Dalam kebanyakan kempen automotif hari ini, keselamatan selalunya hadir sebagai satu ciri tambahan. Ia disebut bersama teknologi baharu, prestasi enjin atau sistem bantuan pemanduan yang semakin canggih. Tetapi pendekatan Volvo Car Malaysia kali ini terasa sedikit berbeza.
Melalui kempen Selamat dan acara Selamat Driving Experience yang berlangsung di Sepang International Circuit Drive Experience Centre baru baru ini, Volvo membawa perbualan tentang keselamatan ke tempat yang lebih peribadi.
Bukan sekadar bagaimana sebuah kereta boleh melindungi anda ketika kemalangan berlaku, tetapi mengapa perlindungan itu sebenarnya penting sejak awal.
Sepanjang dua hari acara berlangsung, lebih 240 peserta dibawa melalui pelbagai pengalaman interaktif yang membuatkan mereka melihat semula tabiat sendiri di jalan raya. Dari simulasi kecemasan di litar hinggalah kepada instalasi visual yang cukup mengganggu emosi, semuanya dirancang untuk mencetuskan satu rasa kesedaran yang jarang hadir dalam acara automotif biasa.
Salah satu ruang yang paling sukar dilupakan pastinya sebuah Volvo XC90 yang dipamerkan dalam keadaan remuk dengan struktur keselamatan dalaman yang masih utuh. Bahagian sisi kereta dibuka sepenuhnya, memperlihatkan beg udara yang sudah mengembang bersama rangka boron steel yang masih melindungi ruang penumpang.
Melihatnya dari dekat terasa sedikit sunyi.
Kerana untuk beberapa saat, ia membuatkan kita terfikir betapa tipisnya garis antara rutin harian dan sebuah tragedi yang boleh mengubah seluruh kehidupan.
Namun pengalaman yang benar benar meninggalkan kesan sepanjang acara ini adalah Kalkulator Selamat, sebuah platform interaktif yang dibangunkan Volvo bersama Mr Money TV.
Pada awalnya, ia kelihatan sederhana. Peserta hanya perlu menjawab beberapa soalan berkaitan umur, pekerjaan, pendapatan dan keluarga. Tetapi semakin lama penilaian itu berlangsung, semakin jelas bahawa ia bukan tentang kewangan semata mata.
Ia tentang kehilangan.
Tentang apa yang akan berlaku kepada orang di sekeliling jika seseorang tidak pulang ke rumah suatu hari nanti.
Tentang anak yang masih perlukan seorang ayah untuk menghantar mereka ke sekolah setiap pagi. Tentang pasangan yang selama ini bergantung pada seseorang tanpa pernah membayangkan hidup bersendirian. Tentang kehidupan yang selama ini bergerak seperti biasa sehingga satu hari semuanya berubah tanpa amaran.
Dan mungkin itu yang membuatkan kempen ini terasa lebih kuat daripada kempen keselamatan jalan raya yang lain.
Volvo tidak cuba menakutkan orang ramai dengan visual berlebihan atau statistik yang terlalu dramatik. Mereka cuma mengajak kita berhenti seketika dan memikirkan semula perkara yang selama ini dianggap terlalu biasa.
Memakai tali pinggang keledar, tidak memandu ketika terlalu letih dan tidak tergesa gesa hanya untuk tiba beberapa minit lebih awal.
Keputusan kecil yang sering dipandang ringan, tetapi mungkin menentukan sama ada seseorang itu sempat pulang atau tidak.
Di litar pula, peserta diberi peluang merasai sendiri bagaimana sistem keselamatan Volvo bertindak dalam situasi kecemasan sebenar. Simulasi seperti kehilangan cengkaman tayar, membrek mengejut dan mengelak halangan dilakukan bersama tenaga pengajar profesional dalam suasana yang terkawal.
Apa yang menarik, Volvo turut memperlihatkan perbezaan ketara antara teknologi keselamatan moden dengan sebuah Volvo klasik tanpa sistem keselamatan semasa. Dari situ, jelas bagaimana inovasi yang sering dianggap biasa hari ini sebenarnya lahir daripada usaha panjang untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa di jalan raya.
Dan mungkin itu juga sebabnya Volvo masih kekal sinonim dengan keselamatan sehingga hari ini.
Bukan kerana mereka sekadar menjual teknologi.
Tetapi kerana mereka memahami bahawa setiap perjalanan sebenarnya melibatkan seseorang yang sedang menunggu di rumah.