi. Tetapi produksi di Melaka masih berjalan seperti biasa. Kemudian kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Melaka juga tidak terkecuali perlu PKPD. Jadi kami terpaksa hentikan operasi pembuatan seramik buat masa sekarang. Ia bukan keadaan yang menyenangkan tetapi saya berfikiran positif kerana setiap masalah ada jalan penyelesaian. Lagipun, studio dan rumah saya berdekatan, tiada masalah buat saya kerana saya boleh pergi bila-bila masa. Dari segi mental, saya masih berfikiran positif dan masih boleh bertahan. Kami menggunakan platform pembelian secara maya melalui Instagram sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan. Tetapi jika PKP ini berlarutan, kena cari solusi yang baharu. Sebagai pengasas Bendang, saya meletakkan orang lain dahulu sebelum saya. Kerana mereka adalah tanggungjawab saya,” terang Rozana.

SET PINGGAN MANGKUK SERAMIK BENDANGSTUDIO OLAHAN ARTISAN TEMPATAN
“Saya membuat diri saya sibuk dengan perkara yang berbeza setiap hari semasa bekerja dari rumah. Ini memberi saya lebih banyak masa untuk saya dan terus berhubung dengan keluarga dan rakan dalam talian. Di samping itu, kami terus berinteraksi dengan pengikut kami di media sosial dengan berkongsi visual yang artistik. Bertujuan untuk memberi inspirasi untuk memasak di rumah sambil mengayakan himpunan set pinggan mangkuk Bendang. Ketidakpastian untuk membuka semula kedai fizikal, sedikit sebanyak menjejas perencanaan kami. Sebagai pemilik perniagaan, anda perlu sentiasa mengubah rancangan untuk mengatasi pelbagai masalah agar dapat terus bertahan. Kali ini ia turut mempengaruhi Studio produksi kami. Hasil pengeluaran dikurangkan, sehingga mempengaruhi perniagaan kami. Apa pun kami cuba mengeluarkan rekaan terbaru, idea baru, kolaborasi menarik, kempen pemasaran baru, konsep baru. The virtue of creativity… ,” tutur Imaya memegang bait kata Maya Angelou — “You can’t use up creativity. The more you use, the more you have.”
Pautan Berkenaan: GLAM Profil: Beauty & The Boys
