Kini, generasi baharu restoran di Malaysia tampil menjadi destinasi gastronomi yang mengangkat cita rasa Asia ke tahap lebih sofistikated. Mereka menafsirkan semula resipi klasik Asia melalui pendekatan moden dan penyajian yang artistik.
Malaysia sememangnya dikenali sebagai persada kulinari yang kaya dengan kepelbagaian rasa, hasil pertemuan budaya dan tradisi yang berakar sejak berabad lamanya. Daripada ramuan tempatan yang harum rempah hingga teknik masakan yang diwarisi turun-temurun, kulinari Asia terus menjadi nadi kepada pengalaman makan yang mencerminkan keaslian tradisi. Seiring evolusi landskap kulinari kota, restoran generasi baharu di Malaysia tampil mentafsir semula resipi klasik Asia dengan sentuhan moden serta susunan hidangan yang menarik. Hasilnya, setiap hidangan bukan sekadar sajian, tetapi sebuah perjalanan rasa yang meraikan keaslian bahan serta kekayaan tradisi kulinari rantau Asia. GLAM kongsi beberapa restoran di Klang Valley yang mengangkat citarasa Asia.
Ini Restoran Yang Wajar Dikunjungi Buat Pencinta Makanan!
1. Tangram KL
Terletak di Bangsar, Tangram KL membawa visi kulinari terkemuka Chef Johnny Tsai iaitu keseimbangan, kesederhanaan serta penghormatan mendalam terhadap setiap bahan yang digunakan. Melalui menu yang dirangka dengan teliti, tradisi kulinari Asia Timur Laut digabungkan dengan teknik masakan Perancis, menghasilkan hidangan yang disediakan dengan ketelitian tinggi, penuh nuansa dan sarat dengan perhatian terhadap setiap perincian.
Lokasi: 61, Jalan Telawi 3, Bangsar 59100
Waktu Operasi: Isnin hingga Sabtu
Telefon: 0125866642
2. Oolam
Diiringi menu yang dirangka khas daripada kulinari Pantai Timur, ia membawakan kehangatan dan pendekatan kreatif kepada pengunjung. Oolam mengolah hidangan mereka agar sentiasa meraikan warisan dan cita rasa Asia menggunakan bahan segar. Maka, setiap hidangan sarat dengan karakter dan identiti klasik.
Lokasi: E-01-03, Block E, The Five KPD, Jalan Dungun, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Malaysia 50490
Waktu operasi: Ahad hingga Sabtu dari 6 petang – 10.30 malam (Isnin tutup)
Telefon: +60 12-600 6170
3. Beta KL
Sebuah restoran eksklusif bersama 1 bintang Michelin Star, Beta KL hadir mengangkat cita rasa Asia ke langkah seterusnya. Menu kulinari mereka, yang dikenali sebagai “Tour of Malaysia”, membawa pengunjung menjelajah pelbagai nuansa rasa dari setiap negeri dengan persembahan yang elegan dan penuh perincian. Setiap hidangan diinspirasikan daripada resipi tradisi tempatan yang dipersembahkan dalam bentuk kontemporari. Lantas, ia menjadikan pengalaman makan anda di sini seakan perjalanan gastronomi yang menyatukan warisan kulinari Asia.
Lokasi: Cormar Suites, No. 10, Jalan Perak, 50450, Kuala Lumpur.
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad dari 6:00 petang – 10:00 malam
Jumaat dan Sabtu: 6:00 petang – 11:00 malam
Telefon: +60 19-212 1094
4. Bol
BOL mengetengahkan konsep “Asian classics reimagined”, iaitu hidangan klasik Asia yang diberi nafas baharu melalui teknik moden. Restoran ini menampilkan menu yang diinspirasikan daripada pelbagai masakan Asia dan disajikan dengan gaya kontemporari yang sofistikated. Setiap hidangan di sini menonjolkan bahan segar serta gabungan rasa yang seimbang, menjadikannya destinasi pilihan bagi penggemar masakan Asia moden.
Lokasi: 15, Jln Sin Chew Kee, Bukit Bintang, 50150 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa–Jumaat: 6.00 petang – 10.30 malam
Sabtu & Ahad: 12.00 tengah hari – 3.00 petang / 6.00 petang – 11.00 malam
Telefon: +60 10-283 8869
5. Gaia’s KL
Berlokasi di tingkat tinggi Ilham Tower, Gaia’s KL menawarkan pengalaman makan yang intim, sebuah alunan citarasa Langkasuka yang berakar daripada tradisi warisan Asia Tenggara dan dibingkai indah oleh panorama kota. Menu seperti Australian Wagyu Beef Cheek Massaman Curry dan Cod Otak-Otak menjadi penarik utama buat pencinta makanan. Setiap sajian disediakan dengan teknik halus dan perincian teliti, khas buat pengalaman yang eksklusif. Restoran cita rasa Asia seperti Gaia’s KL ini wajar dikunjungi untuk menikmati momen santapan rasa bersama yang tersayang.
Lokasi: Level 37, Ilham Tower, 8, Jalan Binjai, 50450 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad, 12 petang – 3 petang dan 6 petang hingga 10 malam. Ditutup pada Isnin
Telefon: +6012-6000371
Artikel berkaitan: Restoran Michelin Star di Malaysia Yang Mengubah Landskap Gastronomi Negara